5 Sebab Logik Kenapa Gaji Rakyat Malaysia Tak Naik

Menurut laporan terbaru Gaji dan Upah 2016 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, gaji pekerja di Malaysia naik sebanyak 6.2% tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Menurut laporan tersebut purata gaji bulanan pekerja di Malaysia pada tahun 2016 adalah RM2,463 manakala penengah (median) gaji pekerja di Malaysia adalah RM1,703. Kedua-duanya meningkat sejumlah 6.3% dan 6.2% masing-masing berbanding tahun 2015.

Pada tahun yang sama, kadar inflasi adalah 2.1%. Jadi kenaikan gaji sebenar (kadar kenaikan gaji tolak dengan kadar inflasi) adalah sekitar 4%.

Ada juga yang akan kata gaji mereka tak naik setinggi 6% terutamanya kakitangan swasta. Ya mungkin ada yang naik lebih rendah dan ada yang lebih tinggi dan mungkin ada tak naik langsung.

Kenapa Gaji Tak Naik?

Kakitangan swasta kebiasaannya diberi kenaikan gaji mengikut prestasi tahunan yang dinilai oleh majikan setiap tahun termasuk prestasi syarikat seperti keuntungan dan juga prestasi pekerja itu sendiri.

Ini bukannya hasil kajian mana-mana pihak seperti Jobstreet. Tetapi hasil pengalaman penulis yang 16 tahun bekerja makan gaji dan sekarang mempunyai bisnes dan pekerja sendiri. Jom kita tengok apa sebab-sebab logik kenapa gaji tak naik?

#1. Pekerja Kurang Produktif

Pihak majikan memang suka sebut pasal produktiviti. Mereka suka bagi alasan cakap pekerja Malaysia ni produktiviti tak cukup bagus, sebab tu tak boleh bagi gaji tinggi. Banyak sangat sesi ‘mengeteh’, banyak cuti sakit, banyak bazirkan masa menonton YouTube dan main Facebook semasa waktu bekerja juga alasan konkrit yang menyokong.

Sekejap.

Data terbaru dari Perbadanan Produktiviti Negara menunjukkan bahawa produktiviti tenaga buruh naik tahun lepas pada kadar 3.5%, lebih tinggi dari tahun sebelumnya iaitu 3.3% pada tahun 2015.

Jadi kenapa masih kata Malaysian productivity is still low?

Penulis bersetuju dengan pendapat saudara Izudin Yusof.
Menurut beliau salah satu sebab low productivity adalah kerana produk atau servis kita tak highly demanded oleh negara-negara lain.

Logiknya gaji tak akan naik kalau hasil jualan syarikat sendiri tak naik.

Bayangkan sekiranya syarikat-syarikat kita menghasilkan produk yang highly demanded oleh seluruh dunia. Tapi disebabkan kebanyakan bisnes orang Malaysia yang lebih sukakan easy money (import barang dari China, jual balik dekat Malaysia. Ini contoh saja), maka jadilah kita negara yang memberi gaji rendah kepada pekerja-pekerjanya.

Nak ada produk yang highly demanded = kena cipta benda baru. (Inovator pasti ramai di Malaysia, cuma tak ‘nampak’ mereka di mana)

Nak ada service industry yang bergaji tinggi = kena kurangkan tenaga kerja asing.

Salah kerajaankah yang tak memberi insentif yang lebih untuk kemunculan industri inovasi? Eh, sekejap..kitakan ada MDEC dan MaGIC?

Apa lagi alasan lain?

#2. Tak Ada Inisiatif. Hanya Buat Kerja Rutin

Hari-hari buat kerja yang sama. Anda sememangnya dibayar untuk melakukan pekerjaan itu. Kalau prestasi kerja rutin tu pun anda suam-suam jangan haraplah dapat naik gaji. Jika pekerjaan anda sememangnya memerlukan inovasi serta idea baru, maka jangan segan silu untuk memulakan sebarang inisiatif. Cari jalan untuk tambah keuntungan syarikat.

Sebab zaman sekarang ni pekerja yang datang ke pejabat tepat pada waktu, jalankan semua tanggung jawab dengan baik, mungkin tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa.

#3. Anda Tak Menjadi Lebih Bernilai

Mengapa pihak majikan harus membayar lebih mahal untuk kerja yang boleh dibuat oleh 10 orang yang lain? Apa lebihnya anda? Kalau anda berhenti kerja syarikat melingkup tak?

Jika anda tak upgrade menjadi lebih bernilai, majikan pastinya akan pandang anda sebelah mata.

#4. Kebergantungan Kepada Pekerja Berkemahiran Rendah

Kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah memberi manfaat kepada pemilik perniagaan untuk tekan paras gaji. Belum cerita bab kualiti lagi tu.

#5. Tak Pernah Minta Pun

Alasan lain yang masuk akal adalah kerana anda tak pernah memintanya. Dekat Facebook bukan main lagi merungut gaji tak naik tapi rupa-rupanya tak pernah minta pun.

Maklumlah, minta naik gaji ni kononnya hal yang sensitif. Nak pula orang kita yang jenis ‘pemalu’ tak bertempat. Pastinya anda takut permintaan anda kena reject ataupun dicop mata duitan oleh bos!

Tapi pepatah lama ada sebut; belum try belum tahu.

Sebelum nak minta naik gaji tu pastikan betul-betul bersedia dari segenap segi. Pastikan prestasi tip top. Bila ada tugasan kerja, buat dengan bersungguh-sungguh. Jangan beremosi dan jangan buat perangai. Muka biar selalu senyum, barulah rezeki berani mendekat.

#6. Majikan Tiada Polisi

Cuba tanya majikan anda, syarikat ada polisi tak bagi perkembangan karier? Ada tak level non-executive, junior executive, senior executive, manager dan senior manager? Logiknya macam mana gaji nak naik kalau majikan pun awal-awal lagi dah pincang dari segi pengurusan? Itu belum cerita majikan ikut tangga gaji mengikut industri atau ikut suka.

Sebab terakhir yang mungkin logik juga, gaji tak naik-naik sebab majikan memang tak ada bajet atau tak suka dekat kita!

Penting Untuk Menilai Diri Sendiri

Mungkin sudah sampai masa pihak Kerajaan harus memberi fokus dan mengkaji bagaimana boleh memperbaiki sistem penggajian negara kita terutamanya di sektor swasta.

Pelaksanaan gaji minimum adalah langkah awal yang harus dipuji.

Kesimpulannya, anda rasa anda layak dapat gaji lebih tinggi? Jika anda hanya boleh mengeluh dan mengeluh tentang gaji yang kecil, tentang karier yang tidak jelas, tentang penilaian pihak majikan yang tidak adil tetapi anda tidak berani untuk keluar mencari peluang pekerjaan atau punca rezeki yang lain, maka berhentilah mengeluh.

Bahasa mudahnya nak cakap, kalau betul-betul tak puas hati dengan majikan, carilah kerja lain. Dapat juga kurangkan stok dosa mengeji dan mencaci dari belakang.

Oh ya, rezeki yang halal tak semestinya berkat. Ingatlah zakat pendapatan 2.5%, inshaAllah semuanya dipermudahkan.

Ya ALLAH banjirilah pembaca-pembaca kami dengan rezeki yang penuh berkat, rezeki yang mencurah berlipat kali ganda…Amin

Baca juga 5 Tempat Ke Mana Duit Gaji Rakyat Malaysia Sering Dihabiskan Setiap Bulan

Komen

komen