Perletakan Jawatan Tan Sri Wahid, Satu Kehilangan

Spekulasi perletakan jawatan Tan Sri Abdul Wahid Omar akhirnya terjawab apabila beliau diumumkan bersara sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkuatkuasa 30 Jun 2018, kata PNB dalam satu kenyataan. Dalam satu kenyataan yang sama Datuk Awang Adek Hussin turut melepaskan jawatan Pengarah PNB berkuatkuasa pada 30 Jun.

Jumaat pagi yang lepas PNB telah mengadakan sesi Townhall bersama kakitangannya dan Wahid mengumumkan perletakan jawatannya dalam majlis yang sama. Melalui ucapan beliau, keputusan untuk bersara itu dibuat secara sukarela.

Tan Sri Wahid mula dilantik sebagai Pengerusi PNB pada 1 Ogos 2016 menggantikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Spekulasi sebelum ini memuncak bahawa pentadbiran baharu kerajaan tidak gembira dengan kenyataannya mempertahankan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Spekulasi Tan Sri Wahid bakal meninggalkan PNB tercetus sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. Dua hari sebelum PRU-14, beliau telah mengeluarkan kenyataan mengenai mengapa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) harus dikekalkan dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah bersifat regresif.

Bekas senator ini merupakan seorang akauntan bertauliah, pernah mengetuai Maybank, selepas menerajui transformasi Telekom Malaysia. Beliau juga telah mengetuai proses pemulihan UEM Group.

Di waktu yang singkat semasa beliau di Maybank juga, beliau berhajat untuk menjadikan Maybank sebagai bank patuh syariah agar orang ramai boleh membeli saham mereka. Info lanjut mengenainya boleh didapati di Melabur Dalam Saham Maybank Bakal Jadi Halal?

Semasa di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menyelia agensi-agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perangkaan, Ekuinas, Talent Corporation, TERAJU dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera.

Kerjaya Tan Sri Wahid dalam bidang korporat dan kerajaan

Kredit Gambar: Infografik Bernama

Kredibiliti dan kepimpinan beliau disenangi ramai. Malah pemergian beliau dianggap sebagai satu kehilangan dalam pentadbiran negara. Melalui video perpisahan Tan Sri Wahid yang dikongsikan di Facebook, Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf Hussamuddin Yaacub turut rasa terkesan dengan perletakan jawatan beliau.

Sebuah video yang buat saya menitis air mata di pagi sabtu ini.

Posted by Hussamuddin Yaacub on Jumaat, 29 Jun 2018

 

Tan Sri Wahid memulakan tugas dengan tiga mandat iaitu:

  • Menambah baik prestasi korporat PNB dan syarikat-syarikat di bawahnya
  • Mempertingkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor perniagaan dan korporat
  • Membantu kerajaan dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat

Tan Sri Wahid menyedari pelabur yang sensitif dengan soal halal dan haram enggan turut serta dengan skim pelaburan ditawarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Justeru, PNB dilihat lebih agresif melakukan perbincangan dengan majlis fatwa negeri dan institusi kewangan Islam di dalam negara. Sesi perbincangan ini dilakukan untuk membentangkan data terkini pelaburan PNB dan subjek yang menjadi pertikaian status pelaburan ASB itu sendiri.

Dalam tempoh yang singkat, semua majlis fatwa negeri telah mencapai kesepakatan dalam hukum pelaburan ASN dan ASB. Majlis fatwa Selangor menimbang semula fatwa mereka dan mencapai persetujuan untuk mengharuskan pelaburan itu pada 27 April 2017. Majlis fatwa Pulau Pinang telah mencapai persetujuan sama pada mesyuarat 15 Ogos 2017. Oleh itu, kekeliruan masyarakat dalam perkara ini sepatutnya tidak timbul lagi, dan ini dapat menarik lebih ramai pelabur di kalangan orang Melayu.

Boleh baca lebih lanjut mengenainya di Saham Amanah PNB Sudah Jatuh Hukum Harus Di Seluruh Negara.

Semenjak kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum yang lepas, ramai CEO dan Pengarah Urusan syarikat berkaitan kerajaan dilihat melepaskan jawatan mereka. Pemergian Tan Sri Wahid walaubagaimanapun disifatkan sebagai satu kehilangan kerana beliau telah menunjukkan rekod pimpinan yang terbaik dan ia turut diakui oleh netizen.

Kredit: BH Online, Astro Awani 

Nama-nama Yang Telah Gugur Atau Bakal Gugur

Di antara nama-nama berprofail tinggi yang telah melepaskan jawatan atau akan melakukannya tidak lama lagi adalah:

1. Datuk Seri Najib Razak – Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional)

2. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim – Pengerusi Tabung Haji (TH)

3. Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah – Pengerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

4. Tan Sri Muhammad Ibrahim – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)

5. Tan Sri Mohd Sidek Hassan – Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas)

6. Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia (TM)

7. Tan Sri Mohd Isa Samad – Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

8. Tan Sri Abdul Wahid Omar – Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB)

9. Datuk Awang Adek Hussin – Pengarah Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB)

10. Datuk Seri Tajuddin Atan – CEO Bursa Malaysia

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend