InvestSmart® Fest SC Pertingkat Celik Pelaburan dan Kesedaran Mengenai Penipuan Pelaburan

InvestSmart® Fest 2019, inisiatif pendidikan pelabur Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur hari ini.

Bertemakan “Invest Smart” or “Bijak Labur”, InvestSmart® Fest tahunan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap asas-asas pelaburan dan menyediakan para pelabur dengan pengetahuan serta membuat pertimbangan yang sewajarnya ketika membuat keputusan pelaburan.

“Pelabur yang berpengetahuan adalah pelabur yang dilindungi. Dengan memperlengkapkan orang ramai dengan keupayaan untuk mengenal pasti dan menilai peluang pelaburan dan cabarannya, pelabur bukan sahaja mampu melindungi kepentingan mereka dengan lebih baik malah mereka juga boleh bertindak sebagai penyampai maklumat kepada SC dalam usaha membanteras sebarang penipuan atau salah laku, ” kata Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

InvestSmart® Fest menyediakan peluang unik kepada orang ramai dengan mengetengahkan pelbagai kumpulan peserta pasaran modal. InvestSmart ® Fest tahun ini menampilkan lebih daripada 50 organisasi yang mengambil bahagian yang terdiri daripada institusi pasaran kewangan, perantara, persatuan, agensi kawal selia dan kerajaan di bawah satu bumbung untuk meningkatkan pengetahuan dan penawaran produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Pengunjung juga boleh mempelajari tentang platform pelaburan alternatif seperti pendanaan ekuiti ramai, pembiayaan antara rakan setara, syarikat pengurusan pelaburan digital dan bursa aset digital di “Pavilion Digital”, satu segmen khas di InvestSmart® Fest.

Di samping itu, acara selama tiga hari itu juga menawarkan lebih 400 perundingan secara percuma bersama perancang kewangan berlesen di kaunter khidmat kewangan #FinPlan4U. Orang ramai boleh mendapatkan penilaian awal tentang status kewangan mereka dan maklumat mengenai cara untuk mengurus simpanan dan pelaburan mereka. #FinPlan4U tahun ini juga menampilkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang akan menawarkan khidmat nasihat persaraan.

Selaras dengan usaha untuk menggalakkan penyertaan bermaklumat dalam pasaran modal, Aplikasi Mudah Alih Bond + Sukuk Information Exchange telah dilancarkan ketika hari pertama InvestSmart® Fest kelmarin (18 Oktober 2019). Dibangunkan oleh BIX Malaysia, aplikasi mudah alih ini membolehkan para pelabur memperoleh maklumat terkini mengenai bon dan sukuk melalui telefon pintar mereka.

InvestSmart® Fest disokong oleh Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai InvestSmart® Fest, layari www.investsmartsc.my atau facebook.com/InvestSmartSC.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend