5 Kelebihan Kad Kredit (Bagi Mereka Yang Berdisiplin)

Kebaikan Kad Kredit

Menurut statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia, kira-kira 70 orang diisytiharkan muflis di negara kita pada setiap hari; dan jumlah ini semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Tentunya ini adalah satu fenomena yang membimbangkan, dan daripada jumlah tersebut dianggarkan 5% ke 8% seseorang itu jatuh muflis adalah kerana tidak dapat membayar hutang kad kredit mereka.

Kami tak setuju. Kad kredit bukan penyebab mereka bangkrap.
TIADA DISIPLIN ketika membayar adalah punca sebenar.

(Nak tahu 3 punca utama rakyat Malaysia bankrap, klik sini)

Namun bagi mereka yang berdisiplin tinggi dan boleh mengawal perbelanjaan, disertai dengan penggunaan yang berhemah; kad kredit tentunya dapat memberikan beberapa kelebihan seperti berikut:

#1. Dapat menjejak dan menyelia perbelanjaan

Setiap transaksi direkodkan secara automatik dan kita akan mendapat penyata lengkap mengenai tabiat perbelanjaan kita. Sebagai contoh, kita tahu berapa yang telah dibelanjakan setiap bulan untuk mengisi minyak, membeli keperluan dapur, membeli-belah dan lain-lain.

Jika menggunakan wang tunai perlu menulis secara manual satu-satu.

Dengan pengetahuan dan kesedaran yang tinggi tentang halatuju perbelanjaan, kita boleh mengelakkan daripada terlebih belanja dan ianya dapat menggalakkan tabiat perbelanjaan yang baik.

#2. Kemudahan dan keselesaan

Kad kredit membolehkan kita berurusan dengan lebih mudah; baik dalam menempah tiket kapalterbang, hotel, sewa kereta dan sebagainya. Dalam kes-kes kecemasan juga, ia sangat berguna sebagai pendahuluan apabila berhadapan dengan masalah yang tidak dijangka.

Perbelanjaan yang dicaj pada kad kredit biasanya tidak dikenakan sebarang faedah selama 20 hari, jadi kita dapat melengahkan pembayaran dan menggunakan wang tersebut ke instrumen pelaburan lain buat sementara waktu yang boleh mendapat pulangan (walaupun sedikit, apabila dijumlahkan dalam setahun pasti akan mengumpul nilai).

#3. Perlindungan pengguna

Perbelanjaan dengan kad kredit adalah dilindungi, dan sebarang akses yang tidak sah biasanya tidak akan melibatkan wang simpanan kita secara terus. Segala transaksi yang tidak sah boleh dilaporkan kepada pihak bank dengan mengemukakan aduan pertikaian (dispute report) untuk penyiasatan dan tindakan lanjut.

Kebanyakan bank juga menyediakan insurans perjalanan secara percuma dengan penggunaan kad kredit mereka.

#4. Ganjaran

Setiap ringgit yang dibelanjakan dengan kad kredit akan melayakkan kita mengumpul mata ganjaran. Untuk tempoh yang lama, mata ganjaran ini akan terkumpul dengan banyak dan boleh ditebus dengan hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan oleh pihak bank; biasanya baucer membeli belah/petrol, barangan elektrik ataupun ganjaran perjalanan (miles) daripada syarikat penerbangan.

Saya pula suka tebus ganjaran Maybank TreatsPoints yang berkepuk-kepuk tu di Baskin Robbins. Satu sen tak perlu keluar duit.

#5. Mata Kredit (Credit Rating)

Setiap individu akan mempunyai mata kredit (credit rating) mereka yang tersendiri.

Jika kita mempunyai rekod pembayaran yang baik, kita akan memperolehi mata kredit yang tinggi dan akan memudahkan urusan permohonan pinjaman untuk masa akan datang. Ini adalah penting jika kita mahu mendapatkan pinjaman perumahan buat pertama kali. Mungkin juga dengan mata kredit yang baik akan membolehkan kita mendapatkan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah.

Kad Kredit Umpama Pisau, Ia Boleh Membantu Tetapi Boleh Juga Membunuh

5 kelebihan di atas adalah sebab-sebab yang baik untuk menggunakan kad kredit, tetapi perlulah digunakan dengan disiplin diri yang tinggi! Ingat, kami siap boldkan –> Bil kad kredit perlu dibayar dalam tempoh yang ditetapkan, secara bayaran penuh, pada setiap bulan.

Pilihlah kad kredit dari bank yang mengecualikan caj tahunan dan produk yang patuh syariah.

Elakkan membeli secara impulsif dan melebihi daripada apa yang kita perlukan. Nampak sukar untuk dilakukan, tetapi akan menjadi mudah dengan keazaman yang tinggi.

Apa hukum menggunakan kad kredit? Boleh rujuk kepada mereka yang lebih pakar di sini.

Ditulis Oleh: Kamil Adlee

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend