Ikuti Kisah Ieza Yusof, Dari Gaji RM1,200 Sebulan ke Multi-Millionaire

Baru-baru ini, kami berbesar hati kerana dapat meluangkan masa bersama Puan Norriza Muhamad Yusof atau lebih popular dengan nama Ieza Yusof yang sudi berkongsi kisah beliau yang berjaya mengubah kehidupan daripada seorang yang hanya makan gaji RM1,200 sebulan – sehingga berjaya menjadi jutawan di usia yang muda.

Bagi mereka yang belum mengenali beliau, Ieza Yusof mempunyai kepakaran di dalam melatih & mendidik graduan, masyarakat berkerjaya & usahawan dengan ilmu perancangan kewangan menyeluruh.

Bermula Daripada Bawah

Menyingkap kenangan lampau, beliau yang berasal dari Johor dilahirkan di dalam keluarga yang susah, mula menjual nasi lemak, air dan cendawan sejak kecil bagi membantu menambah pendapatan ibubapa. Kedua ibubapa beliau menyara hidup sebagai pekerja kilang. Biar pun diuji dengan kesusahan, beliau berjaya membuktikan ia bukan penghalang untuk cemerlang dalam pelajaran seterusnya menyambung pengajian ke UTM Semarak.

Seterusnya, beliau ditawarkan program yang tidak diminati iaitu Perakaunan; namun beliau gigihkan juga  menamatkan pengajian sehingga peringkat diploma bagi memenuhi kehendak ibubapa yang ingin lihat anak mereka berjaya di menara gading. Ini sesuatu yang jarang dapat kita lihat zaman sekarang, di mana seorang anak akan ikut sahaja apa kehendak ibubapa mereka – dan mengenepikan kehendak sendiri.

Selepas beliau tamat pengajian dengan cemerlang, Ieza mula mencari rezeki di tengah bandar Kuala Lumpur. Beliau memulakan kerjaya dengan hanya bergaji RM1,200. Dengan gaji sebanyak itu, beliau masih dapat menyimpan dan memastikan sentiasa ada duit yang boleh dikirimkan ke kampung walaupun sedikit.

Titik tolak bagaimana beliau nekad untuk keluar daripada kesempitan hidup adalah bila beliau terpaksa meminjam duit sebanyak RM6,000 daripada bos di tempat kerja kerana ingin dikirimkan kepada keluarga di kampung. Kata Ieza waktu itu beliau memang malu dengan semua orang termasuk keluarga sendiri sebab terpaksa pinjam duit untuk survive.

Nekad Berubah

Ieza nekad tidak mahu bergantung kepada ihsan orang lain lagi (pinjam duit). Beliau mula buat macam-macam kerja sampingan seperti menjual telefon dan kain bagi menambah pendapatan. Dari situlah, beliau membina keyakinan diri dan kemahiran berniaga. Kerja full-time masih dilakukan, bisnes itu dilakukan pada waktu malam dan masa terluang. Ini kerana beliau percaya perlu amanah demi keberkatan rezeki, dan tak mencuri tulang dengan makan gaji buta.

Pada tahun 2002, sahabat baik Ieza meyakinkan beliau untuk terlibat dalam industri insurans (belum ada Takaful lagi ketika itu). Dengan hanya ada modal RM60, beliau membelanjakan RM40 untuk mengambil lesen insurans dengan Great Eastern. Dan orang kata, the rest is history…

Selangkah demi selangkah, beliau membina kerjaya di dalam bidang insurans.Di sinilah ‘bintangnya’ mula bersinar, Sebut saja anugerah apa, hampir semuanya telah dimenangi sepanjang karier berbelas tahun ini. Kejayaan terbesar beliau adalah mencapai RM1 juta pertama pada usia 29 tahun. Kejayaan besar itu telah membuatkan Ieza terus ‘mengganas’ dalam dunia perniagaan insurans/takaful.

Bagi kami beliau adalah contoh anak Melayu yang ‘luar biasa’ pencapaiannya – tetapi tak ramai di kalangan kita sedar ‘kewujudan’ anak bangsa seperti Ieza.

Duit Banyak Tapi Silap Pun Banyak

Biasanya bila kita pandai dalam sesuatu perkara, kita ingat kita boleh jadi pakar dalam bidang lain secara automatik juga. Itulah yang terjadi kepada beliau. Dengan duit yang mencurah-curah masuk, beliau rasa dengan membeli hartanah akan mengakibatkan beliau tidak membazir ke arah lain.

Selepas beliau membeli 10 hartanah, barulah beliau rasa banyak kesilapan kerana kurangnya ilmu dalam bidang hartanah. Duit lebih banyak keluar rupanya selepas membeli hartanah-hartanah tersebut.

Biasalah, bila kita rasa duit tu senang masuk, tak terfikir pula pasal duit yang akan senang keluar. Beliau tekad untuk mendalami ilmu hartanah pula sehingga beliau berjaya menerapkan pula bab hartanah di dalam ilmu perancangan kewangan yang sering beliau kongsikan bersama-sama klien beliau.

9/10 Punca Rezeki Daripada Perniagaan, Kenapa Kita Takut Sangat Nak Berniaga?

Kita semua umum tahu bahawa dalam Islam, 9/10 punca rezeki itu datangnya dari berniaga. Tetapi kita masih setia dengan gaji bulanan. Lepas itu mengadu kata gaji sentiasa tak cukup, nampak sangat tak bersyukur kan? Padahal siapa yang tak berusaha untuk menambah pendapatan dengan berniaga?

Ieza berkata pengalamannya dalam industri kewangan, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat Islam khususnya orang Melayu betapa perlunya ilmu untuk merubah hidup. Kami sempat ‘mengorek’ 5 tips dari beliau ini.

5 Tips Nak Berjaya Bagi Orang Muda

#1. Baiki Hubungan

Pertama sekali, kita perlu perbetulkan hubungan kita dengan Allah. Jagalah solat dan semua tuntutan agama yang lain dan jadilah insan yang lebih baik. Tetapkan niat nak berniaga untuk membantu orang lain dan bukannya riak.

#2. Ilmu

Salah satu amalan yang boleh dibawa bersama-sama apabila kita telah mati, adalah ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, carilah ilmu dengan menghadiri majlis ilmu dan menuntut dengan guru-guru yang pakar dalam bidang masing-masing. Apabila anda cakap dengan penuh berilmu, diharapkan akan ada orang yang memperolehi manfaat dan amalkan ilmu tersebut.

#3. Jangan Ketinggalan

Dunia serba canggih sekarang, nak reach out kepada ramai orang menjadi lebih mudah. Kalau dulu kita kena bersusah-payah ke sana sini berjumpa orang, sekarang dengan adanya Facebook, Instagram; cukup mudah untuk kita sampaikan sesuatu mesej kepada ribuan orang dengan serta-merta.

#4. Servis Terbaik

Siapa bilang anda perlu keluar modal yang besar untuk berniaga? Jika ilmu dan pengalaman penuh didada, air liur anda juga menjadi mahal dan boleh menjana pendapatan. Juga pastikan servis yang anda berikan kepada pelanggan anda adalah terbaik, supaya mereka menjadi pelanggan setia.

#5. Duit

Jika kerja makan gaji pun perlu keluar duit belanja iaitu belanja seperti duit minyak, tambang bas, LRT, Uber ke tempat kerja, duit makan dan sebagainya? Sama juga halnya jika berniaga. Kalau berniaga, boleh dapat lebih sekiranya anda berusaha lebih buat marketing.

3 Harapan Ieza Yusof Kepada Orang Ramai

Tanpa kenal erti penat lelah mendidik anak bangsa supaya celik di dalam ilmu perancangan kewangan dan juga hartanah, beliau amat berharap agar:

1. Pemilikan hartanah di kalangan bumiputera meningkat

2. Satu keluarga, satu perancang kewangan

3. Lebih ramai bumiputera menceburkan diri di dalam perniagaan

Ramai gagal dalam kewangan disebabkan tiada FORMULA rancang kewangan seawal gaji pertama. Ramai sibuk cari duit tapi dah 10 tahun sibuk pun dia masih takde duit. Puncanya tak cari masa cari ilmu untuk uruskan duit.

Rajin-rajinlah follow Puan Norriza Yusof bagi mendapatkan tips-tips kewangan terbaru daripada beliau.

 

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend