Apa Itu Cap Dagangan Dan Kenapa Ianya Penting Untuk Bisnes

Baru-baru ini kecoh apabila seorang wanita di Kelantan ditangkap kerana mengambil jalan mudah dengan meniru jenama telekung terkenal, Siti Khadijah untuk dibekalkan di pasar malam. Kesian pula kepada pemilik original telekung Siti Khadijah.

Yelah, siapa yang tak kenal dengan jenama terkenal Siti Khadijah. Betapa susah payahnya pemilik bangunkan branding dan berbelanja besar untuk mengiklankan produk di billboard-billboard besar sekitar Malaysia, tiba-tiba datang hamba Allah ni tiru dan menggunapakai jenama Siti Khadijah.

Bagaimana Beliau Lakukan Operasi Tiruan?

Katanya wanita berketurunan Kemboja tersebut telah membawa telekung Siti Khadijah yang tulen ke sebuah kilang di Vietnam, dan selepas sebulah proses tiruan itu siap – ianya diimport masuk Malaysia untuk dijual.

Pelanggan yang terkeliru kerana sangkakan ianya original, tanpa berfikir panjang terus membelinya. Kalau ikutkan, sehelai telekung tiruan ini dijual di antara RM100 hingga RM120, sedangkan yang tulen dijual di antara RM150 ke RM250.

Hmm….Memang terkedulah pemilik Siti Khadijah apabila usahanya selama ini, dengan selamba ditiru oleh orang lain!

Namun kegiatan itu akhirnya terbongkar apabila beliau berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang, Kelantan oleh sekumpulan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri. Sebanyak 100 helai telekung bernilai kira-kira RM12,000 turut dirampas. Serbuan berkenaan turut disertai wakil daripada Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. sendiri.

Mungkin wanita tersebut rasa dia dah cukup bijak, tetapi syarikat Siti Khadijah Apparel lebih bijak. Ini adalah disebabkan mereka telah mendaftar cap dagangan (trademark) mereka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Kepada yang belum tahu, MyIPO adalah badan yang menjaga hak harta intelek pemilik berdaftar.

Apa Itu Cap Dagangan?

Jom fahamkan maksud benda ni. Rujuk kepada laman web MyIPO:

Cap dagangan ialah apa-apa tanda yang dapat membezakan barangan dan perkhidmatan seseorang peniaga daripada peniaga-peniaga yang lain. Cap dagangan termasuklah perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi daripada unsur-unsur tersebut.

Cap dagangan merupakan alat pemasaran yang membolehkan pengguna membuat pilihan barangan atau perkhidmatan yang dipasarkan.

Slogan juga merupakan Cap Dagangan. Ada juga yang menyebut cap dagangan sebagai tanda niaga, jenama dan logo.

Contoh Cap Dagangan yang didaftarkan di MyIPO termasuklah jenama tudung Fareeda, Naelofar Hijab, Zawara, dUCkscarve dan banyak lagi.

Kepentingan Pendaftaran Cap Dagangan

Dalam perniagaan, sudah tentu kita nak pelanggan dapat membezakan produk atau perkhidmatan kita berbanding pesaing. Dengan mendaftar Cap Dagangan, ini secara langsung menjadikannya asas untuk membina jenama dan reputasi syarikat.

Paling penting sekali, ia memberikan hak eksklusif untuk menghalang orang lain daripada memasarkan produk yang serupa di bawah tanda Cap Dangangan yang sama.

Kita mesti akan kecewa apabila produk yang kita usahakan bersungguh-sungguh senang-senang saja ditiru oleh orang lain. Ini bukan saja mengelirukan pengguna tetapi juga boleh merosakkan reputasi kita apatah lagi bila produk yang ditiru itu kualitinya sangat teruk!

Tempoh Perlindungan Cap Dagangan

Sekali kita mendaftar, tempoh sah perlindungannya ialah 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi satu tempoh selama 10 tahun seterusnya.

Kadar Bayaran Cap Dagangan

Sebenarnya nak daftar cap dagangan untuk tempoh 10 tahun, bukanlah mahal. Jumlah yang perlu dibayar hanyalah RM1,020 untuk 10 tahun. Kalau kita kira-kira, ianya berharga RM102 setahun atau RM8.25 sebulan atau 28 sen sehari!

Apalah sangat kadar bayaran tu berbanding dengan faedah yang akan dinikmati. Jangan hanya kerana kedekut nak keluar 28 sen sehari, anda hilang ‘kuasa dan bukti’ untuk dibawa ke peringkat perundangan bila ada pihak yang menyalahgunakan cap dagangan anda.

Dan harus diingat, pendaftaran harta intelek adalah berdasarkan ‘first to file’. Jadi siapa yang daftar dulu, maka hakmilik cap dagang adalah dia yang punya.

Tapi ada pula kata-kata kurang elok kononnya kalau kita daftar dengan MyIPO, bukannya mereka boleh ambil tindakan. Ya memang betul, MyIPO memang tiada penguatkuasanya sendiri, kerana tugas tersebut akan dibuat dan diurustadbir oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNKK. Maka, tak timbul isu tiada tindakan boleh diambil.

Jangan Tiru Produk Usahawan Lain

Untuk rekod, mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan barangan tiruan atau cetak rompak boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Hakcipta 1987.

Jadi apa tunggu lagi. Jangan biarkan ‘lanun-lanun’ di luar meniru produk atau menggunakan Cap Dagangan korang sesuka hati.

Percayalah, memang berbaloi kalau mendaftar Cap Dagangan korang dengan MyIPO.

https://www.youtube.com/watch?v=t64e9HiRO9Q

 

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend