Kisah Peneraju Bank Melayu Pertama

Pernahkah anda mendengar nama Maarof Zakaria? Mungkin ramai yang menggeleng tidak tahu. Tapi kami pasti tentu ramai yang mengenali anak beliau iaitu Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, pelakon veteran terkenal. Kalau anda hendak tahu, Allahyarham Maarof Zakaria merupakan individu yang bertanggungjawab mengasaskan bank Melayu pertama di negara ini.

Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, Kredit Gambar: Twitter

Maarof yang berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan merupakan di antara segelintir golongan elit Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris. Beliau seangkatan dengan Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za’aba) dan juga Ishak Haji Muhammad (Pak Sako). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai peguam dan pegawai daerah di Perak.

Pada zaman itu, ramai nasionalis dan pemimpin Melayu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British. Maarof pula sebaliknya mengambil pendekatan yang berbeza dalam membantu orang Melayu itu dengan menubuhkan sebuah bank khusus untuk orang Melayu.

Sebelum merdeka, Tanah Melayu hanya mempunyai dua buah bank utama yang dimiliki pihak asing iaitu, The Charted Bank dan Overseas Chinese Banking Corporation (OCBC). Bank-bank ini pula tidak memberi pinjaman kepada orang-orang Melayu. Jadi orang Melayu terpaksa berurusan dengan ceti-ceti untuk mendapatkan bantuan kewangan dan dikenakan kadar faedah yang sangat tinggi.

Melihat kepada keadaan ini, Maarof pun merancang untuk menubuhkan sebuah bank untuk memberi bantuan khidmat kewangan kepada bangsa Melayu. Rancangannya telah menggusarkan banyak pihak termasuk The Charted Bank dan juga OCBC. Pada tahun 1947, beliau cuba dibunuh oleh sekumpulan lelaki bersenjata api. Tetapi usaha mereka gagal.

Tidak gentar dengan ancaman yang diterima, pada tanggal 12 Mei 1947, sebuah bank bernama Malay National Bank (Bank Melayu Kebangsaan) telah ditubuhkan. Bank ini memberikan perkhidmatan pinjaman, saham, keselamatan dan harta, bon, stok dan penyimpanan khusus untuk orang Melayu.

Tetapi tragedi buruk tetap berlaku apabila Maarof telah ditemui mati digantung pada sebatang pokok selepas dua hari dikatakan hilang. Beliau ketika itu baru sahaja 7 bulan meneraju bank tersebut. Legasinya tidak terhenti apabila anak saudaranya iaitu Mustapha Mohamed Yusof menggantikan tempat beliau.

Kalau anda nak tahu bank ini juga sempat memberi 75 peminjam pertama mendapatkan modal perniagaan. Bank ini juga berkembang dengan penubuhan 6 cawangan baru di seluruh negara. Namun akibat kekangan modal, operasi Malay National Bank terpaksa dihentikan.

Untuk menghargai jasa beliau, sebuah jalan di Bangsar telah diabadikan dengan nama beliau iaitu Jalan Maarof. Walaupun kes kematiannya yang misteri itu masih tidak dapat dirungkai sehingga ke hari ini, namun jasa beliau tidak akan dilupakan dalam sejarah perbankan negara ini. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat.

Kredit Gambar: BH Online

Sumber Rujukan:

  1. https://www.orangnogori.com/pengasas-bank-melayu-pertama-kelahiran-negeri-sembilan-diculik-dan-dibunuh-dengan-kejam.html
  2. https://moshed.com/kisah-tragis-penubuhan-bank-melayu-pertama-70-tahun-lalu/
  3. https://www.bharian.com.my/node/24645
  4. https://www.bharian.com.my/node/46508

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend