7 Tips Untuk Menjadi Miskin

Selama ini kami banyak berkongsi tips-tips pengurusan kewangan supaya anak-anak muda tak terjerumus ke lembah kemiskinan.

Apa kata kali ini kami berkongsi pula tips yang sebaliknya.

Nota : Namun kami tidak bertanggungjawab sekiranya tips ini gagal membuatkan anda menjadi miskin.

1. Gaji Baru RM3,500, Tapi Pastikan Lifestyle Serupa Bergaji Menteri

Kereta mesti nak beli yang import. Tiap 7 tahun tukar baru. Telefon mesti kena upgrade tiap kali keluar model baru. Baju mesti beli dekat KLCC. Jam paling cikai pun jenama G-Shock. Setiap bulan pastikan pergi melancong, luar negara lebih afdal.

Kad kredit kan ada. ‘Swipe’ je lah.

‘Swipe-swipe’ tapi kalau bayar minimum je setiap bulan, itu memang jalan yang lurus ke arah kemiskinan. Tak usah acah-acah kaya sangat, sebab benda tu hanya boleh buat korang rasa puas hati seminggu dua je.

2. Pastikan Belanja Dulu Baru Simpan

Mungkin ramai suka belanja dulu baru simpan sebab dari bangku sekolah lagi tiap kali mak ayah bagi duit mesti dia pesan ‘nah duit ni buat belanja, kalau ada lebih simpan’.

Zaman sekarang ni kalau kau belanja dulu lepas tu baru simpan memang menuju ke jalan kemiskinan.

Apa kata bulan depan bila dapat gaji terus simpan 10%. Jangan kacau duit tu dan jangan keluarkan. Kalau boleh, kumpul dan park duit tu beli saham ‘blue chip’ dekat Bursa Malaysia. Mana tahu harga saham tu naik macam saham Nestle.

3. Percaya Bahawa Menyewa Itu Tanda Kau Gagal

Ini adalah salah faham yang biasa. Walaupun terdapat kebaikan dan keburukan bila cerita tentang Sewa Vs Beli ni, apa yang pasti menyewa tu bukan satu dosa.

Kalau beli, kita dapat menikmati kenaikan harga rumah, jadi nanti boleh dijual semula atau refinance apabila harga naik – dapat cash. Kalau sewa pula, kita ada duit lebihan untuk dilabur atau dikembangkan, boleh jual beli saham – untung dapat cash, silap haribulan dividen pun dapat.

4. Takut Nak Sedekah

Tak jatuh miskin jika kita bersedekah. Bersedekahlah pada mereka yang memerlukan. Bagilah pada mak ayah kita, anak yatim piatu, ibu tunggal yang susah atau bagi pada pelajar-pelajar di Universiti kerana dengarnya ramai ikat perut. Sekali-sekala, belanjalah juga kawan-kawan kita makan.

Allah SWT berfirman di dalam surah Saba’, ayat 34 yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya, Tuhanku melapangkan rezeki dan menyekatnya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya; Dan apa sahaja yang kamu berikan, Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi Rezeki yang terbaik.”

Bukankah jelas dengan memberi kepada orang lain, Allah akan memberi dan menggantinya dengan benda yang lebih baik? Ke korang tak yakin dengan ayat Al-Quran atas ni?

5. Percaya Bahawa Kena Ada Modal RM100,000 Baru Boleh Melabur Saham

Sumber gambar : Asri Ahmad Academy

Siapa masih percaya dengan teori ini akan bekerja sepanjang hayat untuk cari duit. Mereka yang sebaliknya pula akan merasai nikmat duit bekerja untuk mereka.

Kalau korang tak faham perenggan atas ni baik cepat-cepat kira cukup tak duit KWSP untuk bersara nanti.

6. Berfikir Takaful Itu Tak Penting

Statistik 2018 kata hanya 15% rakyat Malaysia ada Takaful. Jika dilihat daripada segi bilangan, sekarang ini terdapat sekitar 18.9 juta rakyat Malaysia yang beragama Islam. Seandainya dianggarkan kesemua 15% yang memiliki pelan perlindungan Takaful tadi adalah beragama Islam, ini bermakna masih terdapat sekitar 16.1 juta yang tidak memiliki perlindungan.

Kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai. Jadi, kalau tak nak bergolok bergadai masa nak bayar bil hospital puluhan ribu, ambil lah Takaful tu.

Tapi tak payah ambil kalau korang ada DNA Captain Marvel.

7. Tak Follow Facebook Anak-Anak Ahmad

Korang tak kenal dengan Tuan Azizul Azli Ahmad atau Tuan Hj Asri Ahmad?

Maka lengkaplah tips ini.


Bagi mereka yang dalam tekanan hutang, redha dengan keadaan tersebut, namun tetap perlu usaha untuk mendapat rezeki yang diberkati- walaupun sedikit, ia pastinya dapat membantu kewangan.

Kesemua ini adalah cabaran dan dugaan Allah SWT. Apa yang perlu dilakukan mungkin hanya sedikit perubahan. Sedikit perubahan boleh mengubah semula perjalanan untuk mencapai matlamat kewangan kita.

Pada asasnya, untuk hidup senang (tak miskin), korang hanya perlu buat dua perkara ni:

Sama ada mengurangkan perbelanjaan, atau menambahkan pendapatan, atau kedua-duanya sekali. Selamat mencuba!

P/S : Tips ini adalah hasil dari apa yang saya belajar dari orang-orang yang sentiasa mengeluh dengan kehidupan mereka.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend