Bisikkan 3 Pesanan Kewangan Ini Dekat Telinga Mereka Yang Berkenaan

Beringat Sebelum Terkena

Ada tak kawan yang selalu menunjuk-nunjuk kaya, tapi semuanya dengan berhutang? Bawa kerete Honda baru, tapi nak makan pun minta anda ‘payung’?

Kadang-kadang kita dah beri nasihat yang penuh sopan santun pun buat-buat tak dengar. Mungkin mereka yang tergolong dalam kategori hati kering ini perlukan nasihat yang lebih padu.

Berikut merupakan contoh yang boleh anda gunakan jika nak mereka terasa sentap:

1. Kau Pastikan Ada Dana Kecemasan Sebelum Berangan Update Profile Picture Dengan Kereta Baru

Semua orang inginkan sebuah kereta yang kononnya melambangkan status mereka walaupun berhutang 9 tahun lamanya (3,285 hari). Lebih-lebih lagi mereka yang bujang dan baru merasa 3 bulan gaji. Jangan gelojoh nak nampak kaya di mata si anak dara. Siap jadikan profile picture lagi…menyampah!

Sama ada tak sedar atau buat-buat tak tahu kos-kos lain yang bakal ditanggung selepas beli kereta, selain daripada bayaran ansuran bulanan kepada bank.

Apabila anda miliki kereta, semestinya anda perlu duit untuk:

  • isi minyak
  • bayar cukai jalan
  • bayar insurans
  • hantar servis
  • parking
  • tol
  • saman
  • sport rim

Jika segala perbelanjaan telah anda salurkan hanya kepada kereta sahaja, bagaimana pula dengan dana kecemasan ketika susah atau saat memerlukan?

Malang memang tak berbau. Anda sendiri tidak tahu bila:

  • jatuh sakit
  • jiran nak pinjam duit
  • kemalangan
  • tayar kereta bocor

Tanpa dana kecemasan, agak-agak macam mana nak cari duit?

Teringat lirik lagu Salih Yaacob…

Nampak bergaya
Siapa tau papa kedana
Duit tak ada
Nampak macam orang kaya…

Hutang tak hutang
Yang penting semuanya ada
Kalau tak hutang
Memang tak nampak apa benda…

2. Kau Jangan Gatal Ambil Pinjaman Peribadi Demi Nafsu

Buat pinjaman peribadi atas dasar memenuhi kehendak, bakal membuatkan anda terjerumus ke lembah hutang yang dalam. Contohnya seperti buat pembiayaan peribadi untuk tujuan menampung kos belanja kahwin, melancong, beli kereta mahal dan sebagainya.

Jika anda membuat pinjaman peribadi untuk tujuan perkahwinan, sebenarnya sangatlah rugi. Selain daripada kena ‘tangkap basah’, jarang orang kahwin secara mengejut-ngejut. Logiknya kita seharusnya boleh rancang jauh lebih awal.

Kalau dah planning nak kawin lagi setahun, anda harus bijak untuk menyimpan setahun daripada sekarang. Sanggupkan anda untuk menjadi hamba hutang puluhan ribu ringgit, semata-mata untuk digunakan sehari?

Tak perlu nak terikut-ikut orang lain sehingga menganiaya diri sendiri. Hutang yang anda pikul akan mempengaruhi segala perbelanjaan, pelaburan dan simpanan anda pada masa akan datang.

3. Kau Nak Ke, Orang Lain Cukup Umur Bersara, Tapi Kau Masih Kena Kerja Sebab Simpanan Tak Ada?

Sementara kita masih sihat dan muda, sudah pasti kita rasa macam boleh bekerja cari duit untuk berpuluh-puluh tahun lagi sampaikan tak terfikir yang satu hari nanti akan bersara.

Kerja berpuluh tahun, bila dah tua tiada simpanan. Apa yang tinggal hanyalah duit dari akaun KWSP atau duit pencen.

Kalau ikut statistik KWSP, majoriti pencarum akan menghabiskan duit dalam akaun mereka dalam tempoh kurang daripada 3 tahun. Ini bermakna, jika bersara pada umur 60 tahun, pada umur 63 tahun duit KWSP akan licin. Jika ditakdirkan anda hidup sehingga 70 tahun, bagaimana nak teruskan baki kehidupan? Kajian juga menunjukkan menjelang tahun 2050, 1 daripada 3 lelaki berusia 65 tahun hingga 69 tahun akan perlu terus bekerja!

Jadi semasa masih muda dan bertenaga anda perlu berusaha lebih membuat simpanan. Sama ada kurangkan hutang atau tambahkan pendapatan. Bila dah tua nanti, tak perlu risau pasal duit lagi.

Komen

komen