Cara Elak Jatuh Miskin Sebelum Sampai Hujung Bulan

Biasa jadi begini; gaji bulan depan lambat lagi, tapi duit dah kering kontang?

Macam mana nak tahu yang anda sememangnya berada di dalam kategori papa kedana setiap akhir bulan?

Tanda-tandanya adalah…

(1) Anda kerap termenung dan bermuram durja
(2) Buka beg duit cuma tinggal resit-resit pembelian barang
(3) Periksa akaun bank cuma ada puluh ringgit sahaja atau lebih sadis hanya tinggal sen
(4) Orang lain makan nasi tapi anda terpaksa makan maggi.

Apa kata, anda gunakan sedikit kebijaksanaan anda untuk membaiki kewangan agar dapat membebaskan diri daripada dibelenggu kemiskinan pada setiap hujung bulan.

1. Bezakan Keperluan Dan Kehendak

Memang silap besar apabila dapat gaji, terus jadi lupa diri. Janganlah begitu, sebaiknya buat senarai dua atau tiga hari sebelum tarikh anda dapat gaji. Senaraikan keperluan anda yang paling utama. Bajetkan keperluan anda selama sebulan.

KEPERLUAN

  • Makanan, pakaian, rumah, barang dapur, telefon, takaful, pelaburan

KEHENDAK

  • TV satelit, broadband, skincare, minyak wangi, keahlian gym
  • Berbeza ikut taraf hidup

Contohnya, tetapkan RM400 sebulan untuk duit makan. Dalam sebulan ada empat minggu. Jadinya, seminggu anda akan gunakan RM100 sahaja untuk belanja makan. Gunakan duit RM100 itu untuk beli barang mentah dan masak sendiri. Bawa bekal pergi tempat kerja. Rasa-rasanya jimat tak? Pedulikan godaan rakan sepejabat yang kerap ajak anda makan di luar. Yang penting hujung bulan nanti poket tak sesak!

“Alah, kerja penat-penat cari duit, tapi tak dapat makan kat luar. Nak juga merasa makan di restoran 5 star, nak juga upload gambar tengah makan steak”.

Siapa yang kata tak boleh?

Tidak salah untuk “reward” diri selepas berhempas pulas bekerja selama sebulan. Tapi cukuplah sekadar sekali dua. Takkan nak “reward” diri setiap hari dengan makan di tempat mahal-mahal? Kalau gaji anda bekerja setiap hari melebihi bil makan di restoran tu, boleh teruskan. Kalau gaji setiap hari RM50 tapi nak makan di restoran mewah setiap hari dengan bil mencecah RM100, baik jangan.

2. Gaya Hidup Biar Berpada-pada

Bergayalah mengikut kemampuan sendiri. Janganlah jadi orang yang “asal papa, janji bergaya”. Terus terang saya katakan, jika anda mengamalkan prinsip itu, memang anda akan melingkup setiap hujung bulan. Lihat kawan serumah pakai baju branded, anda juga ikut sama. Lihat jiran sebelah rumah pakai beg berjenama, anda pun ikut beli bag berjenama.

Malam sebelum pergi shopping mall dengan hasrat nak beli brand-brand berjenama tu, pastikan berdiri depan cermin dan ukur dahulu baju di badan sendiri. Jangan jadi orang yang bergaya tapi duit simpanan ke laut.

Tidak menjadi kudis di badan sendiri kalau pakai baju yang tak berjenama pun. Asalkan pakai baju dan tidak terdedah sudah memadai. Baju tidak berjenama jika anda bijak menggayakan ia, pasti kelihatan bergaya. Umpama begini, ada dua kek. Satu daripada kek tersebut dihias cantik tapi rasanya biasa sahaja. Satu lagi kek hiasannya ringkas tetapi rasanya enak. Ibarat begitulah anda jika anda bijak menggayakan pakaian yang tersarung di badan anda sendiri.

3. Buat Bajet dan Ikut!

Bila buat bajet kewangan tu, cubalah disiplinkan nafsu dan patuhi bajet tersebut. Ya, bukan mudah untuk mendisiplinkan diri. Orang sekeliling tidak akan dapat membantu jika anda tidak membantu diri anda sendiri. Jangan pula bila dah penat-penat buat bajet, kemudian anda langgar dengan mudahnya.

Sebagai contoh, anda peruntukkan untuk beli barang mandi hanya dengan bajet RM100, pastikan pembelian anda tidak melebihi bajet tersebut. Catat barang yang nak dibeli sekali dengan harganya. Jika barang tersebut melebihi daripada harga yang anda jangkakan, cuba bandingkan dulu harga barang lain yang lebih murah.

Namun, timbul masalah kepada mereka yang katanya, mereka tidak serasi jika tukar barang lain. Kalau anda berhadapan masalah ini, saya cadangkan untuk anda cuba cara ini. Biasanya anda akan membeli shampoo botol besar, cuba kali ini beli refill shampoo tu tanpa perlu beli dalam botol besar lagi. Dengan begini, anda dapat barang yang sama dengan harga lebih murah.

Rasa-rasa boleh tak ikut 3 tips ini? Mudah sahaja kan? Moga anda dapat amalkan supaya tidak lagi kesempitan di setiap hujung bulan.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend