Kenali 5 Bangunan Tertinggi Di Malaysia

Bila sebut sahaja bangunan tertinggi di Malaysia, kita pasti terlintas gambaran Menara Berkembar Petronas. Ikon Malaysia ini telah memegang takhta sebagai bangunan tertinggi di dunia selama 7 tahun (1998 – 2004) sebelum dirampas oleh menara Taipei 101.

Jom kita bersama-sama kenali 5 bangunan tertinggi di Malaysia seperti berikut:

1. Menara Berkembar Petronas

Tinggi: 451.9 meter, 88 tingkat

Tahun Siap Dibina: 1998

Setiap negara pasti mempunyai monumen atau pun bangunan yang menjadi lambang kebanggaan. Jika di Perancis mereka ada Menara Eiffel, di Amerika Syarikat mereka ada Statue of Liberty, di Malaysia pula kita ada Menara Berkembar Petronas.

Menara setinggi 88 tingkat ini direka berdasarkan lambang kesenian Islam yang mana ianya mencerminkan agama rasmi di negara ini. Jika kita lihat pada keratan rentas menara ini, ianya berbentuk Rub el Hizb (Lambang ini digunakan sebagai penanda penghujung surah dalam Seni khat Islam).

Sumber: Wikipedia

2. Four Seasons Place

Tinggi: 342.5 meter, 65 tingkat

Tahun Siap Dibina: 2018

Bangunan kedua tertinggi yang terletak bersebelahan Menara Berkembar Petronas ini baru sahaja beroperasi Julai lalu. Ianya dimiliki oleh Venus Asset Sdn Bhd dengan keluasan 1.5 juta kaki persegi dan menelan belanja RM3 bilion.

Four Seasons Place terdiri daripada Four Seasons Hotel, 242 unit kediaman peribadi, 21 serviced apartments dan pusat membeli-belah. Dianggarkan unit termurah disini berharga RM3 juta bagi keluasan 1,098 kaki persegi!

3. Menara Telekom

Tinggi: 310 meter, 55 tingkat

Tahun Siap Dibina: 2001

Menara Telekom ini merupakan bangunan ibu pejabat kepada syarikat telekomunikasi tanah air, Telekom Malaysia Berhad. Bangunan ini direka oleh Hijjas Kasturi dan reka bentuknya ini menyerupai sebatang buluh yang bercambah.

Beberapa bulan lepas, menara ini berjaya mencuri perhatian orang ramai terutamanya peminat filem Avengers apabila mereka meletakkan lambang Avengers di menara mereka. Ianya merupakan kerjasama di antara Marvel Malaysia dan TM bagi mempromosikan filem Avengers: Infinity War.

Sumber: JuiceOnline

4. Astaka Tower A

Tinggi: 278.8 meter, 73 tingkat

Tahun Siap Dibina: 2018

Kondo mewah ini merupakan bangunan kediaman yang tertinggi di Malaysia yang terdiri daripada 423 unit apartment dan duplex. Ianya dibina di tengah bandar raya Johor Bahru dan merupakan milik Astaka Padu Sdn Bhd.

Projek ini telah berjaya menarik minat orang asing terutamanya daripada negara jiran, Singapura oleh kerana akses yang mudah bagi perjalanan Malaysia-Singapura. 70% daripada unit yang telah terjual merupakan milik orang Singapura.

Menurut Astaka holdings, mereka telah merangka pelan untuk membina laluan bawah tanah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

5. Menara Ilham

Tinggi: 274 meter, 60 tingkat

Tahun Siap Dibina: 2015

Menara yang turut dikenali sebagai Menara IB (Ilham Baru) ini menempatkan pejabat, bilik mesyuarat, spa, auditorium, kafe dan juga serviced apartment.

Tarikan utama bangunan ini adalah Galeri Ilham, galeri seni yang mempamerkan karya seni artis Malaysia dan antarabangsa. Menurut ILHAM , galeri ini dibina bagi menyokong pembangunan, pemahaman dan keseronokan dalam seni kontemporari.

Sumber: The Star

Senarai ini adalah berdasarkan bangunan yang telah siap dibina sehingga tahun 2018 sahaja. Walau bagaimanapun, Menara Exchange 101 bakal merampas takhta bangunan tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 492 meter, mengatasi Menara Berkembar Petronas (452 meter) setelah pembinaannya dijangka selesai tahun hadapan.

Namun, takhta ini tidak kekal lama dan bakal diserahkan kepada Menara Merdeka PNB 118 apabila bangunan yang dimiliki Permodalan Nasional Berhad itu siap pada tahun 2024 dengan ketinggian 644 meter.

Tuan Mohd Kauthar Rozmal merupakan seorang perancang kewangan peribadi dan graduan jurusan matematik.

Sumber Rujukan: Statista

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend