Apa Kata Pakar Ekonomi Tentang Belanjawan 2020?

Belanjawan 2020 telah pun dibentangkan pada hari 11 Oktober 2019 yang lalu. Acara tahunan yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia ini, bakal memberi petunjuk mengenai halatuju ekonomi untuk tahun depan. “Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi” adalah merupakan tema bagi Belanjawan kali ini.

Belanjawan kali ini adalah merupakan belanjawan yang seimbang dan berpaksikan kepada empat teras utama berikut:

1. Memacu Pertumbuhan Ekonomi dalam Ekonomi Baharu dan Era Digital

2. Pelaburan Ke Atas Rakyat: Meningkatkan Keupayaan Modal Insan

3. Mewujudkan Masyarakat yang Bersatu, Inklusif dan Saksama

4. Memulihkan Institusi dan Kewangan Awam

Pelbagai reaksi diterima daripada orang awam, ada yang menyokong tetapi ramai juga yang tidak bersetuju. Apa kata kita dengar pendapat ahli ekonomi pula berkenaan Belanjawan 2020 ini?

Bicara Pasca Belanjawan 2020 Daripada Pakar Ekonomi

This image has an empty alt attribute; its file name is Apa-Kata-Pakar-Ekonomi-Tentang-Belanjawan-2020-3-700x525.jpg

Pada 18 Oktober yang lalu, pihak Securities Industry Development Corporation (SIDC) telah pun menganjurkan acara Post Budget 2020: Outlook and Perspectives For The Economy & Capital Market Businesses yang bertempat di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Acara tersebut dihadiri oleh YB Dr. Ong Kian Ming yang merupakan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kamarul Bahrin Haron, Naib Ketua Editor Astro Awani, adalah merupakan moderator pada acara tersebut. 4 orang pakar ekonomi turut hadir bagi menjayakan majlis tersebut.

Mereka adalah Johan Mahmood Merican, Pengarah, Pejabat Belanjawan Negara daripada Kementerian Kewangan; Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia; Lee Jim Leng, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank; dan Dr. Veerinderjeet Singh, Pengerusi Kumpulan Axcelasia Inc.

Pakar Ekonomi Majoriti Memberikan Skor 8/10

Kalau nak tahu, tiga daripada empat panelis tersebut memberikan skor 8/10 terhadap Belanjawan 2020; manakala seorang panelis memberikan skor 7.5/10. Ini menunjukkan bahawa Malaysia berada di landasan yang betul berdasarkan apa yang dirancang oleh pihak Kerajaan.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan setahun yang lalu, hasilnya adalah memberangsangkan:

  • Imbangan pembayaran Malaysia kekal positif, dengan lebihan akaun semasa RM43.4 bilion dan rizab antarabangsa RM431.3 bilion
  • Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan KDNK dalam separuh tahun pertama 2019 4.7%, dengan pertumbuhan 4.9% dalam suku kedua
  • Kerajaan berjaya mengawal inflasi pada 0.2% dalam tempoh separuh pertama 2019, berbanding 1% pada 2018 dan 3.7% pada 2017
  • Kadar inflasi 2019 dijangka pada 0.9%
  • FDI yang diluluskan telah meningkat 47% kepada RM80.1 bilion pada 2018 berbanding dengan RM54.4 bilion pada 2017.- “Perang perdagangan yang berlarutan mewujudkan peluang yang unik untuk Malaysia kembali menjadi destinasi pilihan utama bagi FDI yang mempunyai nilai tambah tinggi”

Orang kata biarlah nombor berbicara – dan berdasarkan angka-angka inilah, kita dapat lihat bagaimana Malaysia kekal berdaya saing di dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.

Belanjawan 2020 Bakal Merancakkan Lagi Ekonomi Malaysia

Walaupun berdepan dengan perang perdagangan dan ekonomi dunia yang semakin perlahan, Malaysia berada dalam keadaan yang baik berbanding kebanyakan negara serantau yang lain. Disebabkan itulah kita memerlukan catalyst yang boleh melonjakkan lagi ekonomi kita.

Johan Mahmood Merican yang mewakili pihak kerajaan berkata, kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan B40 dan M40 dengan meningkatkan subsidi dan bantuan sosial kepada RM24.2 bilion termasuk bantuan Kebajikan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) serta subsidi berkaitan bahan api. Perlindungan mySalam pula dipanjangkan mulai 1 Januari 2020 kepada 45 penyakit kritikal, kepada individu yang berumur sehingga 65 tahun dan mereka yang mempunyai pendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000. Ini baru sebahagian saja usaha kerajaan, tetapi memang ramai yang akan terkena tempias dan memperolehi nikmatnya.

Lee Jim Leng yang mewakili pihak pelabur pula berkata, peluang sentiasa terbuka bagi orang ramai yang ingin melabur ke dalam pasaran modal. Ini kerana apabila pasaran yang kelihatan downtrend, ianya merupakan masa yang terbaik untuk membeli saham pada harga diskaun.

Dr. Veerinderjeet Singh yang merupakan pakar dalam percukaian pula, menyarankan kerajaan menghapuskan ketirisan dan memastikan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang terlibat sama dalam membayar cukai. Bayangkan, di Malaysia kita ada 14 juta lebih pekerja tetapi hanya 2 juta yang membayar cukai pendapatan? Nampak macam tak seimbang pula kan?

Yang terakhir sekali, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menekankan peranan yang boleh dimainkan oleh sistem wakaf yang dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Sambil kita menderma dan berwakaf, sambil mengumpul pahala, sambil itu juga ekonomi naik sama.

Berdoalah Agar Negara Kita Semakin Maju

Belanjawan 2020 telah pun dibentangkan, data-data setakat ini cukup memberangsangkan, halatuju ekonomi bagi tahun depan semakin jelas, dan pakar ekonomi pun telah memberikan pandangan; maka sama-samalah kita berusaha dan berdoa agar Malaysia terus maju dan kemakmuran negara dapat dikecapi bersama seluruh rakyat Malaysia.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend