Bagaimana Nak Berjimat Kalau Anak Ramai?

Sesetengah pasangan mungkin mengimpikan jumlah anak yang ramai. Lebih ramai, lebih meriah katanya. Tetapi dengan situasi kos sara hidup yang semakin meningkat, kos untuk membesarkan seorang anak juga turut meningkat.

Jadi kalau lebih ramai anak, tentu lebih lagi belanja bulanan yang perlu dikeluarkan bukan? Kali ini kami ingin berkongsi 6 tips berjimat untuk anda yang mempunyai ramai anak atau yang mungkin merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga.

1. Warna Baju Unisex

Bagaimana warna baju boleh membantu anda untuk berjimat? Jawapannya mudah saja. Kanak-kanak pada usia 0-2 tahun memang cepat membesar, jadi baju yang telah dipakai oleh kakak atau abang, boleh digunakan oleh adik-adik mereka pula nanti.

Jadi pilihlah warna pakaian yang sesuai dipakai oleh anak lelaki dan juga anak perempuan seperti putih, biru, dan juga kuning. Kiranya warna neutral lah…

2. Beli Pukal

Barang yang dijual borong pada kebiasannya lebih murah harganya berbanding dengan barang yang dijual runcit. Jadi sekiranya anda ingin membeli barangan keperluan untuk ahli keluarga anda yang ramai, seeloknya anda ke pasar raya yang menawarkan anda harga borong. Ini akan menjimatkan lebih banyak duit anda untuk digunakan bagi perkara lain yang lebih penting.

Kita ambil contoh tisu basah, susu tepung kanak-kanak, malah baju pun kalau nak beli – beli terus secara pukal. Harga pun jimat, poket selamat…

3. Beli Barang Yang Berkualiti

Laburkan duit anda untuk membeli barangan yang berkualiti. Walaupun ada sesetengah produk berkualiti itu harganya lebih mahal, tetapi percayalah ialah berbaloi. Ini kerana barang tersebut dapat digunakan lebih lama.

Di antaranya ialah stroller dan barang permainan. Beli mahal sikit pun takpe, asalkan boleh tahan sampai mereka besar. Lepas tu, boleh jual balik kepada mereka yang lebih memerlukan.

4. Masak Sendiri

Air tangan ibu itu lebih sedap dan berkat berbanding dengan makanan di luar. Sekiranya anda memasak sendiri, tentunya ia dapat menjimatkan kos makan kat luar yang lebih mahal. Lagipun makanan yang dimasak sendiri tentunya lebih berkhasiat serta terjamin kebersihannya bukan?

Menu-menu ringkas sahaja sudah memadai, asalkan makanan tersebut berkhasiat.

5. Menyusu Badan

Bagi yang mampu menyusu badan, lebih elok sekiranya anda memberikan si manja susu badan sampailah umurnya 2 tahun. Ianya bukan sahaja menjimatkan, tetapi susu ibu memang telah terbukti susu terbaik untuk si manja.

Ia mempunyai segala khasiat yang di perlukan oleh si kecil. Bagi yang sedang hamil, ambillah makanan yang berkhasiat. Sekiranya anda mendapat segala khasiat yang diperlukan ibu mengandung, Insyaallah anda akan mempunyai susu yang cukup untuk diberikan kepada bayi anda.

Banyak tu dapat jimat, sebab susu formula semakin mahal dan pek pula semakin mengecil dari setahun ke setahun.

6. Ajar Anak Henti Pakai Lampin Pakai Buang

Sekiranya mereka telah mencapai umur di mana mereka sudah mampu memahami arahan, biasakan diri mereka untuk ke tandas. Tetapi anda perlu banyak bersabar. Mungkin pada peringkat awal agak sukar, tetapi lama-kelamaan mereka pasti dapat lakukannya.

Lebih cepat anda ajar mereka, lebih banyak duit yang anda mampu jimatkan. Lampin pakai buang pun salah satu barang yang naik harga, malah ada yang dapati kualitinya semakin menipis kerana pengeluar nak cut cost.

Anak-anak itu merupakan anugerah yang tidak ternilai. Ia juga merupakan pintu rezeki kepada pasangan suami isteri. Jadi anda tidak perlu takut dengan berapa ramai jumlah anak yang anda miliki. Insyaallah, rezeki anda tidak akan pernah habis dengan membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang.

Tapi apa salahnya nak berjimat, untuk kebaikan seisi keluarga jua.

Rujukan:

  1. http://www.dahtauker.com/keluarga/ini-tip-jimat-untuk-ibu-anak-ramai-yang-penting-kena-usaha-rajin/

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend