Alhamdulillah, Ada Juga Hibah Tabung Haji Sebanyak 1.25%

Syukur Alhamdulillah, teka-teka terjawab sudah. Pendeposit Tabung Haji pastinya gembira dengan pengumuman hibah sebanyak 1.25% ini. Ia melibatkan jumlah agihan sebanyak RM913 juta kepada para pendeposit Tabung Haji. Ianya dikira berdasarkan baki minima bulanan sepanjang tahun 2018.

Prestasi Hibah Tabung Haji

2012 6.50% Hibah + 1.50% Bonus
2013 6.00% Hibah + 2.00% Bonus
2014 6.25% Hibah + 2.00% Bonus
2015 5.00% Hibah + 3.00% Bonus
2016 4.25% Hibah + 1.50% Bonus
2017 4.50% Hibah + 1.75% Bonus
2018 1.25% Hibah

Hibah Dah Dibayar Zakat

Sumber: FB Tabung Haji

Di kala kedudukan kewangan Tabung Haji yang membimbangkan, dapat juga merasa sedikit daripada tiada.

Bukan itu saja, hibah tersebut telah pun dibayar zakat siap-siap. Sebelum ini ada pelbagai perbincangan yang telah dijalankan, di antaranya:

Kedudukan Kewangan Tahun 2018 Lembaga Tabung Haji Kembali Pulih

KUALA LUMPUR, 5 April 2019: Lembaga Tabung Haji (TH) telah berjaya melaksanakan penstrukturan semula kedudukan kewangannya dengan sokongan penuh Kerajaan. TH telah mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018. Ini menunjukkan kedudukan kewangan yang kembali pulih jika dibandingkan dengan keadaan defisit aset RM4.1 bilion yang dialaminya berdasarkan laporan kewangan yang diaudit bagi tahun 2017.

Setakat 31 Disember 2018, TH merekodkan aset kesuluruhan berjumlah RM76.5 bilion yang lebih tinggi berbanding liabilitinya berjumlah RM75.5 bilion. Pendapatan bagi tahun tersebut adalah RM4.2 bilion manakala keuntungan boleh agih sebanyak RM2.0 bilion.

Walaupun penstrukturan semula telah dilakukan, TH masih perlu merekodkan rosot nilai sebanyak RM1.5 bilion, di mana sebahagian besar jumlah ini sepatutnya dirosot nilai pada tahun kewangan sebelumnya. Ini seterusnya telah mengurangkan jumlah keuntungan boleh agih TH.

Berdasarkan prestasi ini, TH telah berjaya memenuhi dua syarat yang membolehkan pengisytiharkan hibah dibuat, iaitu (i) mempunyai keuntungan boleh agih dan (ii) aset melebihi liabiliti, yang mematuhi Akta Tabung Haji 1995 (Akta TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, pada sidang media hari ini telah mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25% yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun 2018.

“Pelan penstrukturan yang telah dilaksanakan membuktikan keprihatinan Kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

“Dalam menzahirkan komitmen ini, Kerajaan akan membuat peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan Kerajaan selama 10 tahun dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion. Ini adalah kesan daripada kelemahan dan salah-guna kuasa pentadbiran yang lepas. Manipulasi akaun telah membolehkan hibah diisytiharkan pada kadar yang tinggi walaupun jurang defisit terus meningkat.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan ketelusan di dalam operasi dan kedudukan kewangan TH pada masa hadapan. InshaAllah, saya yakin dengan pengurusan TH sekarang, TH akan pulih sepenuhnya bagi melaksanakan amanahnya kepada umat Islam di Malaysia dan menjadi institusi kewangan Islam yang tersohor di kaca mata dunia ”

Dato’ Sri Zukri Samat, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang dilantik pada Julai tahun lepas, menyatakan bahawa kejayaan proses pemulihan TH dalam tempoh yang singkat, iaitu enam bulan, adalah diatas sokongan penuh pihak Kerajaan terhadap perlaksanaan penstrukturan semula TH dalam mengimbangi kedudukan kewangannya.

Ini melibatkan pemindahan aset-aset yang mengalami kejatuhan nilai dan kurang berdaya saing kepada sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) milik Kerajaan yang dikenali sebagai Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB). “Aset-aset ini yang mempunyai nilai buku sebanyak RM9.7 bilion telah dipindahkan kepada UJSB pada harga RM19.9 bilion bagi membolehkan jurang defisit sebanyak RM10.9 bilion ditutup.”

“Pemindahan ini akan dilangsaikan menerusi Sukuk RM19.6 bilion dan tunai sebanyak RM300 juta.”

“Transaksi pemindahan ini membolehkan TH mencapai dua matlamat – menutup jurang defisit, dan memulihkan kedudukan kewangannya”

“Kami yakin TH akan mencapai prestasi yang lebih baik bagi tahun 2019. Dengan kedudukan kewangan yang kembali kukuh setelah semua rosot nilai dibuat, TH kini lebih stabil untuk menjana keuntungan yang mampan dan mampu mengagihkan hibah yang menepati Akta TH” tambahnya.

Melangkah ke hadapan, tumpuan terhadap penjanaan pendapatan yang mampan akan memastikan TH dapat terus mencapai matlamatnya untuk membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji.

Beberapa inisiatif lain adalah meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti menerusi laporan berkala setiap suku tahun mengenai prestasi semasa serta memastikan pengagihan Hibah yang lebih stabil menerusi Rizab Penstabilan Hibah (Hibah
Equalisation Reserve) yang baru saja ditubuhkan.

Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan Hibah Tahunan TH 2018 bermula Isnin, 8 April 2019.

Lembaga Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sebuah badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Lembaga Tabung Haji 1995 (Akta 535). Aktiviti utama TH adalah dalam pengurusan haji, tabungan dan pelaburan. TH bertekad untuk menyediakan perkhidmatan haji yang cemerlang kepada jemaah Malaysia dan rekodnya yang konsisten ini telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai model kepada pengurusan haji yang inovatif. TH mempunyai lebih daripada sembilan juta pendeposit dan 125 cawangan dengan hampir 10,000 touch points, di seluruh negara.

Sumber: Laman Web Tabung Haji

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend