“Aspirasiku” Tranformasi Nasional 2050

Agak-agak apa jadi 30 tahun akan datang?

“Sepanjang sejarah pembangunan negara, kita berpandukan cita-cita yang murni pada masa-masa yang penting. Bermula dengan era Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), kita melangkah ke era Wawasan 2020 (1991-2020). Kini, kita perlu bersedia menghadapi tempoh 30 tahun akan datang.” https://mytn50.com/

Adakah dunia ini akan jauh berbeza daripada sekarang ketika tahun 2050 nanti?

Apakah yang kita inginkan berlaku pada ketika itu? Apakah aspirasi kita 30 tahun akan datang?

Saya sempat hadir ke sesi dialog Transformasi Nasional 2050 bersama YB Khairy Jamaludin di USM Pulau Pinang, dan rata-rata penduduk Malaysia menginginkan Malaysia menjadi sebuah negara yang;

(1) Aman dan tiada pepecahan antara kaum
(2) Sistem pendidikan yang bertaraf dunia
(3) Perkhidmatan perubatan yang terbaik
(4) Kemudahan infrastruktur yang lengkap dan canggih
(5) Bersih dan kekal hijau

Sebagai rakyat Malaysia saya terpanggil untuk mencoret aspirasi sendiri dan berkongsi bersama dengan semua pembaca setia majalahlabur.com.

6 Aspirasiku Untuk Tahun 2050

1. Malaysia Aman

Keamanan adalah tunjang utama kejayaan sesebuah negara. Pada tahun 2050, dijangkakan kepadatan penduduk lebih tinggi daripada sekarang. Pelbagai cabaran mungkin akan timbul sekiranya kita tidak bersedia daripada sekarang. Perbalahan di antara kaum masih lagi wujud sehingga sekarang. Seharusnya semua bangsa menjadi satu sebagai bangsa Malaysia, dan tiada lagi istilah bangsa Melayu, Cina atau India.

Selain daripada itu, cabaran-cabaran lain yang akan wujud adalah berkaitan dengan aspek perumahan, oleh kerana populasi penduduk yang tinggi menyebabkan kesukaran untuk menyediakan perumahan pelbagai kos untuk membolehkan semua golongan mendapat tempat tinggal yang selesa.

2. Pendidikan

Sumber gambar: astroawani.com
Pendidikan adalah penentu kepada masa depan sesebuah negara. Untuk menjadi sebuah negara yang maju, Malaysia perlukan rakyat yang bijak menguruskan ekonomi negara. Pelan pendidikan seharusnya dikaji dengan teliti dan dibangunkan sesuai dengan keperluan 30 tahun akan datang.

3. Nilai-nilai Murni dan Agama

Walau sehebat mana pun kita pada ketika itu – adat, budaya, nilai-nilai murni dan pegangan agama perlu dikekalkan sampai bila-bila. Penyampaian dan warisan harus dilakukan dari sekarang supaya semuanya tepelihara sehingga tahun 2050 kelak.

4. Teknologi

Gerbang maya semakin banyak digunakan dalam interaksi sesama insan. Semua bangunan, kenderaan  dan kemudahan awam adalah bersifat pintar dan saling berhubung antara satu sama lain. Harapan kita pada tahun 2050, tiada lagi pejabat dan pekerja tidak perlu berulang alik ke tempat kerja sebaliknya melakukan kerja di rumah melalui bantuan teknologi.

5. Infrastruktur dan Kemudahan Awam

Kerajaan Malaysia perlu memperkenalkan pendekatan kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kualiti infrastruktur dan kemudahan awam. Diharapkan pada tahun 2050 nanti, tidak lagi berlaku kesesakan lalu lintas kerana kita sudah mempunyai pengangkutan awam yang lebih cekap. Dan secara tidak langsung, kita jadi bebas daripada pencemaran udara.

Selain daripada itu, masyarakat juga mengharapakan pada tahun 2050 akan menjadikan perkhidmatan perubatan yang ada merupakan berteknologi tinggi.

6. Bumi Kekal Hijau

Dalam arus perdana ke arah menuju sebuah negara yang moden dan canggih sejajar dengan kemajuan ekonomi dan teknologi, penjagaan alam sekitar harus diutamakan. Sungguhpun kita sangat dahagakan kemajuan, namun pengekalan dan kestabilan alam sekitar adalah sangat penting. Untuk melihat bumi hijau, air laut yang biru dan menghirup udara segar, kita perlu bermula daripada sekarang.

Semoga pada tahun 2050 nanti, anak-anak kita dapat melihat kehijauan yang sama seperti yang kita nikmati sekarang.

Pengurusan sistem sisa buangan juga harus di kendalikan dengan lebih baik supaya Malaysia menjadi negara terbersih di dunia.

Bagaimana Pula Dengan Aspirasi Anda?

Selesai enam aspirasi saya untuk tahun 2050.. anda pula? Suarakan impian ada sebagai rakyat Malaysia.

Komen

komen