Kempen ‘Demi Kita’ Hong Leong Bank Menekankan Nilai Perniagaan Sosial

Hong Leong Bank Berhad (‘HLB’ menjadikan usaha untuk membantu memperkasakan perniagaan sosial di Malaysia agar menjadi lebih mampan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank itu di bawah platform CSR HLB Jump Start. Bank itu melancarkan ‘Demi Kita’, sebuah kempen di bawah HLB Jump Start bertujuan memberi penumpuan  terhadap kepentingan usaha yang dilaksanakan oleh perniagaan sosial serta keperluan untuk mereka menjadi lebih mampan sebagai sebuah entiti perniagaan yang berdaya maju.

Hasil kajian yang disiarkan di dalam platform Forum Ekonomi Dunia (WEF) mendapati bahawa hampir 50% perniagaan sosial di Mexico tidak mampu bertahan hingga tahun ketiga. Maklumat daripada kajian ini yang turut terpakai untuk negara-negara lain seperti Malaysia, mendapati bahawa kegagalan perniagaan sosial berkenaan berpunca daripada kekurangan sumber, pembiayaan, pengetahuan, ilmu perniagaan dan infrastruktur yang diperlukan untuk menjana keuntungan perniagaan bagi meneruskan perjuangan mereka. Apabila perniagaan sosial berkenaan gagal, mereka yang bergantung nasib kepada perjuangan itu turut akan menerima kesan buruknya, seperti kehilangan tempat untuk meningkatkan kemahiran diri, pekerjaan untuk menyara keluarga sebagai ibu tunggal atau keupayaan untuk menangani isu alam sekitar.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HLB, Domenic Fuda berkata, kempen ‘Demi Kita’ HLB Jump Start membuktikan komitmen bank itu dalam usaha membantu perniagaan sosial mencapai matlamat sosial mereka. Ia dilaksanakan dengan cara membantu mereka menjalankan perniagaan yang berdaya maju untuk jangka panjang.

“Sebagai sebuah bank yang mempunyai semangat keusahawanan kental dan komitmen jangka panjang terhadap masyarakat tempatan, kami percaya bahawa kami mampu melakukan perubahan dengan memperjuangkan nasib rakyat Malaysia yang berusaha memberikan impak positif dengan meningkatkan keadaan sosial serta alam sekitar di negara ini. Kami mahu melengkapkan mereka agar dapat menjalankan perniagaan sosial dengan lebih mampan menerusi inovasi, kreativiti dan semangat keusahawanan mereka.”

“Di HLB, kami mempunyai pengetahuan perniagaan dan kewangan, rangkaian, ilmu keusahawanan, platform digital, produk dan perkhidmatan, serta kesungguhan untuk membantu perniagaan sosial berkenaan supaya menjadi lebih mampan untuk jangka panjang agar mereka dapat menyokong isu-isu sosial yang sangat bermakna bagi komuniti,” kata Fuda.

Kempen ‘Demi Kita’ HLB Jump Start menampilkan kerjasama pertama bank ini dengan perniagaan sosial SURI, sebuah organisasi yang mengguna semula kain denim terpakai untuk dijadikan barangan fesyen seperti beg tangan, beg galas serta tote, dan barangan hiasan rumah. SURI diasaskan oleh seorang ibu tunggal, Sally Ahmad bagi menyediakan peluang pendapatan dan kemahiran hidup kepada golongan ibu tunggal serta mereka yang tidak berkemampuan di bandar kelahirannya di Klang. Beliau pada masa sama turut membantu menjaga keindahan alam sekitar menerusi aktiviti guna semula.

Menurut Sally, cabaran paling besar yang dihadapi dalam usaha menjayakan perniagaan sosialnya ialah kemampanan. “Walaupun SURI mempunyai permulaan yang baik dengan pembiayaan serta bimbingan daripada program start-up perniagaan sosial dua tahun lepas, namun seperti mana-mana perniagaan lain dan lebih lagi untuk perniagaan sosial, kami mendapati bahawa kami terpaksa bergelut untuk mengurus keuntungan perniagaan. Saya menjalankan perniagaan ini secara sendirian dan terpaksa melakukan semua perkara termasuk mereka bentuk produk, memotong kain, mengurus bengkel dengan ibu tunggal dan menjual produk kami.”

“Saya tahu bahawa saya memerlukan bimbingan dan bantuan untuk menambah baik perniagaan dan kemahiran pengurusan kewangan saya serta mengemas kini reka bentuk produk dan jenama. Saya tidak mempunyai kepakaran dalam aspek-aspek perniagaan tersebut. saya amat gembira kerana Hong Leong Bank sedar tentang kesukaran yang dialami oleh perniagaan sosial dan sedia untuk menghulurkan bantuan mereka kepada SURI,” ujar beliau.

HLB Jump Start bekerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran serupa bagi menyediakan bantuan bersasar kepada perniagaan sosial, supaya mereka memperolehi manfaat menerusi kaedah yang lebih bermakna. Dalam bantuan kepada SURI, HLB Jump Start bekerjasama dengan agensi jenama Naga DDB Tribal dan kumpulan pereka tempatan Tarik Jeans bagi membantu SURI meneliti semula keperluan pemasaran, jenama dan reka bentuk produknya.

“HLB Jump Start akan membantu SURI mengangkat model perniagaannya ke satu tahap yang lebih tinggi, menerusi pengurusan kewangan yang lebih baik dan inisiatif penjenamaan agar ia dapat menembusi pasaran yang lebih luas di luar Lembah Klang. Dengan memberikan mereka perkakasan yang betul untuk membina perniagaan yang mampan, SURI pasti berupaya memberi peluang kepada lebih ramai lagi ibu tunggal untuk menjana pendapatan bagi diri mereka sendiri dengan penuh yakin,” kata Fuda.

Orang ramai yang berminat untuk mendermakan denim/jeans kepada SURI sebagai bahan untuk perniagaan mereka boleh berbuat demikian antara 24 hingga 30 September di cawangan Hong Leong yang terpilih di seluruh negara seperti yang disenaraikan di: www.hlb.com.my/demikita

Kempen ini adalah permulaan kepada pelbagai program yang akan dilaksanakan oleh HLB Jump Start. Perniagaan sosial yang sedang mencari bantuan untuk memastikan perniagaan serta perjuangan mereka kekal mampan boleh menulis kepada: capr@hlbb.hongleong.com.my

Untuk menyaksikan sorotan berkaitan kempen berkenaan, sila kunjungi: www.hlb.com.my/demikita

Tentang Hong Leong Bank Berhad

Hong Leong Bank Berhad merupakan satu daripada peneraju organisasi perkhidmatan kewangan di Malaysia. Dengan warisan lebih dari 100 tahun, HLB memberikan perkhidmatan kewangan komprehensif yang merangkumi urusan perbankan pelanggan, perbankan perniagaan dan perdagangan kewangan, perbendaharaan, urusan transaksi dan cawangan, pengurusan harta, urusan bank peribadi dan perkhidmatan kewangan Islam. HLB yang telah memenangi anugerah inovasi dalam ruang perkhidmatan kewangan juga mempunyai satu daripada rangkaian kewangan perkhidmatan dan pengedaran terbesar serta pusat perniagaan di Malaysia.

Dengan rekod prestasi yang terbukti dalam penciptaan nilai dan jenama yang sangat dikenali, HLB juga telah meluaskan jejaknya di rantau ini dengan terdapat cawangan di Singapura dan Hong Kong dan memiliki sepenuhnya anak syarikat di Vietnam dan Kemboja. Di China, HLB ialah pemegang saham besar Bank of Chengdu Co., Ltd., Sichuan dan dalam usaha sama kewangan pengguna.

HLB ialah anak syarikat Hong Leong Financial Group Berhad, iaitu cabang perkhidmatan kewangan Hong Leong Group. Selain urusan perbankan, Hong Leong Financial Group juga terlibat dalam peruntukan insurans dan takaful, serta perbankan pelaburan, unit amanah, pengurusan dana dan perkhidmatan broker saham.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend