Ada Apa Dengan Bitcoin Dan Mata Wang Digital?

Bitcoin dan mata wang digital semakin mendapat tempat di serata dunia. Pada awal tahun 2017, harga Bitcoin hanyalah di sekitar $1,000 USD untuk 1 Bitcoin, namun ianya melonjak ke paras tertinggi pada paras sekitar $19,000 USD pada hujung bulan Disember 2017.

Keuntungan sebanyak 1900% tak sampai setahun! Modal seribu dapat pulangan sehingga sembilan belas ribu.

Namun, ramai juga yang terkandas di puncak, kerana selepas itu Bitcoin membuat penurunan yang mendadak pula.

Sumber: XE

Kini Bitcoin berlegar-legar di paras $8,000 ke $9,000 USD. Siapa yang terbeli pada paras tertinggi tadi, terpaksa menanggung kerugian yang sangat besar.

Apa Itu Bitcoin?

Bagi siapa yang ketinggalan kapal, boleh baca dulu Apa Itu Bitcoin & Mengapa Ianya Bukan Sejenis Pelaburan. Dan menurut pandangan pakar kewangan Islam iaitu Dr Zaharuddin Abd Rahman, Bitcoin HARUS Untuk Melawan Inflasi Dan Jual Beli Barangan Sebenar.

Secara ringkasnya, Bitcoin merupakan wang digital yang tidak mempunyai bentuk fizikal. Bitcoin dicipta oleh seorang individu yang bernama Satoshi Nakamoto pada awal tahun 2009 selepas krisis subprime di US pada tahun 2008.

Ia menggunakan teknologi yang dinamakan Blockchain. Blockchain ini terdiri daripada blok-blok yang tersusun mengikut turutan dan tidak dapat diubah isi kandungannya. Di dalam setiap blok, terdapat maklumat-maklumat transaksi yang digunakan oleh pengguna Bitcoin.

Apa Apa Dengan Bitcoin Ni?

Untuk itu, kita kena tahu tujuan sebenar mata wang digital ini diwujudkan. Bitcoin diwujudkan sebagai sistem pembayaran alternatif yang berdasarkan kepada bukti kriptografi, dan bukannya kepada kepercayaan semata-mata. Ia juga tidak memerlukan pihak ketiga untuk memantau transaksi di antara dua belah pihak.

Dan Bitcoin merupakan kejayaan pertama aplikasi penggunaan Blockchain di dunia. Data tersebut direkod di lejar awam, dan setiap komputer yang bersangkut paut dengan rangkaian Blockchain tadi, akan dapat akses kepada maklumat bagi setiap transaksi yang berjaya. Inilah yang membuatkan Bitcoin telus dan tidak boleh dirosakkan atau digodam.

3 Kelebihan Bitcoin

1. Desentralisasi

Bayangkan satu lembaran besar yang berpanjangan yang sentiasa disalin setiap masa melalui rangkaian beribu komputer. Lembaran ini sentiasa disahkan serta dikemaskini pula. Semua orang ada akses kepada lembaran tersebut, tidak kira pengguna baru atau lama.

Ini bermakna, tidak ada satu pihak yang boleh melakukan ‘kerja kotor’ atau mengawal Bitcoin.

2. Tidak Boleh Dirosakkan (Corrupt)

Sekarang bayangkan pula ribuan transaksi yang berlaku pada masa yang sama di rangkaian tersebut. Blockchain direkabentuk untuk sentiasa berada dalam keadaan ‘sedar’, di mana semua komputer yang berhubung akan sentiasa mengira semua transaksi yang berlaku.

Ekosistem ini yang akan memastikan data yang disimpan tidak boleh dirosakkan.

3. Telus

Masih ingat lagi Blockchain direkod di lejar awam di mana semua orang dapat mengakses data yang sama? Pihak yang berkaitan boleh gunakan lejar ini untuk mengikat kontrak atau membentuk persetujuan tanpa perlunya sebarang kertas atau orang tengah. Ianya juga dapat menyelesaikan masalah manipulasi data.

Di sinilah mata wang digital dikira sebagai aset digital yang boleh digunakan sebagai medium pertukaran, dan ianya perlu dilaksanakan menerusi teknologi Blockchain tadi.

Bank Negara Malaysia (BNM) Mula Memantau Mata Wang Digital

Disebabkan populariti Bitcoin dan mata wang digital yang semakin meningkat naik saban tahun, BNM telah pun mengeluarkan Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan untuk Mata Wang Digital (Sektor 6) pada 27 Februari 2018 sebagai langkah pertama mengiktiraf mata wang digital, dan seterusnya memantau sebarang transaksi yang berlaku di Malaysia.

Sumber: Bank Negara Malaysia

BNM turut menegaskan bahawa mata wang digital belum menjadi mata wang yang sah di Malaysia. Begitu juga dengan perniagaan mata wang, ianya tidak dilindungi dan dikawal selia. Oleh itu, orang ramai disarankan untuk menilai risiko yang terlibat apabila berurusan dengan mata wang digital ini.

Adakah Bitcoin dan Mata Wang Digital Bakal Jadi Halal?

Inilah persoalan yang bermain di minda semua orang. Islam tidak melarang perkembangan teknologi, selagi mana ianya mematuhi kehendak yang ditentukan oleh hukum syarak.

Ikuti kupasan kami yang akan datang bagi merungkai persoalan ini.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend