5 Salah Faham Urus Duit Yang Perlu Diperbetulkan

Kita sering mempunyai tanggapan yang salah tentang pengurusan duit. Akibat daripada salah faham ini, kita mula mengambil sikap sambil lewa menyebabkan kedudukan kewangan kita terganggu.

Apabila ini berlaku, mulalah nak salahkan pihak lain; kerajaan, majikan, peniaga, pelabur, keluarga, rakan, serta mendakwa pihak-pihak inilah yang bertanggungjawab atas kegagalan mereka mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing.

Walhal, kalau kita perbetulkan kefahaman kita dan mula bertindak untuk mengurus kewangan sendiri dengan lebih baik, insyaAllah kita akan mempunyai kewangan yang lebih baik.

Jom tengok lima salah faham urus duit seperti berikut:

1. “Gaji Tinggi, Hidup Selesa”

Itulah yang ditanam dalam minda masyarakat kita sejak daripada kecil lagi. Kononnya jika dapat jumlah pendapatan yang tinggi, mesti dapat hidup dengan selesa. Dapat beli apa sahaja, penuhi apa sahaja yang diingini.

Namum hakikatnya tidak begitu. Jumlah gaji atau pendapatan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu bebas daripada sebarang masalah kewangan.

Mesti kita pernah dengar dengan pepatah “Semakin besar periuk, semakin besar keraknya”, bukan?

Dari konteks pengurusan kewangan peribadi, pepatah ini memberikan gambaran tabiat kebanyakan orang yang suka menambah perbelanjaan apabila pendapatan bertambah.

  • Pantang gaji naik sedikit, terus mengidam kereta yang lebih mahal.
  • Dapat bonus pula, dihabiskan kepada shopping barang-barang bukan keperluan.

Akibatnya, walau gaji kita bertambah besar, namun kehidupan masih tetap sama dibelenggu masalah kewangan.

Sebenarnya, apa yang penting bukanlah gaji yang tinggi, tetapi, ilmu pengurusan kewangan yang betul dan sikap sendiri terhadap wang yang dimiliki. Belanja ikut kemampuan sendiri, dan sentiasa tanamkan rasa cukup dan syukur dengan rezeki yang diperoleh.

InsyaAllah, dengan sentiasa amalkan perkara-perkara ini, walau sebesar atau sekecil mana pun gaji yang diperoleh, kita akan sentiasa mendapat hidup yang selesa, tenang dan bebas daripada belenggu masalah kewangan.

2. “Simpan Duit Apabila Ada Duit Lebih Sahaja”

Salah faham urus duit kedua adalah bila dapat gaji nanti, bolehlah nak beli itu dan ini. Makan di sana sini. Kita nak puaskan dulu kehendak diri. Kalau ada duit lebih, barulah simpan.

“Penat-penat kerja, dapat gaji, mestilah nak belanja untuk kepuasan diri sendiri dulu. Kalau ada duit lebih nanti, baru fikir nak simpan duit.”

Kalau ada yang mempunyai mentaliti seperti di atas, anda pasti sukar untuk menyimpan. Dan cara nak atasi masalah ini, kenalah tukar mindset.

Simpan dulu sebelum berbelanja. Apabila dapat gaji, simpan dulu sebahagiannya, kemudian lupakan, dan yang selebihnya barulah dibelanjakan.

Prinsip penting dalam menyimpan, sanggup berkorban kesenangan hari ini untuk kesenangan hari esok. Contohnya, jika kita bergaji RM3,000 sebulan, cuba asingkan dulu 10% iaitu simpan sekurang-kurangnya RM300 terlebih dahulu. Jika dilakukan dengan secara konsisten, anda pasti terkejut dengan hasilnya.

3. “Gaji Sikit, Susah Nak Menyimpan”

Ramai juga yang memberikan alasan bahawa pendapatan yang kecil menjadi penghalang untuk menyimpan secara konsisten. Ya, tidak dinafikan, dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi sekarang, memang agak sukar bagi mereka yang berpendapatan kecil untuk menyimpan.

Tetapi, itu hanyalah alasan semata-mata. Mulakan menyimpan dengan jumlah yang kecil dahulu, pastikan konsisten setiap bulan. Ini penting untuk memupuk tabiat menabung terlebih dahulu.

Nanti apabila pendapatan semakin bertambah, akan lebih mudah dan seronok untuk menyimpan kerana telah terbiasa menyimpan ketika ‘waktu susah’ dahulu.

Pada masa yang sama, disarankan juga setiap kali mendapat duit tambahan seperti bonus, hadiah atau pun bantuan seperti BR1Ml lebih baik duit tersebut disimpan jika tiada apa-apa keperluan mendesak pada waktu tersebut.

Masih ingat pepatah lama, “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”?

4. “Jimat Cermat Waktu Gawat Sahaja”

Masa banyak duit, bukan main seronok lagi berbelanja. Apabila duit dah tinggal sedikit, barulah mula nak berjimat-cermat. Hakikatnya, bukan begini yang sepatutnya diamalkan.

Perbelanjaan hendaklah dikawal pada setiap masa, tak kira waktu senang, lebih-lebih lagi pada waktu susah. Utamakan perbelanjaan-perbelanjaan keperluan berbanding kehendak, sentiasa ikut bajet yang dibuat dan kemampuan kewangan sendiri.

Kunci utamanya adalah untuk bersederhana, jangan terlalu boros dan jangan pula terlalu kedekut sehingga menyusahkan diri.

Ambillah iktibar daripada pengajaran surah Yusuf. Dalam surah ini, diajarkan supaya berjimat-cermat dan banyakkan menyimpan pada waktu senang, supaya nanti apabila tiba waktu gawat, hasil simpanan tersebut dapat digunakan untuk menempuh waktu sukar tersebut.

Begitulah yang sepatutnya kita amalkan dalam pengurusan kewangan peribadi sendiri.

5. “Duit Banyak-Banyak, Bukan Boleh Bawa Masuk Kubur”

Kata-kata di atas sering dilemparkan sebagai sindiran kepada golongan yang pandai urus duit. Kononnya, sia-sia sahaja kita uruskan duit dengan baik, simpan duit banyak-banyak, sebab tak boleh dibawa di saat kita mati nanti.

Ya, memang betul, duit yang banyak memang tidak boleh dibawa masuk kubur. Tetapi, dengan duit yang banyaklah, dapat membantu untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di alam sana.

Bukankah dengan duit yang banyak, akan membantu kita untuk menunaikan zakat, sedekah dan wakaf dengan lebih mudah?

Apabila kita bijak menguruskan kewangan, sudah tentu kita tidak akan meminggirkan amalan mengeluarkan zakat. Sebahagian duit juga boleh disedekahkan secara konsisten kepada mereka yang memerlukan.

Selain daripada meninggalkan Wasiat kepada waris, kita juga boleh memberi Hibah ketika kita masih hidup.

Ke Arah Kewangan Yang Lebih Baik

Untuk kita berubah, tak dinafikan bukannya mudah. Lagi-lagi kalau kita dah terbiasa melakukan perkara yang tak elok tersebut untuk bertahun-tahun lamanya.

Apa yang penting adalah untuk kita mulakan daripada sekarang, walaupun secara kecil-kecilan sahaja dahulu. Dan lakukannya secara konsisten atau istiqomah. Pasti suatu hari nanti, kita dapat memperbaiki kewangan kita.

 

Sumber Rujukan:

Komen

komen