Microsoft Bawakan Kemajuan Baharu Dalam Azure Menjelang Persidangan Microsoft Build

REDMOND, Washington, 3 Mei 2019 /PRNewswire/ — Pada hari Khamis, Microsoft Corp. mengumumkan beberapa perkhidmatan Azure baharu dan teknologi pembangun yang meletakkan keupayaan termaju merangkumi AI, realiti bercampur, IoT dan rantaian blok di tangan pembangun. Syarikat akan berkongsi kesemua ini dan kemajuan tambahan dalam awan hibrid serta pengkomputeran pinggir di persidangan Microsoft Build untuk memperkasa pembangun.

“Ia merupakan waktu yang hebat untuk menjadi pembangun. Bermula dengan membina AI dan realiti bercampur ke dalam aplikasi hinggalah kepada memanfaatkan rantaian blok untuk menyelesaikan masalah-masalah perniagaan komersial, set kemahiran dan impak pembangun berkembang pesat,” kata Scott Guthrie, naib presiden eksekutif, Microsoft Cloud and AI Group. “Hari ini, kami menyediakan perkhidmatan Azure yang inovatif kepada pembangun untuk membina aplikasi generasi seterusnya. Dengan 95% pelanggan Fortune 500 menggunakan Azure, inovasi ini dapat memberi impak yang meluas.”

Melanjutkan komitmen Microsoft untuk membina platform AI paling produktif

Microsoft mengumumkan bahawa set baharu teknologi AI Azure bertujuan untuk membantu pembangun dan saintis data mengaplikasikan AI kepada mana-mana penyelesaian.

  • Azure Cognitive Services memperkasa aplikasi untuk melihat, mendengar, bertindak balas, menterjemah, menaakul dan banyak lagi. Microsoft melancarkan kategori Perkhidmatan Kognitif baharu, dikenali sebagai “Decision,” yang menyediakan pengguna dengan cadangan khusus untuk membuat keputusan yang lebih bermaklumat dan cekap. Kategori ini termasuk Moderator Kandungan, Pengesan Anomali yang diumumkan baru-baru ini dan perkhidmatan baharu yang dikenali sebagai Personalizer, yang menggunakan pembelajaran peneguhan untuk menyediakan pengguna dengan cadangan khusus bagi membolehkan proses membuat keputusan yang pantas dan bermaklumat.
  • Microsoft membawakan AI kepada Azure Search dengan ketersediaan umum melibatkan keupayaan carian kognitif, membolehkan pelanggan mengaplikasikan algoritma Perkhidmatan Kognitif bagi mendapatkan maklumat baharu daripada kandungan berstruktur dan tidak berstruktur mereka. Selain itu, kami menyediakan pratonton keupayaan baharu yang membolehkan pembangun menyimpan maklumat AI yang diperoleh daripada carian kognitif, seraya memudahkannya untuk mencipta pengalaman yang kaya pengetahuan, memanfaatkan visualisasi Power BI atau model pembelajaran mesin.

Inovasi-inovasi baharu dalam Azure Machine Learning memudahkan proses membina, melatih dan menggunakan model-model pembelajaran mesin:

  • Keupayaan MLOps dengan penyepaduan Azure DevOps menyediakan pembangun dengan fungsi kebolehulangan, kebolehauditan dan pengautomatan kitar hayat pembelajaran mesin hujung-ke-hujung.
  • Kemajuan ML automatik dan UI intuitif menjadikan pembangunan model-model berkualiti tinggi lebih mudah.
  • Antara muka pembelajaran mesin visual menyediakan penciptaan model tanpa-kod dan pengalaman penggunaan dengan keupayaan tarik-dan-lepas.
  • Untuk mendayakan kependaman yang amat rendah dan memberi inferens yang berkesan kos, Microsoft mengumumkan ketersediaan umum bagi model-model yang dipercepatkan oleh perkakasan yang beroperasi melalui FPGA, selain sokongan ONNX Runtime untuk NVIDIA TensorRT dan Intel nGraph untuk penyediaan inferens berkelajuan tinggi pada cip set NVIDIA dan juga Intel.

Meluaskan peluang di Pinggir Pintar

Syarikat memperkenalkan beberapa produk dan penyelesaian baharu hari ini yang terus dapat menangani keperluan sedia ada dan baru muncul pada awan hibrid dan pengkomputeran pinggir:

  • Microsoft memperkenalkan Azure SQL Database Edge untuk menyokong spektrum keperluan pengkomputeran pinggir. Enjin SQL yang dioptimumkan untuk keperluan pengkomputeran lebih rendah dengan AI terbina dalam, produk ini menggabungkan penstriman data dengan pembelajaran mesin dalam pangkalan data dan keupayaan graf bagi mendayakan kecerdasan di pinggir. Memandangkan Azure SQL Database Edge berkongsi kawasan permukaan pengaturcaraan yang sama dengan Azure SQL Database dan SQL Server, pembangun boleh membawa aplikasi ini dengan mudah ke pinggir tanpa perlu mempelajari instrumen dan bahasa baharu, seraya menyediakan pengalaman pengaturcaraan yang tekal.
  • Microsoft turut mengumumkan IoT Plug and Play, bahasa pemodelan terbuka baharu untuk menghubungkan peranti IoT kepada awan dengan lancar, membolehkan pembangun menavigasi salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh mereka — menggunakan penyelesaian IoT secara meluas. Sebelum ini, perisian perlu ditulis khusus untuk peranti terhubung yang disokong olehnya, mengehadkan keluasan pelaksanaan IoT. IoT Plug and Play akan menawarkan pelanggan dengan ekosistem besar yang melibatkan peranti diperakui rakan kongsi yang boleh terhubung dengan pantas.
  • Untuk pembangunan realiti bercampur, Microsoft menjadikannya lebih mudah untuk mencipta HoloLens 2 dengan Edisi PembangunanHoloLens 2, yang menyediakan komuniti pembangun realiti bercampur dengan akses kepada penyelesaian untuk membantu mereka membina dan mengendalikan pengalaman realiti bercampur dalam pelbagai peranti.
  • Sokongan Unreal Engine 4 bagi tujuan penstriman dan penyepaduan platform natif untuk HoloLens 2 akan disediakan kepada pembangun menjelang penghujung Mei bagi mencipta kemas gabung (render) foto-realistik yang berkualiti tinggi dan pengalaman realiti bercampur yang imersif untuk penyelesaian merangkumi seni bina, reka bentuk produk, pembuatan dan banyak lagi.

Melipatgandakan pelaburan untuk memperkasa pembangun rantaian blok

Tahun lalu, Microsoft memperkenalkan Azure Blockchain Workbench, yang memberikan pembangun dengan UI ringkas untuk memodelkan aplikasi rantaian blok pada rangkaian sokongan Azure yang diprakonfigurasi. Pengumuman hari ini membawanya lebih jauh.

  • Azure Blockchain Service memudahkan pembentukan, pengurusan dan tadbir urus rangkaian rantaian blok konsortium, membolehkan perniagaan untuk menumpu pada logik aliran kerja dan pembangunan aplikasi. Azure Blockchain Service menggunakan rangkaian konsortium diurus sepenuhnya dan menawarkan tadbir urus terbina dalam untuk tugasan pengurusan biasa, seperti menambah ahli-ahli baharu, menetapkan kebenaran dan mengesahkan aplikasi pengguna.
  • Microsoft turut mengumumkan pada minggu ini bahawa platform Ethereum J.P. Morgan, Quorum merupakan lejar pertama yang tersedia dalam Azure Blockchain Service, memberikan pelanggan Microsoft dan J.P. Morgan dengan kebolehan untuk menggunakan dan mengurus rangkaian rantaian blok yang boleh diskala pada infrastruktur awan.

Lebih 6,000 pembangun dan pencipta kandungan akan menyertai Microsoft di Seattle pada minggu hadapan sempena persidangan untuk mempelajari tentang kemajuan terkini dalam teknologi awan dan pembangun, serta mendapat pengalaman amali bersama mereka. Pengumuman hari ini dapat memberikan pihak pembangun dengan semua jenis instrumen terkini yang baharu bagi mencipta generasi aplikasi seterusnya untuk awan pintar dan pinggir pintar. Terdapat banyak lagi yang akan dipamerkan pada minggu hadapan di Build.

Microsoft (Nasdaq “MSFT” @microsoft) mendayakan transformasi digital untuk era awan pintar dan pinggir pintar. Matlamatnya adalah untuk memperkasa setiap individu dan setiap organisasi di seluruh dunia untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

Sumber: Microsoft Corp.

Pautan Berkaitan:

Saham Berkaitan: NASDAQ-NMS:MSFT

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ninja Van Malaysia Lancar Ninja Restock

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Ninja Van Malaysia hari ini melancarkan Ninja Restock, pengembangan perkhidmatan yang melangkaui e-dagang, dengan sasaran untuk merevolusikan landskap pembekalan semula perniagaan-ke-perniagaan (B2B).

Perkhidmatan ini menangani ketiadaan ciri penting seperti penjejakan bungkusan waktu nyata dalam sektor pembekalan semula yang boleh meningkatkan kesedaran kepada penerima tentang masa ketibaan penghantaran.

Ketua B2B Ninja Van Malaysia Clarence Fernandez berkata Ninja Restock sangat diperlukan untuk penghantaran B2B, menyediakan ciri-ciri dan cadangan nilai yang pada masa ini tidak terdapat dalam pasaran ini.

“Peruncit, pengedar dan kebanyakan jenama memerlukan ciri ini kerana ia didominasi sebahagian besarnya oleh penyedia sedia ada dan syarikat pengangkut tradisional yang tidak dapat menyediakan beberapa ciri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan tersebut, di sini, hari ini.

Antara ciri-ciri yang ditawarkan Ninja Van Malaysia ialah fungsi penjejakan bungkusan, liputan seluruh negara, kepantasan, pengoptimuman kos, fleksibiliti dan ketelusan yang didayakan pendigitalan.

Clarence berkata penghantaran fleksibel, sebagai contoh, pada asasnya untuk memenuhi permintaan tinggi semasa penghantaran pada musim sibuk, terutamanya ketika waktu empat perayaan terbesar di Malaysia.

“Logistik biasanya menyumbang 10 hingga 15 peratus daripada kos operasi perniagaan. Sebagai contoh, fungsi penjejakan bungkusan. Ini adalah teknologi penting dalam logistik ekspres e-dagang, mengambil kira pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam sesebuah perjalanan dari permulaan sehingga akhir

“Bagaimanapun, keupayaan penjejakan ini tidak wujud buat masa ini dalam ruang pembekalan semula B2B. Akibatnya, penerima kurang kesedaran mengenai masa ketibaan penghantaran dan sering kali tidak menyedari ketibaannya sama sekali,” katanya.

Selain itu, dari segi liputan di seluruh negara, beliau berkata Ninja Restock memastikan liputan 100 peratus dengan lebih 2,000 hab dan stesen di seluruh Asia Tenggara.

Clarence berkata dengan mendigitalkan aliran kerja yang biasanya dilakukan secara manual, Ninja Restock meningkatkan ketelusan dalam proses penyimpanan semula B2B, membolehkan perniagaan mengenal pasti dan menangani isu dengan lebih cepat.

Antara enam pasaran dan perusahaan yang akan ditumpukan oleh Ninja Restock ialah peruncitan gaya hidup, farmaseutikal dan sains hayat, pembuatan dan elektronik, barangan pelanggan cepat laris (FMCG), pemasaran pelbagai peringkat serta makanan dan minuman.

Dengan rangkaian penghantaran yang kukuh sebagai terasnya, Ninja Restock mengubah cara penghantaran B2B dilakukan ke rangkaian kedai runcit, meningkatkan kekerapan pembekalan semula inventori sambil mengurangkan inventori berlebihan.

Fleksibiliti baru ini memperkasakan jenama dan peruncit, memudahkan mereka menjadualkan penghantaran, dan membolehkan pengoptimuman penuh ruang paparan bagi produk mereka.

— BERNAMA