eCCRIS Baru Dilancarkan Bank Negara Malaysia. Ianya Percuma!

Baru beberapa hari lepas, Bank Negara Malaysia telah melancarkan sistem eCCRIS di mana pengguna boleh mendapatkan laporan CCRIS secara online, dan percuma.

Untuk perkongsian kali ini, kami berterima kasih kepada saudara Harith Faisal yang sudi berkongsi langkah-langkah untuk mendaftar serta mengakses sistem eCCRIS tersebut.

Apa Itu CCRIS?

Secara ringkasnya, CCRIS adalah merupakan laporan yang mengandungi maklumat kredit peminjam seperti berikut:

1) Kredit Belum Berbayar
Semua kemudahan kredit yang diperoleh peminjam, yang masih belum berbayar. Kemudahan kredit yang telah dibayar sepenuhnya dikecualikan daripada laporan kredit.

2) Akaun Di Bawah Pemerhatian Khas
Semua kemudahan kredit belum berbayar yang di bawah pengawasan rapi institusi kewangan peserta.

3) Permohonan Kredit
Semua permohonan yang telah diluluskan kepada peminjam dalam tempoh 12 bulan sebelumnya dan permohonan peminjam yang masih dalam proses untuk diluluskan.

Kegunaan CCRIS

Laporan CCRIS ialah satu daripada sumber maklumat yang digunakan oleh institusi kewangan pengguna untuk membuat penilaian terhadap permohonan kredit. Institusi kewangan pengguna akan memaklumi pemohon bahawa semakan kredit akan dijalankan terhadap permohonan dan permohonan kemudahan kredit tersebut akan dilaporkan kepada Biro Kredit.

Institusi kewangan pengguna juga akan merujuk kepada Biro Kredit secara berkala untuk mendapatkan maklumat kredit terkini peminjam sedia ada.

Sekarang sudah tahu serba sedikit apa itu CCRIS, jom kita tengok langkah-langkah untuk mendaftar eCCRIS ini.

Ada 15 Langkah, Ikut Sampai Habis

eCCRIS baru dilancarkan!! Hari ni, saya dan kawan-kawan excited sangat pergi ke BNM sebab nak daftar untuk kali pertama. Ya, hanya sekali saja perlu ke sana, lepas ni kami boleh dapatkan laporan CCRIS kami dari rumah. Asalkan ada internet.

Nah saya dah sediakan tutorial untuk daftar eCCRIS kat BNM dan dapatkan laporan CCRIS secara percuma dari rumah. Kita kena selalu bersyukur, hidup kita makin mudah. Kepada yang masih belum kenal CCRIS, saya nak cerita sikit ni.

Laporan CCRIS ni dia kumpulkan rekod bayaran bulanan untuk 12 bulan terkini kesemua hutang kau dengan bank. Kewangan yang baik, rekodnya semua nombor 0, 0, 0, 0, 0. Maksudnya, kau tiada apa-apa tunggakan. Semua bayar cantik.

Kalau muncul angka 1 tu maksudnya kau ada sebulan tertunggak bayaran bulanan. Ada juga yang sampai muncul angka 36 tau. Maksudnya dah 3 tahun tak bayar hutang, biasanya PTPTN. Ramai orang buat-buat hilang ingatan. Haha!

Jom saya tunjukkan cara semak CCRIS secara online iaitu eCCRIS. Mudah, percuma, pantas dan selamat dunia akhirat. Penerangan ada pada setiap gambar.

1. Bila-bila ada masa lapang, pergilah bersiar-siar ke kiosk CCRIS dekat BNM. BNM tu apa? Bank Negara Malaysia-lah. Datang hari bekerja daripada pukul 9.00 pagi sampai 5.00 petang. Ini alamatnya:

BNMLINK
Jabatan LINK & Pejabat Wilayah
Tingkat Bawah, Blok D
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur

 

2. Bila dah sampai depan kiosk tu, kau kena pilih bahasa apa yang kau nak. Bahasa Malaysia atau English. Nak bahasa lain, kau kena pergi negara lain. Okay tak lawak.

3. Klik eCCRIS.

4. Klik “Daftar Pengguna” segera. Tak payah nak fikir lama-lama sangat. Bukannya kau tengah jawab soalan sejarah SPM pun.

6. Kemudian, kau kena masukkan kad pengenalan dan sediakan jari untuk pengesahan biometrik.

7. Sistem akan minta nombor telefon bimbit. Senang cerita, masukkan nombor telefon yang ada kat kau waktu tu. Klik “Teruskan”.

8. Semak balik info kau. Bila dah yakin semua betul, boleh klik “Sahkan” dengan penuh keyakinan.

9. Kau akan dapat PIN 6 digit dekat nombor telefon yang didaftarkan tadi.

10. Kemudian, masuk ke link ni
https://eccris.bnm.gov.my/.

 

Hah! Macam inilah rupa website dia. Kau klik “First Time Login”.

11. Nationality pilih “Malaysia”. ID Number letak nombor kad pengenalan tanpa simbol. PIN kau masukkan ikut PIN yang kau dapat taditu.

12. Kemudian, kena daftar User ID, kata laluan, security question & security image. Kata laluan tu tersangatlah penting. Ingat baik-baik. Jangan main hentam saja.

13. Dah selesai. Sekarang dah boleh buka semula link https://eccris.bnm.gov.my/ dan masukkan User ID dengan kata laluan.

14. Nak dapatkan eCCRIS kau macam ni. Klik “Enquiry” kat tab atas tu dan pilih “Self Enquiry”.

15. Kau kena baca “Disclaimer” yang terpapar kat situ kemudian tick “I agree” dan klik “Report Enquiry”. Lepas tu, kau akan dapat tengok kau punya laporan CCRIS tu.

SIAP!! Jadi lepas ni kau tak payah nak peluh ketiak pergi Bank Negara. Tak payah bayar tol, tak payah bayar petrol, tak payah bayar parking, tak payah naik LRT atau KTM. Hanya gerakkan jari jemari saja. Dahlah FREE pula tu. Best gila!!!

Contoh laporan CCRIS beserta keterangan.

Sumber: FB Harith Faisal

Kena Tahu CCRIS Masing-Masing

Lepas ni kalau anda nak memohon pinjaman apa-apa, boleh semak sendiri kedudukan kewangan diri sendiri. Kalau rasa-rasa dengan menyemak sendiri laporan CCRIS macam tak cantik, dah boleh agak yang peratusan untuk pinjaman anda lulus adalah rendah.

Oleh itu, cuba perbaiki dulu status kewangan anda. Pastikan bayaran balik pinjaman on-time, dan tiada yang tertunggak. Barulah senang nak dapat pinjaman lepas ini.

Semak Juga Laporan Kredit (Credit Report) Anda

Dengan kemudahan internet dan semuanya kini di hujung jari, anda boleh dapatkan skor kredit (credit score) secara online saja. Dengan RAM Credit Info, mereka ada produk bernama RAMCI Personal Credit Report Plus (PCRP) yang boleh digunakan untuk mendapatkan laporan lengkap mengenai status kewangan anda.

Laporan ini megandungi maklumat seperti i-Score (skor kredit), CCRIS, SPGA (Skim Potongan Gaji ANGKASA), PTPTN, maklumat bukan berkaitan perbankan dan banyak lagi.

Contoh laporan RAMCI Personal Credit Report Plus (PCRP):

Dapat gred 10 kira dah terbaik, bermaksud kurang risiko untuk pembiayaan tidak dibayar atau default. Agak-agak ada ke bank nak bagi pembiayaan kalau kita berisiko tinggi?

Sama macam CCRIS, kena pastikan lebih banyak angka kosong ‘0’ bermakna bayaran dibuat on-time setiap bulan.

Bukan mahal pun, hanya RM19.50 untuk mendapatkan laporan tersebut secara on-line.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend