Kurangkan Stress – 5 Tips Hidup Tanpa Ropol

Perkongsian Terbaik Tuan Norizan

Sebelum ini kita ada siarkan Tuan Norizan Kongsikan Cara Nak Bersara Awal Di Usia 54 Tahun, dan ianya mendapat sambutan yang cukup hangat. Beliau ada bagi 5 tips yang sangat berguna untuk semua orang.

Kali ini kita tengok pula 5 tips nak hidup tanpa ropol dalam kehidupan. Tapi sebelum kita mula, mesti ada yang tertanya-tanya apa itu ropol bukan?

Maksud Ropol

Pernah tengok tirai kan? Tirai ada dua jenis. Satu yang beropol dan penuh renda. Satu lagi yang plain dan simple. Hidup tanpa ropol samalah seperti tirai yang plain dan simple tersebut – tak ada bunga dan renda-renda.

Atau erti kata lain, kita menjalani kehidupan yang minimalist.

Hidup Secara Sederhana

Hidup secara bersederhana adalah merupakan sesuatu yang dituntut dalam Islam. Cuma kadang untuk mempraktikkan sesuatu itu lebih mudah untuk kita ungkap dari kita ikut. Lebih-lebih lagi hidup dizaman social media ini bila saban hari kita scroll Facebook, Twitter dan Instagram rakan maya semua upload gambar ootd, makan di kafe hipster, bercuti di luar negara.

Rasa cemburu pula kadang-kadang bila tengok kehidupan bahagia orang lain. Tapi tahukah anda ‘bahagia ialah apa yang kita rasa, bukan apa (harta) yang kita miliki’. Memetik kata-kata Tuan Norizan Bin Sharif, beliau berkongsi 5 cara untuk hidup tanpa ropol supaya hidup anda akan menjadi lebih tenang dan bahagia.

1. Ambil Tahu Duit Kita

Adakah anda tahu berapakah pendapatan bersih dan ke mana duit itu dibelanjakan? Daripada keseluruhan pendapatan itu, berapa peratus dibelanjakan untuk perbelanjaan tetap, perbelanjaan tak tetap dan simpanan?

Apakah perbelanjaan yang memang wajib kena bayar, apakah yang boleh dikurangkan dan apakah yang “mengarut” dan boleh dipotong.

Perbelanjaan tetap seperti sewa rumah, kita kena bayar. Perbelanjaan tak tetap seperti makan malam di luar, boleh dikurangkan. Perbelanjaan seperti merokok, itu mengarut dan tak perlu.

Kalau tak tahu baseline ini, kita tak boleh merancang kewangan peribadi. Ini asas hidup tanpa ropol.

2. Berbelanja Di Bawah Kemampuan

Ramai orang nasihatkan belanja dalam kemampuan. Kalau nak hidup tanpa ropol, belanja di bawah kemampuan.

Hidup tanpa ropol akan jadikan kita ada wang lebih. Ia boleh berlaku dengan sama ada kita kurangkan pendapatan, atau tambah pendapatan sedia ada.

Kalau kita tak dapat tambah pendapatan, potong habis-habisan perbelanjaan kita. Yang mana kita kita boleh potong, potong. Kurangkan perbelanjaan. Ikat perut.

3. Perbelanjaan vs Pelaburan

Fahami perbezaan antara perbelanjaan dan pelaburan. Perbelanjaan ialah kegunaan tunai bagi sesuatu yang turun nilai atau tidak memberikan tambahan nilai bagi tempoh jangka panjang. Contoh: beli baju baru. Atau, beli tudung baru setiap bulan.

Pelaburan adalah sebaliknya. Contoh pelaburan ialah mengikuti latihan atau beli unit saham amanah. Adakah anda banyak perbelanjaan atau banyak pelaburan?

4. Beli Kualiti

Hidup tanpa ropol bukan bermaksud membeli yang paling murah. Kasut berharga RM50 belum tentu “lebih murah” jika ia rosak dalam tiga bulan. Sebaliknya, kasut RM100 tetapi tahan lama, memberikan nilai yang lebih baik.

Fokus kepada membeli kualiti. Abaikan jenama.

5. Ketahui Perbezaan Di Antara Keperluan Dan Kehendak

Kita perlu makan, kita tak perlu makan di restoran makanan segera mewah. Kita perlu baju, kita tak perlu baju berjenama. Kita perlukan handphone, kita tak perlu beli handphone model terbaru di pasaran; apatah lagi tukar handphone setiap kali ada model baru.

Utamakan keperluan, bukan kehendak.

Kredit: Norizan Bin Sharif

Rancang Senang, Tapi Nak Buat Itu Memang Payah

Bila kita rancang untuk hidup tanpa ropol, memang rasa agak berat pada awalnya. Ada dua cara untuk kita rasa yang kita ni kaya:

1. Jadi orang terkaya dunia, dan wang ringgit tiada guna lagi sebab sudah ada terlalu banyak

2. Jadi orang yang kurang berkeinginan terhadap kebendaan. Walaupun tiada wang ringgit yang banyak, tetapi masih rasa sangat bahagia dengan apa yang telah dikurniakan

Komen

komen