10 Tips Mudah Berjimat Di Bulan Puasa

17 Mei 2018 merupakan tarikh umat Islam mula menjalani ibadah ketiga dalam rukun Islam, iatu berpuasa di bulan Ramadan. Ramai mula berkongsi senarai resipi yang akan disediakan sepanjang sebulan berpuasa. Bagi yang bujang atau tidak gemar memasak, senarai bazar Ramadan sudah disenaraikan untuk dikunjungi.

Tambah menarik, senarai juadah wajib cuba dengan aneka pemanis mulut dan lauk pauk juga sudah ada dalam kepala. Sudah ada yang terbayang kuih tepung pelita, murtabak, ayam golek, ayam percik dan aneka puding.

Bulan Ramadan adalah bulan terbaik untuk berubah dan istiqamah dalam melakukan apa jua perkara yang baik. Contohnya, waktu terbaik untuk perokok berhenti merokok dan orang yang mengalami masalah obesiti untuk kurangkan berat badan.

Selain daripada itu, sedarkan kita bahawa bulan Ramadan boleh melatih diri kita untuk menabung dan mengawal perbelanjaan?

Jom tengok beberapa tips untuk mengawal perbelanjaan ketika bulan Ramadan.

1. Jadual Makan Berkurang

Biasanya kita akan mengambil hidangan sarapan, tengah hari dan makan malam untuk sehari. Ada yang akan minum pagi, minum petang atau minum malam.
Berbanding berpuasa, kita hanya makan ketika bersahur dan berbuka. Ada sesetengahnya makan ketika moreh selepas tarawih. Tapi sekurang-kurangnya, jadual atau kadar pengambilan makanan sudah berkurang.

Tapi yang tidak seronoknya, ramai yang membazir ketika membeli atau menyediakan juadah berbuka. Dalam Islam, kita disarankan berhenti makan sebelum kenyang. Jadi, jangan makan kuantiti makanan dua atau tiga orang seorang makan ye.

2. Jumlah Rokok Yang Dihisap Juga Berkurang

Dalam tempoh lebih daripada 12 jam berpuasa, seorang perokok tidak akan merokok seperti yang biasa dilakukan. Secara logiknya, purata rokok yang dihisap untuk sehari juga akan berkurang.

Kalau sebelum ni boleh habiskan sekotak rokok dalam masa sehari, bila bulan puasa ni sekotak rokok boleh tahan dua hari. Seeloknya, berhenti terus daripada perbuatan haram ini.

3. Kawal Nafsu Anda

Benar, ketika perut kelaparan, pasti pelbagai jenis makanan berlegar di kepala untuk dicuba ketika berbuka. Kawal nafsu anda, pilih makanan yang sihat, melengkapi piramid makanan yang diperlukan. Sentiasa ingatkan diri untuk membeli keperluan sahaja.

Cuba rancang menu untuk seminggu atau sebulan. Beli keperluan dapur mengikut keperluan menu sahaja.

4. Makan Berpada-pada Dan Berhenti Sebelum Kenyang

Amalkan makan secara cukup-cukup, bukannya bermewah-mewah. Sebaiknya menurut ajaran Islam, berhentilah makan sebelum kenyang. Ramai yang berhenti makan sebab perut sudah penuh.

Jika anda membiasakan diri makan secara cukup-cukup, perut anda akan mengecil dan lama-kelamaan tidak boleh menerima makanan dengan kuantiti banyak.

5. Pilih Makanan Yang Mengenyangkan Dan Berkhasiat

Makanan sunnah seperti kurma dan kekacang serta buah, yang kaya dengan serat malah boleh membekalkan tenaga. Boleh jadikan kurma sebagai pemanis mulut untuk berbuka berbanding kuih-muih yang lebih tinggi kalori dan pasti lebih mahal berbanding 3 biji kurma.

6. Masak Di Rumah

Bagi mereka yang berkeluarga, adalah lebih menguntungkan jika memasak sendiri juadah berbuka dan bersahur. Apabila memasak, pastikan tidak berlebih-lebih. Harga makanan siap untuk satu keluarga mungkin sama dengan harga kos bahan mentah untuk memasak 3 hidangan.

Anda hanya perlu tambah kerajinan untuk kurangkan kos perbelanjaan. Dan masaklah dengan penuh kasih sayang, agar hubungan keluarga semakin erat.

7. Elakkan Ke Bazar Ramadan

Jika anda mudah tergugat melihat pelbagai juadah di depan mata, elakkan daripada ke bazar Ramadan. Jika terpaksa, senaraikan siap-siap keperluan yang mahu dibeli dan tidak menghabiskan masa yang banyak ketika di bazar.

Pulang ke rumah dengan segera setelah siap membeli keperluan.

8. Simpan Duit Yang Sepatutnya Digunakan Untuk Beli Makanan

Cuba asingkan jumlah duit yang biasanya digunakan untuk membeli sarapan dan makan tengah hari. Cuba bayangkan kalau anda menyimpan duit RM10 sehari selama 30 hari. Sudah tentu duit tabungan anda akan bertambah sebanyak RM300 sebulan untuk bulan Ramadan ni.

9. Buka Puasa Di Masjid Atau Surau

Banyak masjid yang menyediakan juadah berbuka puasa untuk mengimarahkan Ramadan. Ada yang menyediakan lauk ayam, terutamanya masjid yang kariahnya terdiri daripada orang berada. Paling tak pun, dapat makan bubur lambuk pun jadilah.

Sambil merebut pahala, belanja pun dapat dijimatkan. Dengan penjimatan tersebut, sedekahlah ke dalam tabung-tabung yang disediakan pihak masjid.

10. Beli Barang Waktu Ada Jualan Murah

Yang terakhir sekali, pastikan anda beli time sale. Biasanya para peniaga akan melakukan promosi bagi melariskan barang jualan mereka. Ada yang membuat promosi beli 1 percuma 1, diskaun sehingga 90% dan bermacam-macam lagi.

Atau kalau boleh, berikutan pengumuman GST Sifar Bermula 1 Jun 2018, tunggu untuk shopping selepas daripada tarikh tersebut. Kalau selama ini harga baju adalah RM106 termasuk 6% GST, anda dah boleh jimat RM6 bagi setiap RM100 yang dibelanjakan.

Komen

komen