Supreme, Jenama Underground Yang Bernilai $1 Bilion

Syarikat perniagaan yang melibatkan pakaian, berlumba-lumba menghabiskan berjuta-juta, semata-mata untuk menghasilkan iklan terbaik untuk pakain mereka dikenali oleh orang ramai. Namun, hal ini tidak terjadi dengan syarikat pakaian jenama Supreme.

Memang pelik kan? Lain daripada yang lain. Jom kita ikuti kisah menarik mereka.

Kedai Paling Sikit, Tetapi Bernilai Tinggi

Supreme merupakan sebuah syarikat yang mempunyai jumlah gedung pakaian yang paling sedikit, tetapi mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi. Supreme hanya mempunyai 12 gedung pakaian di serata dunia dengan memiliki nilai pasaran yang bernilai $1 bilion.

James Jebbia adalah seorang usahawan yang mempopularkan fesyen underground melalui jenama Supreme

Supreme merupakan syarikat pakaian yang fokus kepada golongan pemain papan luncur (skateboard) pada permulaan penubuhan syarikat. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1994 oleh seorang warga Negara Britain yang menetap di New York bernama James Jebbia.

Untuk permulaan perniagaan, James telah menggunakan modal sebanyak $12,000 bagi perniagaan ini. Beliau merupakan bekas pereka fesyen yang meminati industri pakaian. Walaupun beliau menjual pakaian untuk pelanggan yang meminati sukan papan luncur, beliau bukanlah seorang yang pandai dalam sukan tersebut.

Beliau mensasarkan golongan ini, kerana mereka kelihatan sangat bergaya ketika bermain papan luncur. Pada permulaan Supreme, beliau hanya fokus kepada T-shirt sahaja.

Beliau mengambil ilham reka bentuk logo Supreme daripada seorang artis underground New York yang bernama Barbara Kruger. Barbara yang terkenal sebagai seorang artis jalanan, menyampakain mesej pemberontakan dalam setiap karya yang dihasilkanya.

Logo Supreme ini menggambarkan pemberontakan dan juga anti-kapitalisme

James yang tertarik dengan idea seni yang disampaikan oleh Barbara itu mengambil keputusan untuk membuat logo Supreme berdasarkan hasil seni Barbara. Beliau menggunakan warna merah dan digabungkan dengan warna putih untuk tulisan “SUPREME”. Warna yang digunapakai mengambarkan pemberontakan dan juga anti-kapitalisme yang menggambarkan jiwa para pemuda di bandar New York.

Setelah 10 tahun di New York, James telah membuka cawangan kedua untuk di Los Angles. Untuk pembukaan gedung keduanya, ianya dua kali ganda daripada saiz gedung di New York.

Selain di Amerika, beliau turut membuka satu gedung di kota London, Paris dan enam lokasi di Jepun. Model perniagaan yang dijalankan oleh Supreme adalah sangat unik. Mereka tidak mengiklankan produk mereka, tetapi mereka menjemput sendiri pelanggan untuk datang ke gedung.

Pemandangan yang biasa dilihat ketika pelancaran barangan baru di gedung Supreme. Kadang-kala pergaduhan juga menghiasi pelancaran produk mereka

Barangan yang dijual oleh Supreme adalah sangat terhad dan disebabkan itu, ramai peminat Supreme sanggup berebut untuk mendapatkan barangan yang dijual. Sebelum peminat dapat membeli barangan yang terdapat di gedung mereka, mereka perlu mengisi borang khas di laman web Supreme.

Selepas itu, pihak Supreme akan menghantar mesej kepada pelanggan tersebut pada hari dan waktu bila pelanggan tersebut harus berada di luar gedung mereka untuk beratur bagi membeli barangan yang baru dilancarkan.

Pelanggan  yang tidak mendapat jemputan tidak dibenarkan untuk membeli pakaian di gedung mereka. Para pelanggan setia memang sanggup beratur panjang untuk menjadi orang pertama yang membelinya.

Selain daripada itu juga, kekecohan sering berlaku di antara pelanggan kerana berebut barisan. Sesetengah daripadanya hanya datang untuk membeli dan menjual kembali (resell) barangan Supreme mereka dengan harga yang tidak masuk akal.

Barangan yang tidak masuk akal dibeli oleh peminat Supreme di gedung mereka

Oleh sebab barangan yang dikeluarkan oleh Supreme adalah sangat terhad, barangan yang dijual secara online boleh mencecah 30 kali ganda daripada nilai asal barangan tersebut. Ini tidak menjadi masalah bagi peminat tegar mereka untuk memiliki barangan tersebut, terutamanya kepada peminat setia atau collector.

Setelah mendapat peminat yang begitu setia dengan produk Supreme, syarikat tersebut telah mempelbagaikan lagi produk mereka. Ini termasuk tukul, nunchucks, dan kayak. Di antara barangan yang tidak masuk akal yang dibeli oleh peminat tegar jenama Supreme, adalah batu-bata yang dijual oleh syarikat tersebut.

Pakaian hoodie merupakan pakain yang menjadi kegilaan bagi peminat Supreme

Supreme juga telah berkolaborasi dengan syarikat jenama fesyen lain yang terkenal di seluruh dunia. Di antaranya adalah Nike, Comme des Garçons, Vans, Dr. Martens, Levi’s, Hanes, Lacoste, dan Loius Vutton.

Harga barangan yang dijual menggunakan logo Supreme adalah lebih tinggi daripada harga asal produk tersebut, tetapi tetap laku keras.

Selain berkerjasama dengan syarikat terkenal, Supreme juga bekerjasama dengan pereka fesyen dan artis terkenal dunia seperti Peter Saville, Richard Prince, Takashi Murakami, Damien Hirst, Christopher Wool, Nobuyoshi Araki, Futura 2000, Harmony Korine, George Condo, Rammellzee, Ryan McGinness, KAWS, Larry Clark, Jeff Koons, H. R. Giger, Mark Gonzales, Robert Crumb, David Sims, David Lynch dan Marilyn Minte.

Dengan mempunyai jenama yang sangat kukuh dalam industri fesyen underground, Supreme dilihat berpotensi dan mempunyai masa depan yang cerah dalam perniagaan fesyen. Pada tahun 2017, sebuah syarikat pelaburan persendirian The Carlyle Group; telah membeli 50% saham Supreme daripada James.

Walau apa pun yang akan berlaku kepada jenama Supreme, yang pastinya jenama ini merupakan jenama fesyen underground yang paling berjaya di dunia pada masa sekarang.

Sumber Rujukan:

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend