Paris Saint-Germain Menyasarkan Pertumbuhan di Asia

Kelab bola sepak dari Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) hari ini mengumumkan pelancaran pejabat Asia Pasifiknya secara rasmi di Singapura.

Ibu pejabat serantau ini diketuai oleh Sebastien Wasels, Pengarah Urusan, Paris Saint-Germain Asia Pasifik dan bertekad merealisasikan matlamat kelab tersebut untuk mengukuhkan kehadiran antarabangsanya, di samping menzahirkan keunggulan jenamanya, memupuk kerjasama baharu, serta mengembangkan asas peminat di rantau ini.

Encik Nasser Al-Khelaifi, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Paris Saint-Germain berkata, “Asia merupakan pasaran terpenting kami kerana kami mempunyai asas peminat yang kukuh di rantau ini. Selain itu, kami mendapati terdapat ramai bakat di rantau ini, dan tidak sabar-sabar untuk memupuk bakat-bakat ini melalui pelbagai program kami yang terunggul, di samping mempromosikan nilai-nilai utama kota Paris kami.”

“Kami amat teruja untuk membuka pejabat antarabangsa pertama kami di rantau Asia dan membawa kelab kami lebih dekat kepada peminat kami,” tambah beliau.

Sebagai antara kelab bola sepak bertumbuh paling pesat di dunia, Paris Saint-Germain telah berjaya menarik minat ramai pemain hebat termasuk Ronaldinho, David Beckham, Zlatan Ibrahimovic, dan baru-baru ini, Neymar Jr., Kylian Mbappé, Edinson Cavani dan Thiago Silva. Kini, saiz peminat kelab tersebut adalah ketujuh terbesar di dunia dengan lebih 55 juta di seluruh dunia, dan 17 juta daripada jumlah ini adalah daripada Asia.

Pelancaran pejabat ini adalah selari dengan Jelajah Asia Paris Saint-Germain, yang bakal menyaksikan kelab ini bertarung dalam Piala Juara Antarabangsa di Singapura, diikuti dengan Trophée des Champions pada hari Sabtu, Ogos 4 di Shenzhen, China.

Ketika menegaskan kepentingan Malaysia untuk Paris Saint-Germain, Wasels berkata, “Sejak pelancaran kelab peminat kami di Malaysia, kami telah menyaksikan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, dan peminat kami di Malaysia menunjukkan sambutan yang tinggi. Tambahan pula, aspirasi serta kejayaan kelab kami telah memberikan inspirasi kepada mereka.”

“Jelajah Asia PSG merupakan antara inisiatif pertama kami untuk membawa perlawanan peringkat antarabangsa ke Asia, serta mendampingi para peminat kelab kami, penaja, dan rakan kerjasama kami bagi meraih manfaat daripada peningkatan kepopularan kelab kami di rantau ini.”

Wasels telah memberi janji untuk meningkatkan pelaburan menerusi pembangunan bola sepak remaja, e-sukan dan pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi mengeratkan perhubungan dengan komuniti di sekitar rantau ini, serta menerusi gandingan dengan pelbagai jenama dan syarikat sukan. “Asia sentiasa dilihat sebagai batu loncatan dalam strategi pembangunan kelab kami di peringkat antarabangsa. Kami berharap dapat memanfaatkan penyertaan kelab kami dalam Piala Juara Antarabangsa serta pelancaran ibu pejabat Asia Pasifik kami untuk membina asas yang kukuh di Asia, supaya kami mampu terus berhubung dengan peminat dan rakan kerjasama kami di rantau ini,” demikian kata beliau.

Mengenai Paris Saint-Germain

Kelab bola sepak Paris Saint-Germain ditubuhkan pada tahun 1970. Sejak kelab ini dibeli oleh QSI pada tahun 2011, Paris Saint-Germain telah berkembang menjadi antara kelab bola sepak dan jenama sukan global yang terulung di dunia. Hubungannya dengan kota Paris, yakni pusat kelab ini, telah dieratkan semula, di bawah falsafah ‘satu bandar yang unik, satu kelab yang unik’. Sebenarnya, semua ini hanya permulaan sahaja. Sebuah pusat latihan dan pembangunan baharu akan dibuka tidak lama kemudian.

1. Kelab ini merangkumi bola sepak lelaki, bola sepak wanita, bola baling, judo dan bahagian e-sukan.

2. Kelab ini telah memenangi 19 piala dalam hanya tujuh tahun sahaja, serta jumlah 37 piala dalam sejarahnya. Paris Saint-Germain adalah kelab yang merangkul paling banyak gelaran di Perancis.

3. Kelab ini telah berjaya menarik minat ramai pemain hebat termasuk Ronaldinho, Beckham, Ibrahimovic, dan kini, Neymar, Mbappé, Cavani, Thiago Silva, dan sebagainya.

4. Sejak tahun 2011, Parc des Princes, yakni kampung halaman kelab ini telah mengalami transformasi dengan pelaburan melebihi € 80 Juta. Ia kini telah berkembang menjadi sebuah stadium terulung dengan 5,000 tempat duduk VIP, dan 900 lagi tempat duduk khas untuk keluarga dan kanak-kanak.

5. Tiket bagi perlawanan-perlawanan Paris Saint-Germain di kampung halamannya sering habis dijual. Pelaburan yang dijana oleh jualan tiket dan hospitaliti telah meningkat sebanyak empat kali ganda dalam masa tujuh tahun.

6. Paris Saint-Germain merupakan antara kelab bola sepak yang bertumbuh paling pantas di dunia dengan pendapatan mencecah lebih $1 bilion pada tahun 2016/2017 (menurut Brand Finance).

7. Pendapatan kelab ini telah meningkat sebanyak lima kali ganda dari €80 juta kepada lebih €500 juta, manakala pendapatan tajaan-nya telah meningkat sebanyak sepuluh kali ganda antara tahun 2011 hingga 2018. Kelab ini juga menikmati penawaran tajaan yang paling mahal dari beberapa jenama terkemuka di dunia.

8. Kepopularan kelab ini di pentas dunia terus meningkat. Saiz asas peminatnya sedang meningkat secara eksponen. Hari ini, ia merupakan kelab yang paling diikuti di dunia, dan komuniti pengikutnya telah melompat dari 0 hingga 60 juta orang dalam tempoh kurang daripada tujuh tahun.

9. Akademi Paris Saint-Germain terus berkembang dengan penyertaan lebih 12,000 orang kanak-kanak pada setiap musim di 12 negara, yang merangkumi 60 tapak, 35 kota serta 150 kem sukan.

10.Kelab ini amat menekankan asas falsafahnya untuk menyumbang semula kepada masyarakat. Justeru itu, satu yayasan telah ditubuhkan bagi merealisasikan tujuan ini. Antara pelbagai projek yang dikelolakan, projek Red & Blue School telah membolehkan kelab ini menyokong remaja yang kurang bernasib baik.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend