7 Perkara Yang Selalu Kita Terlepas Pandang Semasa Menyediakan Bajet Peribadi

Bajet bulanan merupakan salah satu cara untuk kita merancang perbelanjaan dengan teratur. Kalau kita mempunyai bajet, sekurang-kurangnya kita tahu ke mana duit kita akan dibelanjakan; daripada mereka yang langsung takde bajet.

Tetapi ada sesetengah perkara yang kita sering terlepas pandang semasa menyediakan bajet bulanan iaitu:

1. Derma

Kalau kita merupakan seorang yang pemurah dan sering memberikan derma secara tetap kepada mana-mana badan NGO, masjid, sekolah tahfiz dan sebagainya; lebih baik kita masukkannya ke dalam bajet kewangan.

Dengan adanya derma yang konsisten daripada kita, ini bagi membolehkan kita tahu berapa dan ke mana derma tersebut disalurkan.

Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar

2. Perbelanjaan Isi Rumah Dan Kos Penyelenggaraan

Untuk perbelanjaan isi rumah, selalunya kita akan memasukkan anggaran untuk item seperti makanan, utiliti dan sebagainya. Tetapi boleh dikatakan hampir semua daripada kita tidak memasukkan kos penyelenggaraan di dalam bajet bulanan.

Bayangkan sekiranya paip bocor, kos untuk membaikinya boleh mengganggu poket kita sekiranya kita tidak sediakan bajet tambahan ini. Lebih baik bersedia daripada awal daripada tiada peruntukan untuk tujuan ini.

3. Haiwan Peliharaan

Bagi mereka yang memiliki haiwan peliharaan seperti kucing, ikan, arnab dan sebagainya; kita tahu bahawa ianya merupakan belanja yang agak besar juga setiap bulan. Kita bukan sahaja perlu membeli makanan, vitamin, produk penjagaan seperti syampu dan sebagainya; tetapi kita juga perlu mempersiapkan belanja untuk penjagaan kesihatan mereka.

Kalau haiwan kesayangan kita sakit, pasti kita perlu membawa mereka untuk mendapatkan rawatan di klinik kerajaan mahu pun swasta. Dan kos perubatan mereka boleh tahan juga mahal. Sebab itulah kita perlu meletakkan anggaran kos ini sebagai langkah berjaga-jaga.

4. Kesihatan dan Kecantikan

Penjagaan kesihatan dan kecantikan memang penting untuk semua orang terutamanya kaum Hawa. Kita sanggup berbelanja lebih untuk tujuan ini. Ada yang gemar ke spa atau salon kecantikan, ada yang murah dan ada yang mahal.

Sekiranya kita tergolong dalam golongan ini, wajar untuk masukkan perbelanjaan ini ke dalam bajet bulanan. Ingat, masukkan kesemuanya ke dalam bajet walaupun sekadar tisu muka. Bila ada bajet nanti, senang untuk kita kawal.

5. Hari Jadi Dan Majlis Tertentu

Bila kita tahu yang kita bakal menyambut hari jadi ahli keluarga dan sahabat handai, rancanglah perbelanjaan lebih awal. Masukkan perbelanjaan ini ke dalam bajet.

Begitu juga sekiranya kita mendapat undangan untuk kenduri kahwin yang memerlukan kita untuk membeli hadiah atau pun memberi sumbangan berbentuk kewangan kepada pihak pengantin.

6. Tiket Parking

Jika kita membawa kereta, kita perlu sediakan bajet untuk bayaran tempat letak kereta juga. Kalau kita ada rutin memandu yang tetap seperti bawa kereta ke tempat kerja setiap hari, ia lebih mudah jika kita beli tiket parking bermusim sekiranya ada.

Tetapi jika kita jenis memandu sekali-sekala seperti di hujung minggu sahaja, buatlah anggaran berapa jumlah tertinggi bayaran parking yang kita pernah bayar dalam tempoh sebulan. Jadi senanglah nak buat bajet nanti.

7. Tabung Kecemasan

Masih ramai di antara kita yang tidak menyediakan tabung kecemasan. Ini kerana kita keliru tentang perbezaan tabung kecemasan dengan tabung simpanan peribadi.

Tabung kecemasan ini perlu untuk perkara-perkara yang tidak terduga. Manakala simpanan pula untuk kegunaan kita di masa hadapan. Jadi di dalam membuat bajet peribadi, kita perlu asingkan tabung simpanan peribadi dengan tabung kecemasan.

Sumber Rujukan: Compare Hero

Alah Bisa, Tegal Biasa

Untuk peringkat awal ini, kita mungkin rasa leceh untuk mencatatkan setiap detail perbelanjaan ini. Tetapi lama-kelamaan ia akan menjadi biasa. Kita akan berasa seronok apabila dapat melihat aliran keluar masuk perbelanjaan kita setiap hari.

Nakkan lagi tips, jemput baca:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

BNM Ambil Pendekatan Berhemat Tangani Risiko Keberhutangan Isi Rumah Tinggi

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko keberhutangan isi rumah bagi memastikan perkara itu tidak menimbulkan kesan negatif kepada kestabilan sistem kewangan negara.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan sedar mengenai risiko keberhutangan isi rumah yang tinggi, justeru pendekatan yang lebih mampan akan dilaksanakan.

“Oleh yang demikian, kerajaan sedang melaksanakan reformasi dan perubahan struktur terhadap ekonomi domestik berteraskan Kerangka Ekonomi MADANI supaya daya saing dan prestasi ekonomi negara dapat dipertingkatkan.

“Melalui usaha ini, pendapatan serta kesejahteraan rakyat akan dapat dipertingkatkan seterusnya membantu untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai dasar dan usaha kerajaan untuk mengurangkan peratusan hutang isi rumah.

Lim berkata antara usaha berterusan kerajaan termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012 untuk memastikan individu meminjam mengikut kemampuan membayar balik pinjaman dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengelakkan bebanan hutang berlebihan.

“Kedua, meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) agar pengguna perkhidmatan kewangan mempunyai keupayaan dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata usaha lain ialah menggalakkan isi rumah yang ingin membuat keputusan kewangan yang besar seperti pembelian rumah untuk mengikuti program pendidikan kewangan secara talian yang disediakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Beliau berkata pada akhir 2023, jumlah hutang isi rumah secara agregatnya berjumlah RM1.53 trilion.

Sebahagian besar hutang isi rumah digunakan bagi tujuan pengumpulan harta yang merangkumi pinjaman perumahan (60.5 peratus), pembelian harta bukan kediaman (5.3 peratus), dan pembelian sekuriti (4.3 peratus), katanya.

Beliau berkata manakala baki 29.9 peratus pula bagi tujuan perbelanjaan seperti pinjaman untuk pembelian kenderaan (13.2 peratus), pembiayaan peribadi (12.6 peratus) dan kad kredit (3.0 peratus).

Lim turut berkata isi rumah yang mempunyai masalah pengurusan kewangan dan hutang digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan perkhidmatan penyusunan semula hutang daripada pihak bank dan AKPK.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk membenarkan isi rumah mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mengurangkan beban keberhutangan isi rumah.

“Pada masa sekarang, sesiapa yang menghadapi masalah memulangkan hutang isi rumah ini, kami galakkan mereka tampil kepada kita, terutama melalui AKPK untuk menyelesaikan atau menstrukturkan semula  kewangan supaya mereka boleh mengatasi keadaan kewangan.

“Kerajaan akan cuba membantu sebab setiap individu itu, keadaannya berlainan. Jadi, kita berharap mereka akan tampil ke hadapan dan kita akan memberikan nasihat yang sewajarnya,” katanya.

— BERNAMA