Apakah Itu Hiperinflasi? Bagaimana Ianya Berlaku Dan Apakah Kesannya?

Anda pasti pernah mendengar tentang inflasi kan? Inflasi bermaksud kenaikan harga barang. Ini adalah fenomena biasa yang dialami oleh negara-negara di serata dunia yang berlaku akibat permintaan yang tinggi (demand) dan kekurangan bekalan (supply).

Secara amnya, semua negara mahukan kadar inflasi yang rendah dan stabil, kerana ia akan memudahkan untuk menetapkan polisi kewangan yang baik. Jadi tidak hairanlah sekiranya kebanyakan bank pusat contohnya US Federal Reserve dan Bank Negara Malaysia mengawasi keadaan inflasi secara ketat.

Bayangkan kalau harga barang sekejap naik 10%, sekejap naik 30%, sekejap  turun 20%. Kalau anda seorang peniaga, anda nak letak harga barang pun pening kalau macam ini.

Tapi wujud sejenis inflasi yang jauh lebih tinggi dari biasa, iaitu hiperinflasi. Hiperinflasi boleh dikatakan berlaku sekiranya kadar inflasi sesuatu negara melebihi 50% pada bulan tersebut. Mungkin untuk seekor ayam, seseorang perlu membayar harga RM7 sekilo sekarang, tapi dalam situasi hiperinflasi, ianya akan menjadi RM10.50 sekilo (naik 50%) ataupun lebih dalam masa hanya sebulan.

Contoh negara yang pernah mengalami hiperinflasi termasuklah Bolivia, Germany, China, Venezuela, Tanah Melayu dan banyak lagi.

Carta 1: Hiperinflasi di Venezuela pada tahun 2018 yang hampir mencecah 1,000,000%

Kredit: Statista

Bagaimanakah Hiperinflasi Berlaku?

1. Mencetak Wang Dengan Terlalu Cepat

Apabila kegawatan ekonomi berlanjutan terlalu lama, salah satu tindakan yang diambil oleh sesebuah bank pusat ialah mencetak wang. Lambakan wang di dalam sistem ini kemudiannya membuatkan nilai wang tersebut susut buat sementara. Akibat lambakan wang di dalam sistem, bank-bank akan berusaha untuk meminjamkannya kepada sesiapa sahaja dengan kadar yang rendah dan menarik.

Secara teorinya, dengan kadar faedah yang begitu rendah, lebih ramai orang ataupun syarikat akan melakukan pinjaman dan mula berbelanja, lalu memacu semula ekonomi yang telah perlahan untuk menjadi lebih pesat. Maka, kesusutan nilai wang sementara ini tidak mengapa asalkan ianya diikuti dengan pemulihan ekonomi yang akan membuatkan nilai matawang tersebut naik semula.

Namun, sekiranya ekonomi tidak pulih dan bank pusat terus mencetak wang secara agresif, nilai wang tersebut akan merosot dengan cepat dan membawa kepada hiperinflasi.

2. Hilangnya Keyakinan Terhadap Nilai Matawang

Punca hilangnya keyakinan terhadap nilai matawang boleh datang dari pelbagai sumber. Contohnya kegagalan sesebuah kerajaan untuk mentadbir dan menguruskan dana negara, kelemahan dalam pengurusan polisi kewangan, atau kekalahan dalam peperangan.

Oleh kerana hilangnya keyakinan terhadap masa hadapan ekonomi negara tersebut, ramai orang bertindak menjual matawang negara itu yang akhirnya menyebabkan nilainya jatuh secara mendadak.

Kesan Hiperinflasi

1. Kuasa Membeli Berkurangan

Disebabkan harga barang semakin tinggi dan kenaikan gaji yang tidak setaraf dengan kenaikan harga barang, pembeli akan hilang sebahagian kuasa membeli.

2. Ketamakan (Hoarding)

Disebabkan nilai matawang yang semakin jatuh, kebanyakan orang menjadi tidak suka untuk memegang wang. Mereka akan cepat-cepat membeli barang yang diyakini tidak akan jatuh nilai contohnya komoditi seperti emas dan bahan makanan. Mereka membeli emas kerana nilainya lebih stabil dalam tukaran matawang asing lain dan membeli bahan keperluan seharian kerana harganya akan terus naik.

Tingkahlaku tamak ini menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk kerana harga barang akan naik secara lebih mendadak akibat permintaan yang terlalu tinggi.

3. Bank Kekurangan Wang Deposit (Bank Run)

Disebabkan keengganan untuk memegang wang jugalah bank mengalami masalah untuk mendapatkan deposit. Orang ramai akan mengeluarkan semua wang mereka untuk membeli barangseperti makanan, menyebabkan bank kekeringan wang dan gagal memulangkan deposit.

Ini adalah kerana wang pendeposit yang diambil oleh bank telah dipinjamkan kepada syarikat-syarikat dan individu lain untuk menjana keuntungan. Bank tentunya tidak dapat memulangkan semula duit pendeposit sekiranya kesemua pendeposit meminta semula wang mereka secara serentak. Ini dipanggil masalah kecairan (liquidity).

4. Penggunaan Matawang Asing Dan Sistem Barter

Oleh sebab tidak yakin dengan matawang negara sendiri, kerajaan dan rakyat mungkin akan memilih untuk menggunakan matawang asing yang lebih stabil. Selain itu, ada juga kemungkinan sistem matawang negara tersebut akan digantikan dengan logam berharga seperti emas ataupun perak.

Tidak kurang juga yang menggunakan sistem barter iaitu menukarkan sesuatu barang dengan barang lain yang sama atau lebih kurang nilainya. Contohnya, menukarkan seguni beras dengan dua ekor ayam. Yang penting, kedua-dua pihak bersetuju untuk melakukan transaksi tersebut.

Ditulis oleh Mohd Zulazam. Beliau merupakan seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana organisasi.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend