Kisah Uniqlo, Peneraju Pakaian Berkualiti Tinggi Pada Harga Ekonomi

Fesyen merupakan industri yang memberi pulangan berbilion dolar setiap tahun kepada para pemain industri ini.Terdapat pelbagai syarikat yang mengeluarkan pelbagai jenama, daripada kelas atasan sehinggalah kepada kelas ekonomi. Uniqlo merupakan sebuah jenama yang tidak asing bagi masyarakat Asia termasuklah Malaysia. Kita boleh katakan bahawa Uniqlo ini mempelopori bidang fesyen pakaian yang dikategorikan dalam kelas ekonomi.

Syarikat Uniqlo ini merupakan sebuah syarikat yang berasal dari Jepun. Syarikat ini diasaskan oleh Tadashi Yanai. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1949 di Yamaguchi selepas era Perang Dunia Kedua yang baru sahaja berakhir. Pada era tersebut, kehidupan masyarakat Jepun begitu daif dan sukar termasuklah ahli keluarga beliau sendiri.

Tadashi Yanai merupakan lelaki paling kaya di Jepun dan merupakan orang yang bertanggunjawab mengembangkan perniagaan Syarikat Uniqlo

Bapa Tadashi merupakan seorang tukang jahit yang mempunyai sebuah gedung menjual baju dan menjahit pakaian. Sejak daripada kecil lagi, beliau terdedah dengan dunia perniagaan pakaian dan dari situlah Tadashi mempelajari selok belok perniagaan menjual pakaian.

Ketika usia remaja, beliau begitu tertarik dengan falsafah perniagaan yang dibawa oleh Peter Drucker, seorang pakar dalam bidang pengurusan yang berasal dari Amerika Syarikat. Dalam falsafah tersebut, Drucker telah menekankan bahawa untuk berjaya dalam bidang perniagaan, kita perlu menjual barangan yang diperlukan oleh pelanggan, dan bukan barangan yang diminati oleh diri kita sendiri.

Tadashi telah menamatkan pembelajaran dalam jurusan ekonomi dan sains politik pada tahun 1972. Selepas berjaya menamatkan pengajian di peringkat Universiti, beliau bekerja sebagai pembekal bekas makanan kepada Pasaraya Jusco. Perniagaan pertamanya itu tidak  bertahan lama, dan beliau kemudianya bekerja dengan bapanya sendiri.

Pada tahun 1984, Tadashi telah memulakan perniagaannya sendiri. Pada masa itu, beliau menubuhkan gedung pakaian yang diberi nama Unique Clothing Warehouse. Kemudian beliau telah menambah baik perniagaan milik bapanya.

Gedung pertama yang dibuka oleh Tadashi pada tahun 1984. Peristiwa ini merupakan titik permulaan Syarikat Uniqlo sebelum menawan seluruh pasaran Jepun

Tadashi kemudiannya telah menukar nama kedainya kepada Uniqlo. Pada masa 1980-an, trend menggantikan huruf “C” dengan huruf “Q” sangat popular di Hong Kong. Pertukaran huruf itu telah menjadikan nama Uniqlo menarik dan dikenali ramai.

Pada tahun 1991, beliau mengambil alih sepenuhnya syarikat milik bapanya dan menukar nama syarikat bapanya “Ogori Shoji” kepada “Fast Retailing”. Syarikat Uniqlo merupakan syarikat yang bernaung di bawah payung Syarikat Fast Retailing. Tadashi mempunyai matlamat yang lebih besar berbanding dengan bapanya, iaitu ingin melihat syarikatnya dikenali di seluruh dunia.

Pada permulaan perniagaanya, beliau yang begitu kagum dengan perkembangan syarikat pakaian yang berasal dari Amerika Syarikat iaitu GAP yang mendominasi pasaran pakaian pada ketika itu. Pada awal tahun 1990-an, Tadashi telah menjemput presiden GAP pada ketika itu iaitu Mickey Drexler untuk bersarapan pagi bersamanya.

Beliau menggelarkan Drexler sebagai “profesor” kerana begitu kagum akan kebolehannya membawa Syarikat GAP menakluki pasaran pakaian pada ketika itu .Ketika pertemuan itulah, Tadashi mengambil seberapa banyak ilmu daripada Drexler untuk mengembangkan perniagaan pakaiannya.

Uniqlo mempunyai 100 cawangan selepas sedekad penubuhannya. Mereka mula berkembang dengan pesat pada pertengahan dekad 1990-an. Pada waktu itu, ekonomi Jepun telah mengalami kemelesetan yang sangat teruk dan menyebabkan masyarakat Jepun amat berhati-hati dalam pemilihan pakaian kerana ingin berjimat cermat memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Ini merupakan peluang keemasan yang telah dinanti-nantikan oleh Uniqlo. Pada ketika itu juga, masyarakat Jepun sangat ragu-ragu dengan pakaian yang murah kerana pakaian yang murah biasanya dikaitkan dengan kualiti yang tidak bagus.

Pada masa yang sama, Uniqlo telah berjaya mengurangkan kos pembuatan pakaian mereka dengan membina kilang di Negara China supaya dapat menjual pakaian dengan harga murah. Untuk mengubah presepsi masyarakat Jepun pada ketika itu adalah sangat sukar.

Kemuncak kejayaan terbesar Uniqlo adalah pada tahun 1998. Pada masa itu, Uniqlo telah mengeluarkan Fleece Jacket (baju musim sejuk) yang mana kosnya adalah lima kali lebih murah berbanding dengan pengeluar baju antarabangsa yang lain.

Fleece Jacket merupakan produk pertama yang menaikkan jenama Uniqlo di pasaran Jepun. Dengan harga yang sangat berpatutan, ia mampu dijual sebanyak 30 juta helai dalam masa 3 tahun

Pada ketika itu, ramai rakyat Jepun yang cuba membeli baju keluaran Uniqlo walaupun pada mulanya berasa ragu. Ternyata sangkaan mereka meleset kerana walaupun harga yang dikeluarkan oleh Uniqlo itu murah berbanding dengan jenama luar, kualiti baju tersebut sangat memuaskan.

Syarikat Uniqlo telah mendapat kepercayaan penuh dari rakyat negara mereka sendiri. Dalam tempoh 3 tahun sahaja, mereka telah berjaya menjual Fleece Jacket sebanyak 30 juta helai!

Gedung pakaian Uniqlo dapat dilihat di seluruh pelusuk negara Jepun ketika era milenium

Sejak peristiwa tersebut, Uniqlo mendapat jolokan “murah tetapi berkualiti”. Setelah mendapat kepercayaan rakyat Jepun, Tadashi tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau mengorak langkah untuk mengembangkan empayar perniagaan syarikat bajunya itu ke luar negara. Pada tahun 2002, mereka telah membuka 21 cawangan gedung pakaian Uniqlo di negara Britain. Beliau turut membuka 4 buah cawangan di Amerika Syarikat.

Malangnya, gedung yang dibukanya di Britain dan Amerika Syarikat tidak mendapat tempat di hati para penduduk di sana. Di antara salah satu faktor yang menjadi masalah adalah ukuran baju. Baju untuk saiz warga Barat tidak sama dengan saiz orang Asia. Masalah ini timbul kerana pihak syarikat tidak membuat kajian sepenuhnya tentang pasaran di sana. Kesan daripada ini, operasi syarikat tersebut terpaksa ditutup sepenuhnya di Amerika Syarikat dan hanya 6 gedung sahaja yang bertahan sehingga tahun 2006 di Britain.

Walaupun menghadapi kegagalan pada kali pertama, Tadashi merupakan seorang yang berpandangan jauh dalam perniagaan. Beliau sedikit pun tidak merasa itu adalah masalah besar. Beliau yang terkenal dengan falsafah “kegagalan merupakan salah satu proses pembelajaran yang sangat bermakna dalam hidup”. Walaupun gagal dalam mengembangkan perniagannya di Amerika Syarikat, Tadashi tidak berputus asa.

Dengan kerjasama pereka terkenal Jepun, gedung pakaian Uniqlo kelihatan lebih “cool” berbanding sebelum ini

Beliau telah berkejasama dengan pereka terkenal Jepun, Kashiwa Sato untuk membina kembali jenama Uniqlo di pandangan mata orang Barat. Tadashi tahu bahawa untuk menarik perhatian masyarakat di sana, beliau perlulah membuat gedung pakaian syarikatnya kelihatan  “cool”. Beliau bergabung idea dengan pereka tersebut bagi membina gedung pakaian supaya kelihatan  menarik.

Selain daripada itu, Tadashi tidak ketinggalan untuk memasukkan teknologi terbaru dalam pakaian yang dikeluarkan oleh syarikatnya. Beliau bekerja sama pula dengan syarikat berteknologi tinggi untuk membina pakaian mengikut arus pemodenan terkini.

Di antara syarikat yang pernah bekerjasama dengan Syarikat Uniqlo adalah Toray Industries, bagi membangunkan pakaian yang tidak mengeluarkan bau dan memerangkap haba ketika musim sejuk walaupun kain pakaian itu nipis. Dengan teknologi yang dimiliki, Uniqlo berjaya menambah baik kualiti pakaian mereka.

Dalam bidang perniagaan pula, falsafah perniagaan yang dipegang oleh Uniqlo adalah semua orang berhak memakai pakaian berkualiti tinggi dengan harga yang murah. Tadashi tidak memfokuskan syarikatnya untuk mengejar perubahan trend dalam pakaian seperti ZARA dan H&M. Bagi Uniqlo, mereka tidak perlu mengejar trend dalam berpakaian tetapi lebih memastikan setiap orang mampu untuk memakai pakaian yang dikeluarkan oleh mereka.

Tadashi kini merangka kembali strategi untuk masuk semula dan mendominasi pakaian di pasaran Amerika Syarikat. Mereka kini berjaya membuka sebanyak 50 buah gedung dan bercadang ingin membuka sebanyak 200 buah gedung pada masa akan datang di Amerika Syarikat.

Beliau juga bercadang untuk menjadikan Uniqlo sebagai syarikat pengeluaran baju terbesar di dunia pada masa akan datang. Dengan kejayaan Uniqlo di pasaran Asia, ianya telah menjadikan Tadashi orang paling kaya di Jepun dengan nilai kekayaan sebanyak $25 billion.

Sumber Rujukan:

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend