Kenali Gabenor Bank Negara Wanita Pertama Malaysia

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz

Sumber: Twitter

Selama 16 tahun dilantik sebagai Gabenor Bank Negara, bukanlah satu jangka masa yang sekejap. Apatah lagi jawatan yang dipegang merupakan salah satu jawatan yang terpenting di dalam sektor perbankan negara. Tambahan pula, beliau merupakan wanita pertama memegang jawatan sepenting ini.

Mari kita kenali sosok Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, “tukang cop duit” rakyat Malaysia suatu ketika dahulu.

Asal Dari Johor Bahru

Y.M. Tan Sri Dato’ Seri Utama Prof. Dr. Ungku Zeti Akhtar binti Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz, puteri tunggal pasangan tokoh ilmuan Negara dan tokoh budayawan Negara iaitu Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz dan Sharifah Azah Aziz ini dilahirkan di Johor Bahru pada tanggal 27 Ogos 1947.

Memulakan alam persekolahan di Sekolah Menengah Assunta pada tahun 1958, pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi Analitikal dari Universiti Malaya ini kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa di University of Pennsylvenia pada 1978.

Beliau menjadi suri kepada Dato’ Dr. Tawfiq Ayman dan dkurniakan dua orang putera, iaitu Aliff dan Aziz. Berikut merupakan pencapaian beliau:

  • Memulakan kerjaya sebagai Penyelidik ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara (Southeast Asia Central Banks Research and Training Centre) sekitar tahun 1979 hingga 1984
  • Beliau menyertai Bank Negara Malaysia pada tahun 1985 seterusnya dilantik sebagai setiausaha lembaga perbankan pada 1987.
  • Beliau kemudiannya dilantik sebagai Penolong Pengurus Jabatan Ekonomi di Bank Negara Malaysia.
  • Pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia.
  • Tanggal 1 September 1998, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia selepas Datuk Ahmad Mohd Don mengundurkan diri.
  • Kemudian, beliau dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh pada 1 Mei 2000, dan beliau merupakan wanita pertama dilantik dalam jawatan tersebut.
  • Pada tahun yang sama (1998-2000), beliau dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Bhd.
  • Seterusnya, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz menjadi salah seorang ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd pada tahun 2004.
  • Sekitar November 2008, beliau dipilih menganggotai Suruhanjaya Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencadangkan hala tuju sistem kewangan dunia serta mempengerusikan jawatankuasa kerja usahasama global bagi merangka pelan induk kerjasama kewangan antara bank-bank pusat.
  • Pada 20 April 2011, beliau kembali dilantik sebagai Gebenor Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Mei 2011.
  • Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz adalah ahli lembaga gabenor Bank-Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN- Southeast Asian Central Banks) dan Pengerusi lembaga pengarah SEACEN.

Dinobatkan Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia

Pada 13 September 2010, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh Majalah Global Finance. Ia berdasarkan faktor kawalan inflasi, sasaran pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang dan pengurusan kadar faedah.

Beliau juga turut mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Maal hijrah 2010. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz juga telah dianugerahkan Pingat Dekan Wharton (Wharton Dean’s Medal) oleh Wharton School of the University of Pennsylvania atas pencapaian dan kejayaannya mengemudi ekonomi Malaysia pada tahun 2015.

Anugerah tersebut merupakan penghargaan tertinggi kepada alumni universiti yang membawa impak besar kepada ekonomi Asia dan global.

Dan kini beliau berkhidmat kembali bersama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai salah seorang daripada lima orang tokoh di dalam Majlis Penasihat Kerajaan yang lain iaitu bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin. bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, Ahli Ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram dan tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok.

Sumber Rujukan:

Komen

komen