Ingat Burger, Ingat Ramly Burger

Apabila perut lapar di tengah-tengah malam, sudah pasti makanan ringan yang mengenyangkan menjadi pilihan. Masyarakat di Malaysia sudah sinonim dengan jenama fast food yang popular seperti McDonald, KFC, MarryBrown dan sebagainya, tetapi kadangkala ‘bajet ciput’ menjadi masalah. Alternatif lain adalah dengan membeli burger yang di jual di gerai-gerai yang terdapat di mana-man sahaja.

Sebut sahaja fasal burger murah dan sedap, pastilah burger dari rangkaian produk Ramly yang menjadi pilihan, kerana kebanyakan “abang-abang” burger menggunakan produk daging burger daripada Ramly.

Siapa Ramly burger ni? Jom kita kenali pengasas produk makanan segera yang paling berjaya di Malaysia.

Bermula Pada Tahun 1984 Dengan Modal RM2,000

Dato’ Haji Ramly bin Mokni
Kredit Gambar: Utusan Online

Dato’ Haji Ramly bin Mokni, iaitu pengasas dan pemilik Kumpulan Ramly adalah merupakan seorang anak jati kelahiran Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak. Bercita-cita sebagai seorang doktor, tetapi kerana faktor kemisikinan, beliau tidak dapat meneruskan cita-cita tersebut.

Anak kepada pasangan petani ini kemudiannya berhijrah ke Sekinchan, Selangor bersama abangnya untuk memulakan hidup baru dan keluar dari kepompong kemiskinan. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang buruh sebelum mendapat pekerjaan sebagai seorang pemotong daging di Kuala Lumpur sekitar awal 1970-an.

Pada waktu itu, terdapat beberapa isu mengenai makanan sejuk beku yang tidak dapat dipastikan halal haramnya. Bermula dengan isu inilah tercetusnya idea beliau untuk menghasilkan daging burger dan sosej yang dijamin halal, bersih dan berkualiti untuk umat Islam.

Setiap usaha murni pasti akan datang dengan pelbagai halangan dan cabaran. Usaha beliau untuk pernah diperlekehkan oleh masyarakat yang tidak yakin dengan apa yang beliau ingin lakukan. Namun, semua itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mencuba.

Dengan berbekalkan modal sebanyak RM2,000, beliau membuat sendiri daging burger secara manual tanpa bantuan apa-apa mesin dan hanya bergantung dengan pisau sahaja dan menjualnya dari rumah dengan bantuan isteri tercinta, Datin Shala Siah binti Abdul Manap.

Tidak Pernah Berputus Asa

Pada awal perniagaan mereka, sambutan kurang memberangsangkan. Tetapi beliau dan isteri tetap tidak berputus asa, dan menjual daging burger yang dihasilkan dengan membuka gerai burger di kawasan di Chow Kit. Berikutan daripada itu, semakin hari permintaan terhadap daging burger yang beliau hasilkan semakin meningkat, sehingga mendapat tempahan sebanyak 3,000 keping daging burger dalam sehari.

Pada sekitar tahun 1980-an, Dato’ Haji Ramly bin Mokni dan isteri mula membuka syarikat dan seterusnya berjaya membuka kilang pemprosesan daging burger di bandar Tun Razak empat tahun kemudian.

Bermula dengan sebuah syarikat kecil, ia telah berkembang dan berkembang dari semasa ke semasa. Syarikat utama kini dikenali sebagai Ramly Mokni Holdings Berhad dan anak syarikatnya adalah Ramly Food Processing Sdn. Bhd, Ramly Mokni Marketing Sdn. Bhd, Ramly Supermart Sdn. Bhd dan Ramly Mokni Bakery Sdn. Bhd. Dato’ Haji Ramly berjaya memperluaskan perniagaannya ke tahap komersial.

Syarikat itu juga telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan iaitu Anugerah Projek Terbaik (1982), Anugerah Pembangunan Pelanggan (1984) dan Anugerah Usahawan Jaya (1992) kerana prestasinya yang cemerlang. Ini menunjukkan bahawa Dato’ Haji Ramly proaktif dalam pengurusannya.

Syarikatnya kini turut mengusahakan pemprosesan nugget, daging kisar, bebola daging, sos cili dan sebagainya. Yang pastinya, usaha dan tekad beliau sebagai anak jati Melayu yang berjaya menjadi inspirasi kepada yang lain untuk memajukan diri.

Sumber Rujukan: SelangorKini

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend