Bijak Mengurus Kewangan Peribadi Dengan 3 Langkah

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah yang mengurniakan kita dengan umur yang panjang dan rezeki yang berkat. Dan terbaik juga pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah memberikan peringatan kepada seluruh rakyat negeri Selangor dengan khutbah Jumaat yang bertajuk “Bijak Mengurus Kewangan Peribadi”.

Rasanya jarang khutbah Jumaat diisi dengan ilmu kewangan ini. Apa-apa pun, semoga semakin ramai akan celik tentang betapa pentingnya ilmu pengurusan kewangan di kalangan orang Islam.

Teks khutbah Jumaat seperti berikut:

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta memperoleh keselamatan di dunia dan di akhirat.

Pada hari ini, khatib akan menyampaikan khutbah yang bertajuk “BIJAK MENGURUS KEWANGAN PERIBADI”.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, Harta merupakan amanah daripada Allah SWT untuk dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Ia bukanlah untuk disia-siakan sehingga terjadi pembaziran, salah guna kepada perkara yang haram, rasuah dan sebagainya. Oleh sebab itu pentingnya setiap dari kita untuk mempelajari dan memahami pengurusan kewangan agar kita dapat menguruskan harta dan wang ringgit dengan berhemah dan bijaksana.

Ilmu pengurusan kewangan adalah merangkumi perancangan perbelanjaan, membuat simpanan atau menabung, mengambil pembiayaan untuk keperluan kehidupan, mengambil perlindungan takaful, berzakat, merancang persaraan, bersedekah, pembahagian hak-hak waris termasuklah harta anak-anak yatim dan sebagainya.

Hadirin sekalian,

Dalam ilmu pengurusan kewangan, pakar-pakar kewangan telah menyatakan bahawa kita hendaklah memiliki beberapa kemahiran untuk membuat keputusan yang betul dalam kehidupan. Antaranya hendaklah mempunyai kesedaran terhadap pentingnya mengurus kewangan dengan berhemah dan bijaksana, meningkatkan ilmu pengetahuan tentang pembiayaan dan risikonya, berwaspada dengan sindiket penipuan kewangan dan mempunyai keyakinan dan sikap yang betul untuk mengurus kewangan dengan baik.

Sebagai manusia kita tidak dapat lari dari mengurus dan menghadapi isu-isu yang berkaitan kewangan. Oleh itu, pengurusan kewangan yang teratur dan berperancangan akan membantu mensejahterakan kehidupan kita pada masa hadapan. Sebagai permulaan, antara langkah-langkah yang wajar kita lakukan adalah:

Pertama: Kita hendaklah menyusun semula kewangan peribadi dengan memperbaiki perbelanjaan dan menentukan gaya hidup kita. Jika ia melebihi dari kemampuan kita, maka kita perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting. Kita perlu mengimbangi antara keperluan dan keinginan bak kata pepatah, “ukur baju dibadan sendiri”.

Lantaran itu Islam menganjurkan sikap bersederhana dan berhemah dalam mengurus perbelanjaan.

Hadis daripada Abu Darda Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:
“Daripada kebijaksanaan seorang lelaki ialah sikapnya yang berhemah dalam urusan kehidupan”. (Riwayat Ahmad).

Kedua: kita hendaklah mengamalkan budaya menyimpan atau menabung kerana ia adalah persediaan sekiranya berlaku hal-hal kecemasan dan diluar jangka.

Amalan menyimpan atau menabung juga, walaupun dengan jumlah yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada tidak menabung ibarat kata pepatah melayu “Sikit-sikit lama-lama jadi bukit”, dengan adanya wang simpanan juga membolehkan kita meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dengan menginfakkan harta yang kita miliki lebih-lebih lagi untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan fardu haji.

Ketiga: Elakkan diri dari mengambil pembiayaan yang tidak perlu dan membazir lebih-lebih lagi berhutang bagi perkara-perkara yang tidak penting.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 67:
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Jika perlu untuk mengambil pembiayaan atau berhutang, berikhtiarlah untuk melunaskan segala pembiayaan atau hutang itu dalam tempoh yang ditentukan dan tidak menambahkan bebanan kewangan dengan hutang baru yang tidak mendesak.

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berhutang dengan manusia dengan berniat membayarnya, Allah memudahkanya, dan sesiapa yang berhutang dengan niat enggan membayarnya, Allah Taala akan membinasakannya”. (Riwayat al-Bukhari).

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita sama-sama menghayati intipati daripada khutbah yang dibacakan seperti berikut:

  1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa setiap harta yang dikurniakan akan dipersoalkan di hadapan Allah.
  2. Umat Islam hendaklah cerdik dan bijaksana mengurus harta yang telah diamanahkan kepadanya.
  3. Umat Islam wajib berurusan, menabung dan menyimpan di institusi-institusi kewangan Islam yag patuh syariah.
  4. Umat Islam hendaklah mensyukuri nikmat harta, rezeki dan sumber pendapatan yang dikurniakan dengan menginfakkan sebahagiannya ke jalan Allah.

“Isa Ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Mu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi rezeki.”

Kredit: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Sumber: Fail PDF e-Masjid JAIS

Dapatkan Khidmat Nasihat Berkaitan Kewangan Daripada Perancang Kewangan Yang Berlesen

Anda sedang berdepan dengan masalah kewangan dan tak tahu nak tanya siapa? Ada masalah nak menyimpan dan tak tahu nak melabur kat mana?

Zaman sekarang ni, ramai yang claim mereka pakar, tapi berapa ramai yang merupakan Perancang Kewangan atau Financial Planner yang berlesen? Kalau nak tahu di Malaysia, bilangan mereka ini tak sampai pun seribu orang, memang rare sangat.

Memperkenalkan My Personal Finances (MyPF Premier)

Kini anda selangkah saja lagi untuk mendapatkan manfaat bagi mengembangkan kewangan peribadi bagi menuju kebebasan kewangan yang dicari-cari.

Mereka merupakan Perancang Kewangan yang berdaftar dan boleh membantu daripada segi:

  • Penasihat yang membimbing dalam menetapkan sasaran kewangan, menilai, berkongsi ilmu dan nasihat
  • Khidmat nasihat yang kerap bagi berkongsi pengalaman, kepakaran, dan menjawab segala kemusykilan berkaitan kewangan
  • Pembelajaran secara hands-on dalam pelaburan, termasuklah saham, hartanah dan lain-lain

Bila dah kenalpasti masalah yang dihadapi, punca masalah tersebut dan cadangan daripada mereka yang pakar untuk mengatasinya; barulah rasa lega sikit kan? Seolah-olah dah nampak cahaya di hujung terowong.

Jom kita jadi ahli MyPF Premier hari ini juga.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend