Khalifah Umar Abdul Aziz – Jelmaan Saidina Umar Al-Khattab Ketika Zaman Bani Ummaiyyah

Jarang sekali kita ketahui cerita mengenai Khalifah Umar bin Abdul Aziz, iaitu salah seorang Khalifah di zaman kegemilangan Bani Ummaiyah. Akan tetapi, beliau dikatakan sebagai jelmaan kepada Khalifah Saidina Umar Al-Khattab, salah seorang sahabat kesayangan Baginda Rasulullah SAW. Apa sebenarnya yang telah beliau lakukan ketika dilantik sebagai Khalifah pada zamannya?

Mari kita ikuti kisah figura hebat yang disegani ini.

Khalifah Umar ibni Abdul Al-Aziz, dilahirkan pada tahun 682 Masihi dan merupakan anak kepada Gabenor Mesir Abdul Al-Aziz, yang merupakan adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Beliau merupakan cicit kepada Khalifah kedua Khulafa’ Ar-Rasyidin iaitu Khalifah Saidina Umar Al-Khattab melalui ibunya, Laila binti Asim bin Umar Al-Khattab. Rupa-rupanya, keperibadian beliau terbentuk daripada sikap moyangnya sendiri.

Pernah Menjadi Gabenor Madinah

Khalifah Umar dibesarkan di Madinah dan terus menetap di sana sehingga kematian ayahnya. Beliau kemudian dipanggil oleh Khalifah Abdul Malik ke Damsyik. Keperibadian Umar telah menarik perhatian Khalifah Abdul Malik yeng kemudiannya mengahwinkan Umar dengan puterinya iaitu Fatimah. Setelah Khalifah Abdul Malik meninggal dunia, Umar dilantik sebagai gabenor Madinah oleh Khalifah Walid Abdul Malik yang menggantikan ayahnya.

Sepanjang memegang jawatan sebagai Gabenor Madinah, Khalifah Umar yang hartawan banyak memberi bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan, di mana seluruh penduduk Madinah sangat suka dengan pentadbirannya. Namanya semakin dikenali sehingga menyebabkan semakin ramai yang berhijrah ke Madinah terutama sekali golongan yang tertindas dari Iraq; yang ingin memohon perlindungan dari kekejaman Gabenor Iraq ketika itu, iaitu Hajjaj bin Yusuf.

Ini mendatangkan kemarahan Hajjaj yang kemudiannya mendesak Khalifah Walid Abdul Malik untuk memecat Umar, yang terpaksa tunduk kepada kemahuan Hajjaj biar pun mendapat bantahan penduduk Madinah.

Umar terus menetap di Madinah sepanjang pemerintahan Khalifah Walid dan Khalifah Sulaiman. Setelah kematian Khalifah Sulaiman, Umar dilantik sebagai Khalifah melalui bai’ah, dan juga mengikut wasiat Khalifah Sulaiman. Khalifah Umar menerima jawatan tersebut dengan berat hati sehinggakan meminta rakyat untuk kembali memilih Khalifah baharu jika terdapat kekurangan pada pemerintahannya.

Di antara sumbangan Khalifah Umar sepanjang pemerintahannya adalah:

  1. Membahagikan tanah jajahan Ummayyah kepada rakyat dan mengelak dari menerima sebarang hadiah
  2. Menginfakkan keseluruhan hartanya kepada Baitulmal sehinggakan kehidupan beliau sekeluarga sendiri sangat sederhana
  3. Menguatkuasakan undang-undang syariah dan menghapuskan cukai Jizyah kepada sesiapa sahaja yang memeluk Islam tanpa mengira bangsa atau kaum
  4. Banyak menyumbangkan dana kepada kepada fakir miskin sehingga mereka menjadi kaya raya, dan tiada lagi orang miskin di akhir pemerintahannya.
  5. Menyumbangkan tanah miliknya sebagai harta milik rakyat di Baitulmal
  6. Sangat berhati-hati dalam pengurusan harta negara sehinggakan sanngup mengasingkan lilin untuk kegunaan urusan Negara dan kehidupan peribadi.
  7. Menebus kesemua tentera Islam yang ditawan musuh sehingga harta dalam baitulmal habis digunakan
  8. Melantik sebuah jabatan khusus untuk ilmuan Islam menterjemah buku-buku dari bahasa Greek kepada bahasa Arab
  9. Membina hospital khas untuk pesakit kusta
  10. Menghantar para pendakwah kepada raja-raja yang memerintah di Tanah India, para penguasa Turki dan para pemimpin Barbar di Afrika Utara

Keperibadian Khalifah Umar Abdul Aziz yang sangat mulia menjadikan beliau seorang pemimpin yang sangat disayangi rakyat. Sikapnya ini juga sangat dipuji oleh pemerintah zaman Bani Abbasiyah yang mengatakan bahawa mereka tidak akan pernah akan mendapat seseorang yang seperti Khalifah Umar Abdul Aziz di kalangan mereka buat selama-lamanya.

Sumber Rujukan:

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend