Nak Melombong Bitcoin Pun, Jangan Ganggu Ketenteraman Awam

Baru-baru ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah membuat operasi ke atas dua rumah di Puchong yang telah menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.

Aktiviti tersebut telah pun berjalan selama beberapa bulan di dua rumah berasingan di Jalan Merbok 2 di Puchong Jaya, Puchong sebelum ianya dihidu pihak berkuasa dan telah dihentikan operasinya.

Apa Itu Perlombongan Bitcoin?

Kami ada berkongsi secara mendalam di Apa Itu Bitcoin & Mengapa Ianya Bukan Sejenis Pelaburan. Sebenarnya ia adalah sangat teknikal dan hanya sesetengah orang sahaja yang mahu melibatkan diri. Ini kerana ia memerlukan kos yang tinggi, di mana pelombong memerlukan kuasa pemprosesan dan kad grafik yang mahal dengan kuantiti yang banyak untuk melombong Bitcoin. Kos elektrik pun akan melambung oleh kerana ianya memerlukan kuasa yang banyak.

Di kalangan pengguna Bitcoin, terdapat individu dan peniaga yang merekod semua transaksi. Rangkaian ini mengumpul semua transaksi pada sesuatu masa ke dalam senarai, yang dipanggil block. Kemudian barulah pelombong datang dan mengesahkan transaksi dan memasukkan maklumat tersebut ke dalam sebuah lejar atau buku akaun. Senarai yang panjang terdiri daripada beberapa blok inilah yang dikenali sebagai blockchain.

Pelombong yang membantu dalam proses ini, akan diberi penghargaan dalam bentuk Bitcoin. Sebab itulah ramai yang berlumba-lumba untuk melombong Bitcoin ini, kerana lebih banyak transaksi yang berlaku, lebih banyak pelombong perlu menjalankan kerja, lebih banyak Bitcoin yang mereka akan terima.

Mengganggu Ketenteraman Awam

Menurut Frankie Yap yang merupakan Ahli Lembaga Majlis MPSJ, serbuan tersebut dilakukan berikutan aduan penduduk setempat yang tidak berpuas hati dengan kehadiran ramai orang luar yang tidak dikenali keluar dan masuk daripada premis tersebut.

Mereka turut keluar masuk pada waktu tengah malam dan telah membuat bising, sekaligus mengganggu ketenteraman jiran tetangga. Rungutan yang lain adalah berkenaan pelawat yang meletakkan kereta sesuka hati sehingga menjejaskan kelancaran lalulintas di kawasan berkenaan.

Selain daripada itu, penduduk turut mengalami gangguan bekalan elektrik yang kerap disebabkan aktiviti perlombongan yang memerlukan banyak tenaga elektrik bagi memacu komputer berkuasa tinggi bagi melombong Bitcoin.

Dikenakan Notis Kompaun Dan Diarah Menghentikan Operasi

Berikutan itu, MPSJ telah mengeluarkan notis kompaun dan telah mengarahkan mereka yang terlibat untuk menghentikan operasi mereka. Mereka telah melanggar undang-undang tempatan kerana telah menjadikan rumah mereka sebagai tempat perniagaan.

Sewaktu serbuan dilakukan, pihak penguatkuasa turut menemui pelbagai jenis komputer dan banyak dinding yang diperbuat daripada papan lapis (plywood). Juga terdapat banyak wayar elektrik yang berselerak di seluruh kawasan rumah tersebut.

Sumber: The Star

Sabar Pihak Berkuasa Pun Ada Hadnya

Memanglah Bank Negara Malaysia belum membuat sebarang keputusan berkenaan Bitcoin, itu bermakna mereka sedang beroperasi di kawasan ‘grey area’. Tetapi apapun, hormatilah undang-undang sedia ada demi menjaga keharmonian semua pihak.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ninja Van Malaysia Lancar Ninja Restock

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Ninja Van Malaysia hari ini melancarkan Ninja Restock, pengembangan perkhidmatan yang melangkaui e-dagang, dengan sasaran untuk merevolusikan landskap pembekalan semula perniagaan-ke-perniagaan (B2B).

Perkhidmatan ini menangani ketiadaan ciri penting seperti penjejakan bungkusan waktu nyata dalam sektor pembekalan semula yang boleh meningkatkan kesedaran kepada penerima tentang masa ketibaan penghantaran.

Ketua B2B Ninja Van Malaysia Clarence Fernandez berkata Ninja Restock sangat diperlukan untuk penghantaran B2B, menyediakan ciri-ciri dan cadangan nilai yang pada masa ini tidak terdapat dalam pasaran ini.

“Peruncit, pengedar dan kebanyakan jenama memerlukan ciri ini kerana ia didominasi sebahagian besarnya oleh penyedia sedia ada dan syarikat pengangkut tradisional yang tidak dapat menyediakan beberapa ciri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan tersebut, di sini, hari ini.

Antara ciri-ciri yang ditawarkan Ninja Van Malaysia ialah fungsi penjejakan bungkusan, liputan seluruh negara, kepantasan, pengoptimuman kos, fleksibiliti dan ketelusan yang didayakan pendigitalan.

Clarence berkata penghantaran fleksibel, sebagai contoh, pada asasnya untuk memenuhi permintaan tinggi semasa penghantaran pada musim sibuk, terutamanya ketika waktu empat perayaan terbesar di Malaysia.

“Logistik biasanya menyumbang 10 hingga 15 peratus daripada kos operasi perniagaan. Sebagai contoh, fungsi penjejakan bungkusan. Ini adalah teknologi penting dalam logistik ekspres e-dagang, mengambil kira pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam sesebuah perjalanan dari permulaan sehingga akhir

“Bagaimanapun, keupayaan penjejakan ini tidak wujud buat masa ini dalam ruang pembekalan semula B2B. Akibatnya, penerima kurang kesedaran mengenai masa ketibaan penghantaran dan sering kali tidak menyedari ketibaannya sama sekali,” katanya.

Selain itu, dari segi liputan di seluruh negara, beliau berkata Ninja Restock memastikan liputan 100 peratus dengan lebih 2,000 hab dan stesen di seluruh Asia Tenggara.

Clarence berkata dengan mendigitalkan aliran kerja yang biasanya dilakukan secara manual, Ninja Restock meningkatkan ketelusan dalam proses penyimpanan semula B2B, membolehkan perniagaan mengenal pasti dan menangani isu dengan lebih cepat.

Antara enam pasaran dan perusahaan yang akan ditumpukan oleh Ninja Restock ialah peruncitan gaya hidup, farmaseutikal dan sains hayat, pembuatan dan elektronik, barangan pelanggan cepat laris (FMCG), pemasaran pelbagai peringkat serta makanan dan minuman.

Dengan rangkaian penghantaran yang kukuh sebagai terasnya, Ninja Restock mengubah cara penghantaran B2B dilakukan ke rangkaian kedai runcit, meningkatkan kekerapan pembekalan semula inventori sambil mengurangkan inventori berlebihan.

Fleksibiliti baru ini memperkasakan jenama dan peruncit, memudahkan mereka menjadualkan penghantaran, dan membolehkan pengoptimuman penuh ruang paparan bagi produk mereka.

— BERNAMA