Nak Rezeki Melimpah Ruah?

Sebut sahaja sedekah, pasti ramai yang sedia maklum mengenainya terutama di kalangan orang beragama Islam. Juga dikenali sebagai infaq, ia bermaksud kita memberi atau menghadiahkan sesuatu kepada orang lain.

Sedekah Bukan Wang Ringgit Saja, Senyum Pun Dikira Sedekah

Samada kita sedar atau pun tidak, konsep bersedekah ini adalah satu aturan yang sangat baik oleh Allah SWT. Kerana ianya telah ditulis bahawa semakin banyak kita bersedekah, rezeki kita juga akan semakin melimpah ruah. Dengan beri 1 sahaja, kita dapat balik 700 dengan izin-Nya.

Tahukah anda bahawa mereka yang berada pada kedudukan yang tinggi dengan dikurniakan kemewahan yang tidak putus-putus, adalah mereka-mereka yang suka bersedekah? Sebelum mereka kaya lagi, mereka rajin bersedekah terutama sekali kepada ibubapa, sanak saudara dan orang susah.

Sedekah Takkan Menjadi Miskin, Tetapi Sebaliknya

Ini satu konsep yang ramai di kalangan masyarakat kita kurang faham sebenarnya. Ingatkan kalau keluarkan duit RM1 sekali pun untuk bersedekah, dirasakan akan kurang wang di dalam dompet. Diharapkan dengan meneliti 3 perkara di bawah ini, persepsi anda akan berubah.

1. Penambahan Rezeki

Konsep rezeki itu teramatlah luas.

Jika anda lihat, rezeki itu datang daripada pelbagai sudut dan  bukan hanya rezeki kewangan semata-mata. Anda dikurniakan cahaya mata juga dikira anda mendapat rezeki yang baik. Diberikan kesihatan yang baik juga dikira sebagai nikmat rezeki.

Namun, masih ramai yang beranggapan bahawa rezeki itu datangnya dalam bentuk duit semata-mata lalu mereka tidak mensyukuri nikmat rezeki yang lain.

2. Sedekah Hanya Untuk Orang Kaya?

Alah, tunggulah bila aku dah kaya nanti baru aku mula sedekah….

Berapa ramai daripada kita yang rasa begini? Atau kenal mana-mana Haji Bakhil yang dah kaya, tetapi masih belum bersedekah?

Semuanya bermula daripada dalaman anda, kerana dengan bersedekahlah anda bakal dikurniakan rezeki yang banyak.

Berkat anda beri wang setiap bulan kepada ibubapa dan disusuli doa mereka yang tersayang, boleh menjadi pencetus kepada rezeki yang tidak disangka-sangka.

Lihat saja, ramai dikalangan mereka yang kaya banyak bersedekah. Jangan jadikan kekayaan mereka sebagai kayu ukur kepada anda untuk bersedekah.

Bagi seorang jutawan, apalah sangat untuk bersedekah RM100 ye tak? Tapi tahukah anda, jika anda bergaji RM1,000 sebulan pun, dah memadai dengan bersedekah RM1. Semuanya ikut kemampuan masing-masing. Lebih baik menjadi tangan yang menghulur, daripada tangan yang menerima.

Anda juga boleh tetapkan matlamat untuk menjadi kaya, agar boleh sedekah RM100 pula selepas ini.

3. Pengurusan Kewangan Yang Baik

Apa kata anda mula buat tabung khas untuk bersedekah. Ada yang mula dengan menyimpan wang kertas RM5 sebagai contoh, dan setiap kali anda dapat wang kertas berwarna hijau tersebut; terus masukkan ke dalam tabung. Setiap hujung bulan atau setiap kali pergi untuk menunaikan solat Jumaat, masukkan kesemuanya ke dalam tabung masjid.

Lihatlah perubahan yang besar, kalau tidak serta-merta; insyaAllah dalam masa yang terdekat.

Anda juga boleh bersedekah kepada sekolah-sekolah tahfiz bagi membantu mereka, atau mewakafkan sebahagian harta kepada pembinaan surau, masjid mahupun sekolah.

Nampak mudah kan? Memang rasa liat sikit pada awalnya untuk menjadikan sedekah sebagai sebahagian daripada tabiat, tapi alah biasa tegal biasa. Lama-kelamaan, pasti anda rasa sangat seronok untuk bersedekah.

Ingat tau, sedekah bukan hanya wang ringgit, tetapi keringat, masa dan senyuman juga. Berikan barangan terpakai yang anda tidak lagi gunakan di dalam rumah anda yang masih dalam keadaan elok, juga dikira sebagai sedekah.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend