100,000 rakyat Malaysia bankrap dan ini 3 punca utama

Macam tak percaya. Mengikut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia – sebanyak 97,215 kes kebankrapan dicatatkan di negara ini sepanjang tempoh 2012 sehingga September 2016. Di saat anda membaca artikel ini, angkanya pasti telah menjangkau 100,000 dan ini bukannya sesuatu yang membanggakan.

Definisi Bankrap Mengikut Undang-Undang Malaysia

Dipetik daripada laman web Jabatan Insolvensi Malaysia, bankrap bermaksud:

“Kebankrapan adalah satu proses di mana seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai bankrap lanjutan daripada suatu Perintah Penghukuman yang dibuat di Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000.00.”

Hutang Sampai RM30,000 Dan Tak Mampu Nak Bayar Balik

Ini menunjukkan seseorang itu pasti mempunyai pendapatan sehingga mampu membuat pinjaman RM30,000 kan? Tapi di manakah silapnya?

Mereka yang diisytiharkan bankrap mengakui punca utama kegagalan dalam mengawal kewangan mereka disebabkan terutamanya oleh kurangnya pendidikan dan perancangan kewangan yang baik.

Dan daripada jumlah yang diisytihar bankrap tadi:

  • 22,581 kes atau 23.2% membabitkan mereka yang berumur 25 ke 34 tahun
  • 1,157 kes atau 1.2% membabitkan mereka yang berumur 25 tahun ke bawah

Ramai sebenarnya golongan muda yang telah diisytihar bankrap. Mereka ini bakal berdepan dengan masa depan yang gelap kesan daripada ini.

Lebih Daripada 2/3 Bankrap Disebabkan Oleh 3 Punca Utama Ini

Atau lebih tepat lagi, 69.8% orang telah menjadi bankrap disebabkan 3 punca utama berikut:

  1. Sewa Beli Kenderaan – 26,801 kes, atau 27.6%
  2. Pinjaman Peribadi – 22,153 kes, atau 22.8%
  3. Pinjaman Perumahan – 18,819 kes, atau 19.4%

#1. Punca utama rakyat Malaysia bankrap adalah disebabkan hutang kenderaan. 

Ramai yang sanggup membeli kereta mahal asalkan dapat bergaya.

Memang pelik. Persepsi masyarakat yang biasanya akan mengukur kejayaan seseorang dengan melihat kereta apa yang dipakai.

Pinjaman kereta biasanya dihadkan kepada 1/3 daripada gaji, maka jika seseorang itu bergaji RM3,000 – beliau sudah boleh membeli kereta di mana ansuran bulanannya RM1,000 dengan tempoh sehingga 9 tahun. Dapatlah Honda City atau Toyota Vios, padahal boleh saja beli kereta Perodua Myvi atau Proton Saga kan?

Nak sangat menunjuk-nunjuk dekat orang, padahal poket tak tebal mana pun. Itu belum kira maintenance kereta, renew cukai jalan + insurans setiap tahun lagi. Kereta tak perlu isi minyak ke?

#2. Punca kedua orang ramai bankrap adalah disebabkan pinjaman peribadi.

Dengan kemudahan membuat pinjaman peribadi sehingga 10X gaji atau lebih, maka kita akan jadi gelap mata. Gaji baru RM3,000 boleh pinjam sampai RM30,000.

Tanpa sebab yang kukuh atau tanpa ilmu tentang kewangan, maka ramai telah kecundang dengan membelanjakan pinjaman peribadi ke arah yang bukan-bukan – dan akhirnya tidak mampu membayarnya semula.

#3. Punca ketiga pula adalah disebabkan pinjaman perumahan.

Walaupun ianya tergolong sebagai hutang baik dan digalakkan, di mana kita meminjam wang pada kadar yang rendah untuk sesuatu yang boleh memberi pulangan yang lebih tinggi; tetapi ramai juga yang tidak mampu membayarnya – dan akhirnya menjadi bankrap. Sekurang-kurangnya mereka yang berada di golongan ini, ada juga usaha untuk memiliki sebuah rumah.

Jangan Lupa Kad Kredit, Bahaya Juga

Bankrup disebabkan kad kredit

Mungkin tak ramai yang mampu memiliki kredit hadnya sehingga RM30,000, kerana anda mungkin perlu mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM10,000. Tetapi kad kredit inilah yang boleh dikira sebagai pencetus masalah kewangan yang lain, atau juga dikenali sebagai snowball effect.

Dengan hanya membayar 5% minimum, hutang tersebut akan terkumpul dengan cepat sekali. Semua tahu (sepatutnyalah) kad kredit mengenakan kadar faedah yang sangat tinggi iaitu 18% setahun!

Kajian daripada mereka yang telah bankrap menunjukkan bahawa seramai 70% daripada mereka hanya membayar 5% minimum sahaja setiap bulan.

Memang cari nahas la.

Kalau Hutang Banyak, Apa Langkah Penyelesaiannya?

Jelas sekali, kalau anda mempunyai hutang yang banyak dan tidak mampu menyelesaikannya secara bersendirian; Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah jalan penyelesaiannya. Jangan pula pinjam daripada Ah Long.

Ini kerana tujuan AKPK ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia adalah untuk membantu individu-individu yang bermasalah untuk menstruktur semula hutang-hutang yang terkumpul dengan bank-bank atau institusi-institusi kewangan yang beri anda pinjam wang tadi.

Dan hasilnya dapat kita lihat, di mana sehingga Oktober 2016; lebih 492,000 peminjam telah diberikan khidmat nasihat dan kaunseling, dengan 164,000 peminjam (atau 33.3%) menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) yang dianjurkan AKPK ini.

Dengan cabaran ekonomi yang tidak menentu ini, cash is king dan anda perlu kurangkan hutang kerana bila-bila masa kadar faedah boleh naik dan boleh menjerat serta menjerut anda. Itu belum mengambil kira anda dibuang kerja kerana kemerosotan ekonomi. Lagi haru jadinya…

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend