Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Jutawan Islam di Malaysia

Apabila terdengar mengenai Yayasan Al-Bukhari, umum pasti mengetahui siapakah pengasas kepada salah satu yayasan badan kebajikan yang paling dikenali di Malaysia, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari. Beliau merupakan salah seorang usahawan Islam yang terkaya di Malaysia dan ke-32 di Asia Tenggara menurut Forbes.

Beliau dikenali sebagai seorang dermawan yang sentiasa bergiat dengan kerja-kerja amal. Yayasan Al-Bukhari ditubuhkan untuk memberi bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan, baik daripada segi kewangan dan bantuan pendidikan terutama kepada golongan miskin. bukan sahaja dalam Negara, bahkan di negara-negara luar termasuk negara bergolak.

Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951, dan merupakan anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Masa kecilnya dihabiskan dengan membantu keluarganya untuk menambah pendapatan harian bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga. Ketika beliau masih di alam persekolahan, beliau sentiasa membantu ibunya menjual sayur-sayuran di pasar.

Manakala selepas pulang dari sekolah, beliau akan membantu bapanya menternak lembu dan kerbau di pusat kuarantin berhampiran dengan stesen kereta api di Alor Setar. Menyentuh mengenai latar belakang pendidikan, ternyata Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi. Namun, beliau mempunyai banyak ilmu hasil dari pengalaman beliau dalam membantu ibu dan bapanya di pasar dan membuat kira-kira.

Akibat terjadinya wabak kuku dan mulut pada haiwan ternakan bapanya yang menyebabkan kerugian besar, Tan Sri Mohktar Al-Bukhari membuat keputusan untuk mengambil alih perniagaan bapanya dan beralih kepada perniagaan daging lembu dan kerbau secara kecil-kecilan.

Beliau memulakan perniagaannya dengan membeli daging yang tidak terjual dipasar dan menjualnya kembali kepada mana-mana peniaga Bumiputera dan restoran sekitar Alor Setar. Ekoran kejayaan beliau dalam perniagaan barunya itu menambahkan lagi azam dan semangat beliau untuk bergerak lebih jauh dalam bidang perniagaan.

Setelah beberapa tahun, Tan Sri Syed Mokhtar memilih untuk beralih kepada perniagaan pengangkutan dan berjaya mendapatkan permit bagi empat buah lori kelas A. Melalui pinjaman MARA, beliau telah membeli dua buah lori Mercedes 911LS.

Di samping itu, Syarikat Pengangkutan Sentosa ditubuhkan dan lori-lori tersebut digunakan untuk memulakan perniagaan beras. Tahun berganti tahun, beliau semakin berjaya dalam perniagaan dan menubuhkan beberapa buah syarikat serta menjalankan usahasama dengan pelbagai syarikat bertaraf antarabangsa. Selain itu, beliau juga menubuhkan syarikat perkapalan dan menjadi antara pemegang saham terbesar dalam beberapa syarikat terkemuka negara.

Tan Sri Syed Mohktar telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2008. Disifatkan sebagai seorang yang berahsia, beliau menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan walaupun memiliki aset yang bernilai jutaan ringgit.

Sumber: Forbes

Beliau menjadi inspirasi kepada golongan muda khususnya usahawan-usahawan yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan untuk terus berusaha menjadi seorang yang lebih berjaya dan berdaya saing.

Betullah kata orang, setiap kejayaan yang manis pastinya bermula daripada pelbagai cerita dan pengalaman pahit. Untuk berjaya, seseorang individu itu perlu memiliki usaha dan keazaman yang tinggi, cekal hati dan sentiasa bersikap terbuka dengan rintangan yang mendatang.

Tanpa usaha dan tawakal, jangan mimpi untuk beroleh kejayaan yang tinggi melangit. Yang pasti, walaupun diri sudah mendongak ke langit, jangan lah pula lupa dengan kaki masih berpijak di bumi.

Sumber Rujukan:

Kalau nak tahu, dalam artikel Kenali Industri-Industri Dalam Pasaran Saham Bursa Malaysia, kami siap ada industri khusus untuk Tan Sri Syed Mokhtar, di Mana Pos Malaysia, DRB-Hicom dan MMC Corporation terletak di bawah pemilikan beliau.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend