Anak Buruh Keretapi Yang Kini Menjadi Antara Orang Terkaya Di Dunia

Pernahkah anda mendengar nama Amancio Ortega? Mungkin nama ini agak janggal berbanding dengan nama bilionair lain seperti Bill Gates atau pun Mark Zuckerberg. Tetapi anda pasti pernah mendengar nama butik Zara yang terkenal itu bukan?

Pengasas Jenama Zara Yang Pemalu

Amancio Ortega merupakan pengasas kepada rangkaian butik yang beroperasi di hampir 100 buah negara. Ramai yang tidak begitu mengenali figura ini kerana sikapnya yang begitu low-profile. Dia sanggup menghabiskan jutaan dolar semata-mata untuk memastikan privasi hidupnya tidak terganggu.

 

Beliau dilahirkan pada 28 Mac 1936 di sebuah perkampungan kecil di utara Sepanyol. Sewaktu dilahirkan, negaranya sedang menghadapi perang saudara. Amancio merupakan anak bongsu daripada 4 orang adik beradik. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang susah. Bapanya seorang pekerja rel kereta api. Manakala ibunya pula hanya seorang pembantu rumah.

Kesusahan hidup mereka membuatkan ibunya terpaksa meminta untuk berhutang bagi membeli barangan keperluan. Tetapi permintaan ibunya itu telah ditolak pemilik kedai. Amancio yang melihat sendiri kejadian itu turut berasa terhina. Jadi pada usia seawal 13 tahun, dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.

Kepayahan Hidup Menjadi Pemangkin, Mula Bekerja Seawal Umur 14 Tahun

Pada usia 14 tahun, lelaki hebat ini mula bekerja sebagai pembantu kedai disebuah perusahaan pakaian tempatan. Di sanalah beliau mula belajar menjahit baju. Usia remaja yang dihabiskan dengan bekerja, membuatkan Amancio menjadi lebih matang. Kalau remaja lain, umur 16 tahun mungkin masih lagi tercari-cari cita-cita sendiri. Tetapi Amancio sudah tahu apa yang dimahukan. Dia mahu menjadi usahawan.

Pada tahun 1950-an, beliau telah berpindah ke sebuah kawasan yang bernama Galicia. Baginya ia merupakan tempat yang paling tepat untuk memulakan bisnes. Kenapa? Di kawasan ini, kadar pengangguran adalah tinggi. Kebanyakkan kaum lelaki pula memilih untuk belayar di lautan dan meninggalkan keluarga mereka.

Rebut Peluang Yang Kadang-kala Tersembunyi

Isterilah yang terpaksa menggantikan tugas suami mereka, dan sanggup melakukan pelbagai kerja untuk menyambung kehidupan. Amancio mendapati mereka ini pandai menjahit. Jadi golongan ini diambil untuk bekerja dengannya. Mungkin disebabkan Amancio juga berasal daripada golongan susah, dia amat rapat dengan para pekerjanya.

Mulai saat itu juga, Amancio Ortega terus menerus melakar kejayaan. Bermula daripada hanya di sebuah kawasan mundur, empayarnya kini bernilai ratusan billion. Pada tahun 2016, ikon ini pernah menyandang gelaran manusia paling kaya di dunia mengalahkan Bill Gates sebelum dirampas kembali pemilik Microsoft itu selepas 2 minggu. Kini kekayaannya dianggarkan berjumlah lebih 71 billion Dollar.

Tak Kira Dari Mana Asal-Usul Kita, Yang Penting Usaha & Tawakal

Jadi siapa kata orang yang datang daripada latar belakang susah tidak boleh berjaya? Tengok saja Amancio Ortega dan kisahnya, untuk kita jadikan inspirasi dan teladan. Tanpa usaha yang gigih, mana mungkin seseorang itu akan berjaya. Tetapi kita sebagai orang Muslim, wajib juga kita bertawakal kepada Allah, Maha Pemberi Rezeki untuk mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

Artikel ini diilhamkan daripada penulisan http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/anak-buruh-keretapi-ini-kini-no3-paling-kaya-di-dunia.html/ dan daripada https://astrumpeople.com/amancio-ortega-gaona-biography/

Komen

komen