Berakhirnya Hubungan UK-EU: 5 Impak Brexit Kepada Ekonomi United Kingdom

12 April akan menjadi tarikh keluar Britain dari Kesatuan Eropah (EU) dan dijangka memberi impak buruk kepada ekonomi kelima terbesar dunia itu. Senario buruk dapat dielakkan jika Perdana Menteri Theresa May dapat menyelesaikan kecelaruan Brexit di Parlimen atau meminta penangguhan keluar itu daripada pihak Brussels. Segala ketidaktentuan ketika ini akan menyukarkan negara itu.

Berikut adalah lima impak Brexit kepada ekonomi jika UK keluar dari EU tanpa mendapat sebarang perjanjian.

#1 Ekonomi UK Meleset

Bank of England (BoE) menjangkakan pasaran akan hilang keyakinan terhadap Britain. Ekonomi UK dijangka akan meleset 5% dalam masa setahun iaitu hampir dengan jumlah kemelesetan semasa krisis kewangan global.

Pengeluaran ekonomi (output) UK yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pula dijangka jatuh sebanyak 3%.

Dalam jangka panjang, Kementerian Kewangan UK meramalkan ekonomi UK akan merosot sebanyak 8% pada tahun 2035. Impaknya akan menjadi lebih besar jika migrasi penduduk jatuh secara mendadak.

BoE juga melihat risiko yang bakal dihadapi defisit akaun semasa Britain yang besar. Gabenor Mark Carney telah berkata defisit yang besar menjadikan UK begitu bergantung kepada permintaan asing.

#2 Perdagangan Terjejas

Kesatuan Eropah sudah tentu akan mengenakan halangan perdagangan kepada UK dalam bentuk cukai import. EU dijangka akan mengenakan cukai sebanyak 5% secara purata kepada import barangan dari UK dan ia dijangka lebih tinggi kepada import produk automobil. Untuk pengetahuan anda, UK mempunyai 800,000 orang pekerja dalam sektor automobil mereka dan ini sudah tentu memberi kesan buruk kepada sektor automobil dan juga pasaran pekerjaan negara itu.

Britain juga dijangka akan kehilangan faedah perjanjian dagang EU bersama negara-negara lain.

Bagi mengurangkan kesan kepada kenaikan harga domestik, UK merancang untuk mengecualikan cukai import kepada kebanyakan barangan dari luar negara. Ya benar, ia akan mengurangkan tekanan inflasi tetapi ia akan memberi risiko persaingan sengit terhadap syarikat tempatan.

Bagi mengurangkan kesan buruk kepada perdagangan, UK perlu pantas menjalin hubungan dagang bersama negara-negara lain. Perjanjian bersama negara-negara yang pesat membangun seperti Amerika Syarikat, India dan China akan menjadi pemangkin yang besar kepada ekonomi UK.

Daripada segi pergerakan barangan dan kenderaan di pelabuhan, pakar dari Institut Pengajian Tinggi di Britain berkata tambahan sebanyak 2 minit diperlukan untuk memeriksa setiap kenderaan di pelabuhan Dover dan Folkestone yang akan menyebabkan kesesakan sepanjang 47km di lebuhraya berdekatan.

#3 Tindakan Autoriti Kewangan

Menteri Kewangan Phillip Hammond telah menubuhkan jawatankuasa fiskal untuk kerajaan berbelanja lebih besar jika Brexit membawa kejutan negatif kepada ekonomi. Namun, beliau juga memberi amaran bahawa dalam jangka panjang, risiko Brexit akan memperlahankan pertumbuhan ekonomi dan juga mengurangkan hasil cukai.

Bagi penyokong Brexit pula, keluarnya UK dari EU dijangka akan menambah sumber kewangan kerajaan kerana ia juga bermaksud berakhirnya pembayaran dana oleh UK kepada Kesatuan Eropah.

BoE telah mengingatkan pasaran supaya tidak berharap agar bank pusat itu memotong kadar faedah dengan pantas. Hal ini kerana kejatuhan dalam nilai Sterling akan meningkatkan inflasi.

#4 Kejatuhan Pound Sterling

Dengan impak yang begitu besar kepada ekonomi Britain, senario buruk Brexit akan menekan nilai mata wang Sterling yang akan menambah kejatuhannya berbanding Dolar AS. Sterling berbanding Dolar AS telah telah jatuh sebanyak 13% sejak referendum 2016. Jangkaan terkini menunjukkan Sterling berkemungkinan jatuh sehingga 25% menghampiri nilai Dolar AS jika UK keluar tanpa sebarang perjanjian dengan EU.

 #5 Pasaran Saham UK

Pound yang lemah akan meningkatkan harga saham kebanyakan syarikat besar UK seperti British American Tobacco. Majoriti syarikat dalam indeks FTSE100 mendapat keuntungan daripada perniagaan mereka di luar negara dan kejatuhan nilai mata wang itu berupaya menolak indeks saham FTSE100 lebih tinggi.

Manakala, sebaliknya berlaku kepada syarikat dalam indeks FTSE250 kerana hasil yang kebanyakannya diperolehi dari dalam negara..

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend