Saidina Uthman Bin Affan R.A, Kaya Lagi Dermawan

Apabila berbicara mengenai sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W, sudah pasti nama ini akan menjadi salah satu di antara buah mulut kita. Saidina Uthman bin Affan R.A, ataupun nama gelarannya Dzul Nur’ain. Ia membawa maksud “dua cahaya mata”, kerana beliau telah berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah S.A.W, iaitu Ruqayah; kemudiannya dengan Ummi Khalthum setelah kewafatan Ruqayah.

Saidina Uthman bin Affan R.A adalah merupakan salah seorang daripada sahabat Rasulullah S.A.W yang kaya-raya dengan menjadi seorang usahawan yang berjaya. Beliau cukup terkenal dengan sikap dermawan. Mari kita kenali peribadi salah seorang sahabat dan menantu kesayangan nabi kita ini.

Dilahirkan di Mekah pada 47 tahun sebelum Hijrah, Uthman bin Affan tergolong di kalangan orang kenamaan Quraisy yang hidup mewah, elit dan dihormati. Anak kepada pasangan Affan bin Abu Al’as dan Arwa binti Kuraiz ini adalah enam tahun lebih muda dari junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W. Beliau bernasab keturunan dari Bani Umaiyah, iaitu salah satu kabilah Quraisy yang dihormati dan disegani di kalangan masyarakat Arab di Makkah.

Nama penuh beliau ialah Uthman bin Affan bin Abu Al’as bin Umaiyah bin Abu Syams. Beliau dikatakan memiliki wajah yang kacak dan lemah lembut dalam percakapannya, walaupun ketika bercakap dengan musuh. Beliau juga merupakan seorang yang penyabar dan berhemah tinggi.

Sepanjang hayat beliau, Saidina Uthman bin Affan banyak melakukan amal kebajikan. Beliau turut mengorbankan harta dan tenaganya untuk perkembangan Islam. Selain daripada itu, beliau juga sanggup berhijrah ke Habsyah dengan meninggalkan keluarga dan tanah air, kerana patuh kepada ALLAH S.W.T dan Rasulullah S.A.W.

Beliau juga disifatkan sebagai seorang yang zuhud dengan sikap dermawan yang tinggi kerana mencintai akhirat lebih daripada duniawi. Menurut sejarah, Saidina Uthman bin Affan pernah menyumbang dan menanggung sepertiga daripada pembiayaan dan dana perang seperti pebelanjaan 10,000 tentera, 1,000 ekor unta, 50 ekor kuda dan 1,000 dinar bagi mempertingkatkan kualiti kelengkapan angkatan perang umat Islam.

Saidina Uthman bin Affan R.A diangkat menjadi khalifah pada tahun 644 Masihi, bersamaan 23 Hijrah dalam satu Majlis As-Syura setelah kewafatan Khalifa Umar Al-Khatab R.A. Beliau memerintah selama 12 tahun; enam tahun pertama yang penuh dengan keamanan dan kegemilangan, dan enam tahun kedua yang penuh dengan masalah dan penentangan. Di antara sumbangan beliau ketika zaman pemerintahannya adalah:

1. Penulisan Al-Quran

Bagi mengelakkan Al-Quran tercemar dari segi tulisan dan bacaan ekoran beberapa perdebatan mengenai perbezaan riwayat pembacaan, Saidina Uthman telah membentuk satu jawatankuasa penulisan Al-Quran yang diketuai oleh Zabit bin Thabit. Saidina Uthman mengambil langkah memusnahkan salinan Al-Quran yang terdapat di Syria, Basrah, Khufah dan lain-lannya dan menetapkan cuma mushaf dari Madinah sahaja yang diakui kesahihannya, sekaligus menjadi satu-satunya mushaf tumpuan bagi rujukan kaum Muslimin seluruhnya.

2. Meluaskan Wilayah Islam

Pada zaman pemerintahan beliau, Saidina Uthman telah berjaya meluaskan wilayah Islam sehingga ke Kabul, dan Maghribi. Kawasan wilayah Islam yang luas ini telah mengangkat Islam sebagai sebuah empayar baru yang lebih besar dan berkuasa dari Byzantine.

3. Mengembangkan Dakwah Islam

Saidina Uthman sentiasa menghabiskan waktunya dengan menyaikan dakwah Islam kepada tawanan perang. Oleh kerana itu, jumlah mereka yang memeluk agama Islam semakin bertambah .

4. Dermawan

Beliau sangat terkenal dengan sikap dermawan dan pemurah. Dikatakan bahawa beliau telah membeli telaga “Raumah” dengan harga 35,000 dan menyumbangkannya untuk kegunaan orang ramai. Selain daripada itu, beliau juga dikatakan sering membebaskan dan memerdekakan hamba abdi pada setiap hari Jumaat.

Saidina Uthman bin Affan wafat pada 18 Zulhijjah pada tahun 35 Hijrah akibat dibunuh oleh ketua pemberontak yang diketuai oleh Al-Asytar di usia 82 tahun. Jenazah beliau dimakamkan di tanah perkuburan Al-Baqi, Madinah. Hilangnya seorang permata Islam yang zuhud dan berwibawa.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend