Ekonomi Malaysia Kekal Kukuh – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) — Bank Dunia masih melihat Malaysia sebagai ‘kisah kejayaan’ walaupun hutang negara mencecah RM1 trilion, kata Pengarah Negara bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Dr. Mara Warwick. “Kami melihat Malaysia mempunyai ekonomi yang kukuh dan bergerak ke arah pendapatan tinggi.

“Apa yang kami tekankan dalam laporan ini (Laporan Ekonomi Malaysia) ialah pentingnya melihat kepada kualiti pertumbuhan, keterangkuman pertumbuhan ke hadapan dan bagaimana setiap rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kejayaan ekonomi yang telah dicapai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laporan itu di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Dr Richard Record berkata yang peling penting ialah kerajaan baharu perlu memastikan hutang ditangani dengan telus, waspada serta berhati-hati selain melaksanakan pengurusan berhemat. Beliau berkata hutang yang besar, sebanyak 97.7 peratus dalam denominasi ringgit, wajar menyediakan risiko terhad kepada kerajaan dari segi pendedahan kepada tukaran asing.

Beliau juga berkata hampir 70 peratus daripada hutang itu merupakan hutang jangka sederhana dengan tempoh matang melepasi tiga tahun, dan oleh itu ‘menyediakan risiko terhad dari segi terma pulang ganti’.

Laporan Ekonomi Malaysia Bank Dunia mengunjurkan ekonomi negara berkembang pada kadar 5.4 peratus tahun ini, disokong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh dalam penggunaan isi rumah. Prospek jangka pendek yang lebih kukuh dalam perbelanjaan isi rumah mencerminkan dorongan tambahan daripada langkah-langkah dasar baharu kerajaan, termasuk penggantungan sementara cukai penggunaan.

Bagi memastikan kelestarian fiskal jangka panjang dalam penetapan fiskal yang baharu laporan itu menekan mengenai perlunya perubahan struktur yang lebih mendalam untuk mempelbagaikan sumber pendapatan fiskal, merasionalkan pengeluaran operasi yang tidak penting, menyusun semula beberapa projek infrastruktur berskala besar dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan. Bank Dunia menggalakkan kerajaan mengekalkan sasaran defisit fiskal sebanyak 2.8 peratus tahun ini. — BERNAMA

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend