Pemberi Pinjaman Wang Berlesen Dapat Kemudahan Maklumat Kredit Daripada RAMCI

Kuala Lumpur, 3 April 2019: RAM Credit Information Sdn Bhd (“RAMCI”) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pemberi Pinjaman Wang Berlesen Punjabi Malaysia Malaysia (MPLMA) untuk membolehkan Persatuan mengguna pakai kemudahan maklumat kredit RAMCI dengan tujuan meningkatkan profesionalisme dan kecekapan di dalam perniagaan pembiayaan pinjaman wang berlesen di negara ini.

Dengan kerjasama strategik ini, ahli MPLMA boleh memanfaatkan laman web carian kredit RAMCI iaitu CrediTrack, untuk melakukan pemeriksaan kredit, menilai risiko pinjaman dan memastikan jika peminjam berpotensi untuk menjadi pembayar balik yang bagus. Pada masa yang sama, Biro Perdagangan RAMCI (“Trade Bureau”), sebuah platform kolaborasi bebas yang neutral pula berfungsi sebagai saluran bagi syarikat-syarikat Pemberi Pinjaman Wang Berlesen untuk berkongsi maklumat berkenaan pembayar ingkar serta hutang lapuk.

Sementara itu, Dawn Lai, Ketua Pegawai Eksekutif RAMCI, berkata, “RAMCI yakin bahawa kerjasama ini akan memberi kesan positif kepada perniagaan  pembiayaan wang berlesen di Malaysia. Pemberi Pinjaman Wang Berlesen perlulah berhati-hati apabila meluluskan permohonan pinjaman. Justeru, dengan menawarkan mereka akses untuk kemudahan maklumat kredit kami yang terbukti dan berkesan, kami dapat membantu mereka mencegah dari berlakunya pembayar ingkar dan hutang lapuk. Di samping itu, ahli MPLMA juga akan mendapat manfaat menerusi maklumat yang lebih komprehensif mengenai sejarah pembayaran balik peminjam yang berpotensi.

Justeru berdasarkan maklumat ini, mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk menawarkan pinjaman ataupun tidak.

Kerjasama antara RAMCI dan MPLMA ini merupakan sebuah langkah yang tepat dan strategik, serta bertepatan dengan gesaan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada syarikat Pemberi Pinjaman  Wang Berlesen agar melaksanakan penjenamaan semula bagi menambahbaik kecekapan dan persepsi terhadap industri yang dikawal dan dipantau ketat ini.

Encik Amrinderjit Singh, Naib Presiden MPLMA, berkata, “Lebih-lebih lagi dalam ekonomi yang mencabar pada hari ini, ianya sangat penting untuk melihat profil kredit pemohon kerana Pemberi Pinjaman Wang Berlesen mengambil risiko yang besar apabila memberi pinjaman, terutama kepada mereka yang mempunyai permohonan pinjaman yang telah ditolak oleh bank. Pada waktu ini, ahli kami menghadapi hutang lapuk sebanyak 30% ​​- 40% di kalangan peminjam. Oleh itu, kami yakin bahawa kerjasama bersama RAMCI ini tepat pada masanya dan boleh  memberi manfaat kepada ahli kami. Bukan itu sahaja, malah ia membantu mereka mewujudkan asas yang kukuh dalam pengurusan risiko hutang, meningkatkan lagi kredibiliti dan imej Pemberi Pinjaman Wang Berlesen di negara ini. ”

Bagi mewakili pihak Pemberi Pinjaman Wang Berlesen di Malaysia, MPLMA terus melaksanakan usahanya di seluruh negara untuk menyediakan platform bagi para ahli menerusi pelbagai seminar dan bengkel pendidikan, agar perniagaan mereka bertambah cekap dan profesional. Ia juga bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia supaya lebih bijak apabila mencari kredit dan memilih Pemberi Pinjaman  Wang yang sah, berlesen dan bukannya “Ah Long”.

MPLMA juga berkerjasama dengan pihak-pihak berkaitan seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan & Kerajaan Tempatan, Jabatan Perlindungan Data Peribadi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini, RAMCI , agensi pelaporan kredit untuk memberi maklum balas mengenai isu undang-undang berkaitan dengan industri kredit mikro.

“Buat masa sekarang, MPLMA mempunyai 500 ahli dan ia terbuka kepada semua Pemberi Pinjaman Wang Berlesen Malaysia. Oleh itu, kami menjemput semua Pemberi Pinjaman Wang Berlesen yang ada agar tampil untuk diwakili melalui Persatuan,” akhiri Amrinderjit.

Mengenai RAM Credit Information Sdn Bhd

RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI) merupakan agensi pelaporan kredit yang terkemuka dan paling dipercayai di Malaysia dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Ia mempunyai pangkalan data menyeluruh yang dibina sepanjang 26 tahun yang lalu. Hari ini, rakan-rakan institusi RAMCI seperti RAM Holdings Berhad dan Experian Asia Pacific telah memanfaatkan syarikat tersebut dengan pengetahuan domain yang luas bagi memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna di Malaysia serta di peringkat global menerusi pelbagai perkhidmatan yang komprehensif. Ia turut berkolaborasi dengan persatuan dan koperasi bagi memenuhi keperluan ahli-ahli mereka. Keupayaan teras RAMCI termasuk maklumat kredit atas talian, perkhidmatan penarafan kredit dan pemarkahan kredit, perkhidmatan pemantauan dan maklumat antarabangsa dan perkhidmatan biro perdagangan (“Trade Bureau”). Untuk maklumat lanjut, layari www.ramcreditinfo.com.my. 

Mengenai Persatuan Pemberi Pinjaman Wang Berlesen Punjabi Malaysia (MPLMA)

Persatuan Pemberi Pinjaman Wang Berlesen Punjabi Malaysia, (MPLMA) ditubuhkan pada tahun 1952 (sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Punjabi Sahukara Malaya). Dipacu oleh slogan “Tradisi Lama untuk Generasi Baharu”, MPLMA memperjuangkan amalan beretika dalam industri kredit mikro yang dikawal dan dipantau ketat. Persatuan ini juga bekerjasama erat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberikan maklum balas mengenai undang-undang dan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, profesionalisme & persepsi Pemberi Pinjaman Wang Berlesen di negara ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mplma.com

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend