Baht Matawang Terbaik Asia Cetus Kebimbangan Bank Pusat Thailand

Thai Baht adalah matawang Asia terbaik setakat ini pada tahun 2019, dengan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding Dolar Amerika Syarikat sekaligus memberikan tekanan kepada eksport negara itu.

Matawang itu naik sehingga 0.3% pada hari Jumaat lalu (25 Oktober) kepada 30.187 untuk setiap Dolar AS. Ia adalah nilai tertinggi yang pernah dicapai oleh Baht sejak Mei 2013.

Autoriti di Thailand khususnya Bank of Thailand (BoT) bimbang dengan prestasi Baht yang terus meningkat, bakal memberikan kesan yang negatif kepada ekonomi negara itu.  Bank pusat tersebut juga mengalami kesukaran untuk menghentikan kenaikan matawangnya.

Kenapa Nilai Baht Semakin Tinggi?

Tren kenaikan Baht berbanding USD. Sumber: Investing.com

Beberapa faktor telah menarik pelabur ke Thailand yang menjadikan negara itu sebagai tempat yang selamat kepada wang dari luar negara. Faktor utama yang menarik pelabur adalah keadaan akaun semasa negara itu yang dinilai sebagai sihat.

International Monetary Fund (IMF) meramalkan negara itu akan merekodkan lebihan 6% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Rizab bank pusat dan juga keadaan inflasi negara itu menjadikan Thailand sebagai sebuah negara yang sesuai untuk pelaburan. Rizab matawang asing yang dipegang oleh bank pusat setakat ini adalah US$220 billion, cukup untuk membiayai 12 bulan import tertangguh. Inflasi pula kini berada pada kadar 0.3%, iaitu di bawah sasaran bank pusat sekitar 1% – 4%.

Tidak cukup dengan itu, Thailand sejak beberapa bulan lepas juga mendapat manfaat daripada lonjakan harga emas. Sebagai hab perdagangan emas, isu perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China, dan juga kebimbangan terhadap ekonomi global telah memacu kenaikan harga emas sebanyak 17% pada tahun 2019 sekaligus memberi manfaat kepada Thailand.

Kenapa Bank Pusat Bimbang Dengan Kekuatan Baht?

Seperti biasa, apabila nilai matawang sesebuah negara itu melonjak, ia sebenarnya akan menyukarkan pengeksport. Ia akan menjadikan harga barangan dan perkhidmatan di Thailand menjadi lebih mahal dalam sebutan matawang asing dan menjadikan pengimport dari luar negara yang membeli barangan dari Thailand terpaksa mengurangkan pembelian disebabkan harga yang semakin meningkat.

Industri pelancongan yang merupakan nadi ekonomi Thailand juga mengalami kesukaran, disebabkan tukaran matawang asing kepada Baht menjadi lebih mahal. Majlis Pelancongan Thailand telah menurunkan unjuran jumlah pelancong kurang daripada 40 juta orang berikutan harga Baht yang semakin tinggi berbanding matawang asing yang lain.

Laporan Kementerian Perdagangan Thailand juga menunjukkan eksport beras pada sembilan bulan pertama tahun ini merosot sebanyak 28.1% kepada hanya 5.9 juta tan penghantaran. Beras merupakan di antara eksport utama negara ini dengan pesaing terdekat adalah negara jirannya Vietnam. Dengan kenaikan Baht ketika ini, ia menjadikan harga beras Thailand relatifnya lebih mahal berbanding Vietnam, China dan India.

Semua faktor ini sudah tentu akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara gajah putih itu. Menurut tinjauan yang dibuat oleh Bloomberg, ekonomi Thailand dijangka hanya berkembang sebanyak 3% pada tahun ini merosot daripada 4.1% yang direkodkan pada tahun lalu.

Apakah Langkah Yang Diambil Oleh Bank Pusat Thailand?

Bank pusat baru-baru ini berkata akan melonggarkan kawalan modal bagi memudahkan penduduk tempatan memindahkan wang ke luar negara. Gabenor Veerathai menggesa pelabur merancakkan lagi pelaburan dalam negara untuk mengecilkan lebihan akaun semasa.

Autoriti telah mengambil langkah untuk mengurangkan aliran modal masuk jangka pendek, termasuk mengurangkan jualan bon-bon kerajaan. Mengurangkan jualan bon-bon kerajaan kepada pelabur asing dapat mengurangkan kemasukan modal asing ke dalam negara sekaligus menjadikan penawaran Baht berkurangan.

Bank of Thailand juga telah memotong kadar faedahnya sekali pada tahun ini. Kadar diturunkan sebanyak 25 mata asas kepada 1.5% pada bulan Ogos yang lalu. Secara teori dan kebanyakan kes yang berlaku, penurunan kadar faedah akan mennyebabkan kejatuhan nilai matawang. Namun, seorang ahli Majlis Mesyuarat bank pusat berpendapat tindakan itu tidak akan banyak membantu menurunkan nilai Baht.

Kenapa bank pusat tidak campur tangan dalam pasaran tukaran matawang untuk menurunkan nilai Baht? Ia mungkin disebabkan mereka bimbang dilabel sebagai pemanipulasi matawang oleh Amerika Syarikat.

Daripada segi dagangan emas, bank pusat tidak mengenakan sebarang peraturan terhadap jual beli komoditi berharga itu. Namun, gabenor menggesa pedagang emas untuk meletakkan wang mereka di luar negara dalam tempoh yang lama dalam usaha memperbanyakkan penawaran Baht di dalam pasaran tukaran matawang.

Kenapa Gabenor Menggesa Pedagang Tempatan Meletakkan Wang Mereka Di Luar Negara?

Bagi menerangkan hal ini, kita akan mengambil kira permintaan dan penawaran wang yang menentukan harga atau nilai matawang. Konsepnya sama seperti penentuan tingkat harga barang di dalam ekonomi.

Dalam pasaran tukaran matawang asing, nilai sesuatu matawang itu ditentukan oleh permintaan dan penawarannya. Nilai matawang akan meningkat jika permintaan terhadapnya meningkat atau penawarannya berkurangan. Begitu juga sebaliknya, nilai matawang akan menyusut jika permintaannya berkurang atau penawarannya bertambah.

Dalam kes matawang Baht, gesaan gabenor untuk pedagang dan pelabur tempatan meletakkan wang mereka di luar negara adalah bertujuan untuk mengurangkan tekanan kenaikan kepada matawang tempatan.

Pelabur tempatan yang meletakkan wang mereka di luar negara secara langsung menukarkan Baht kepada matawang asing menjadikan penawaran Baht meningkat. Apabila penawaran meningkat, nilai Baht akan menyusut.

Konsepnya sama untuk menerangkan tindakan bank pusat yang mengurangkan penjualan bon-bon kerajaan Thailand kepada pelabur asing. Ringkasnya, tindakan itu akan menyebabkan permintaan terhadap Baht berkurangan seterusnya mampu menurunkan nilainya.

Benarkah Kenaikan Matawang 100% Baik Untuk Ekonomi?

Ketika ini tumpuan terarah kepada sama ada Baht dapat kekal di sekitar 30 Baht untuk setiap Dolar AS. Ia adalah satu tahap tertinggi pernah dicapai oleh matawang itu berbanding Dolar AS enam tahun yang lalu.

Menurut tinjauan Bloomberg terhadap 24 bank pelaburan, hanya Morgan Stanley yang menjangka ia akan berada di sekitar paras harga itu pada penghujung tahun ini. Daripada tinjauan itu, Baht dijangka akan mencapai paras harga 31 Baht untuk setiap Dolar pada tahun 2020.

Tren kenaikan Baht berbanding Ringgit. Sumber: Investing.com

Nilai tinggi matawang sebenarnya mencerminkan keadaan ekonomi sesebuah negara itu yang berada di landasan yang baik. Itulah yang berlaku di Thailand ketika ini, yang mampu menarik peabur dari luar negara sehingga menyukarkan ia untuk mengawal kenaikan nilai Baht. Rasionalnya, kenapa pelabur datang ke Thailand? Sudah tentu disebabkan ekonominya yang baik.

Namun, daripada sudut yang lain nilai tinggi matawang juga menarik risiko yang lain kepada ekonomi. Seperti yang telah berlaku terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi Thailand yang diturunkan akibat daripada tingginya nilai matawang. Begitu juga dengan kedatangan pelancong yang diramalkan berkurangan pada tahun ini.

Sebab itulah bank pusat Thailand selaku autoriti pasaran kewangan mengambil langkah yang sepatutnya bagi mengurangkan kenaikan nilai Baht agar ekonomi bergerak pada tahap yang optimal.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.asiaone.com/business/baht-further-strengthen-expert-warns
  2. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-10-25/bank-of-thailand-mpc-member-says-rate-cut-won-t-curb-baht-jump
  3. https://www.straitstimes.com/business/economy/thai-baht-at-6-year-high-despite-central-banks-efforts-to-stop-surge
  4. https://www.reuters.com/article/us-thailand-economy-gold/gold-a-new-headache-for-thai-central-bank-as-baht-surges-idUSKBN1WQ170
  5. https://www.bangkokpost.com/business/1781169/strong-baht-to-shave-rice-exports-by-up-to-b40bn

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend