Wakaf Bantu Tingkatkan Ekonomi Ummah

Pernah tak anda dengar perkataan wakaf? Wakaf lebih familiar apabila kita mendengar ada individu mewakafkan tanah untuk dijadikan tanah perkuburan, tapak masjid dan sekolah tahfiz.

Sebenarnya amalan berwakaf terbahagi kepada dua iaitu :

i. Wakaf Umum – Pewakaf menyerahkan hartanya untuk diwakafkan tanpa sebarang syarat

ii. Wakaf Khas – Pewakaf menyerahkan hartanya dan mahu ia digunakan untuk tujuan khusus, seperti pembinaan masjid, pembangunan pusat tahfiz dan sebagainya.

Profesor Dato’ Dr. Sudin Haron

Jom lihat perkongsian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Profesor Dato’ Dr. Sudin Haron berkaitan amalan berwakaf.

Apa Itu Wakaf?

Wakaf daripada segi bahasa bermaksud berhenti, menegah dan menahan. Menurut istilah syarak pula, wakaf bermaksud harta yang ditahan haknya daripada dijual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya.

Manfaat harta yang diwakafkan adalah untuk kebajikan umum atau khusus dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.

Apa Beza Wakaf Dengan Sedekah?

Perbezaan antara sedekah dan wakaf ialah pemilikan harta yang disedekahkan merupakan hak milik penuh penerima dan harta tersebut boleh dijual, dihibah dan tidak berkekalan.

Manakala, harta wakaf dimiliki oleh Allah SWT dan harta tersebut tidak boleh dijual, dihibah, dipindah milik dan berkekalan.

Daripada sudut pahala pula, orang yang berwakaf akan mendapat ganjaran pahala sedekah dan pahala yang berkekalan (sentiasa mengalir) selagi harta itu dimanfaatkan berbanding dengan bersedekah, ia akan memperoleh pahala sedekah sahaja.

Yang Mana Lebih Digalakkan?

Wakaf lebih digalakkan kerana ganjaran pahalanya yang berterusan selagi mana harta yang diwakafkan itu digunakan dan dimanfaatkan sebaiknya walaupun pewakafnya sudah meninggal dunia.

Dalam hadis riwayat Bukhari daripada Ibnu Umar beliau berkata: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Rasulullah SAW untuk minta pandangan tentang tanah itu, maka katanya yang bermaksud: “Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, di mana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah) apakah yang hendak engkau perintahkan kepadaku dengannya?” Maka sabda Rasulullah SAW kepadanya yang bermaksud: “Jika engkau hendak tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya.”

Apa Kesan Berwakaf?

Berwakaf dapat memberikan banyak kesan positif di antaranya, dapat menzahirkan pengabdian diri kepada Allah SWT. Di samping itu, berwakaf juga akan memperoleh kebajikan yang berkekalan semasa hidup dan selepas pewakaf meninggal dunia

Pewakaf juga dapat berkongsi manfaat dalam kalangan masyarakat Islam seperti membina masjid dan sekolah untuk menghidupkan syiar Islam dan aktiviti keilmuan. Justeru itu, dalam berwakaf, perpaduan ummah dapat dikukuhkan dan dapat memastikan pengekalan pemilikan dan perkongsian aset umat Islam.

Sejauh Mana Wakaf Mampu Mengubah Sosio-Ekonomi Orang Islam?

Wakaf mempunyai peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi umat Islam bermula daripada zaman Rasulullah SAW lagi. Ia dapat dilihat melalui pembinaan masjid-masjid yang diwakafkan seperti Masjid Nabawi (Madinah), Masjid Mansur (Baghdad) dan Masjid Umawi (Syria).

Seterusnya, wakaf berkembang dengan pesat pada zaman Khalifah Abbasiyyah (754-1258M) sehingga Khalifah Uthmaniyyah (1299-1924M) dengan kejayaan membangunkan banyak sekolah, perpustakaan dan universiti yang melahirkan ramai sarjana Islam.

Manakala pada zaman kontemporari Islam di Malaysia pula, wujudnya agensi-agensi wakaf yang ditubuhkan. Melalui agensi-agensi inilah, wakaf mampu mengubah sosio ekonomi orang Islam dengan menyediakan peluang pekerjaan, menambah pendapatan kepada orang ramai, memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan dan membangunkan harta/aset umat Islam.

Sebagai contohnya, Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu telah didirikan di atas tanah wakaf. Hotel ini dapat menjana keuntungan melalui perusahaan hospitaliti malah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

Bagaimana Dengan Tahap Kesedaran Orang Islam Di Malaysia Tentang Wakaf?

Kesedaran masyarakat mengenai amalan berwakaf semakin meningkat dari tahun ke tahun, kesan daripada promosi yang agresif dan hebahan yang meluas daripada pihak Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan juga Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Bagaimana Dengan Pengurusan Harta Wakaf? Bolehkah Ianya Diurus Sendiri Oleh Pewakaf?

Semua harta wakaf perlu diwakafkan kepada MAIN, selaras dengan Persekutuan, MAIN adalah pemegang Amanah Tunggal bagi harta tanah wakaf di negeri masing-masing.

Bagi memastikan harta wakaf diuruskan dengan baik dan hasrat pewakaf terpelihara, masyarakat juga boleh melaksanakan wakaf dengan agensi-agensi yang diiktiraf oleh MAIN.

Banyak implikasi buruk boleh berlaku sekiranya harta wakaf ini tidak didaftarkan di MAIN. Sebagai contoh, Ali mewakafkan sebidang tanah dan menyerahkan kepada Amin sebagai pemegang amanah. Bayangkan selepas Ali dan Amin meninggal? Mungkin anak kepada Amin akan menuntut tanah tersebut sebagai harta pusaka.

Dua perkara penting yang pewakaf perlu tahu dan buat ialah :

i. Dapatkan kelulusan daripada MAIN untuk berwakaf – Memudahkan urusan berwakaf dan galakkan pengurusan harta wakaf secara efisien. Boleh elak pertindanan khususnya wakaf melibatkan wakaf khas. Ia bertujuan mengelakkan kejadian seperti pewakaf mahu masjid dibina di atas tanah wakafnya sedangkan sudah ada masjid di kampungnya.

ii. Tanah yang mahu diwakafkan perlu ditukar milik kepada MAIN yang bertindak sebagai pemegang amanah.

Apakah Harta Yang Dibolehkan Untuk Diwakaf?

Terdapat dua jenis harta yang boleh diwakafkan. Pertama, harta alih (manqul) iaitu sesuatu yang tidak kekal dan boleh berubah serta dipindah alih seperti wang tunai, buku, harta intelek, kenderaan, pakaian dan lain-lain.

Kedua, harta tidak alih (‘aqar) iaitu sesuatu yang terpasak di bumi dan tidak boleh dipindah alih seperti tanah dan bangunan

Bagaimana YWM Membangunkan Harta Wakaf?

Fungsi utama YWM adalah membantu Majlis Agama Islam Negeri dalam perkara-perkara berikut:
1. Membangunkan harta tanah wakaf sedia ada
2. Mewujudkan harta wakaf baharu
3. Membangun sosio-ekonomi ummah melalui instrumen wakaf.

Banyak sebenarnya yang kita masih tak tahu pasal wakaf ni kan? Jemput baca juga:

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend