5 Idea Kepada Kerajaan Untuk Tambah ‘Duit Rakyat’

Memetik siaran media Kementerian Kewangan Malaysia baru-baru ini:

Dengan melaksanakan SST yang telah ditambahbaik, kerajaan baru Pakatan Harapan telah ‘mengembalikan’ semula jumlah kutipan cukai sekitar RM23 bilion kepada rakyat. Kerajaan Pakatan Harapan amat komited untuk mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya mereka yang terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi. Pada masa yang sama, kerajaan Pakatan Harapan berharap agar jumlah tambahan RM23 bilion yang dikembalikan kepada rakyat akan merangsang permintaan pengguna swasta serta meningkatkan keyakinan pelabur yang seterusnya akan menjana pertumbuhan ekonomi. – Siaran media Kementerian Kewangan Malaysia, Jumaat, Jul 20 2018

Tidak mungkin SST lebih membebankan rakyat berbanding GST apabila jumlah kutipan daripada SST hanya dianggarkan bernilai RM21 bilion setahun, manakala anggaran kutipan GST bernilai RM44 bilion bagi tahun 2018, berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu – Siaran media Kementerian Kewangan Malaysia, Rabu, Jul 18 2018

Jom lihat dulu kesan bila GST jadi 0%.

Kesan GST Zero Rated

Memandangkan 71% barangan pengguna dikenakan GST telah menjadi zero rated pada bulan Jun, sepatutnya harga barang akan menjadi lebih murah. Data Indeks Harga Pengguna bulan Jun sudah pun keluar.

Hasilnya? Secara purata harga barang naik sebanyak 0.8% berbanding Jun tahun 2017. Harga barang bagi 6 kumpulan utama seperti Komunikasi, Pakaian & Kasut, Minuman Alkohol & Tembakau didapati turun tetapi hampir semuanya tak turun sebanyak 6% (kadar GST).

Kebanyakan peniaga akan tetap dengan harga sama. Mereka nak rasa margin keuntungan lebih besar. Pada masa sama tak kan lah mereka nak sentiasa ubah harga jualan barang sesuai dengan polisi ekonomi semasa? Jumlah harga barang dalam troli pada tahun 2008 tak akan sama bila dah 2018.

Rakyat yang sokong mansuhkan GST dan dikembalikan dengan SST percayakah para kapitalis (peniaga) di luar sana akan kurangkan harga beramai-ramai nanti?

Apa kata RM21 bilion setahun yang dijangka dikutip hasil SST juga dikembalikan kepada rakyat dengan mantapkan hasil kutipan cukai langsung kerajaan (terutamanya cukai dekat kapitalis)?

Sebelum itu, jom fahami sumber asas pendapatan kerajaan.

Sumber Pendapatan Kerajaan

Hasil Kerajaan Persekutuan terbahagi kepada 4 komponen utama, iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai, Terimaan Bukan Hasil dan Hasil daripada Wilayah Persekutuan. Hasil Cukai pula diklasifikasikan kepada Hasil Cukai Langsung dan Hasil Cukai Tidak Langsung.

Apakah perbezaan di antara Cukai Langsung dan Cukai Tidak Langsung?

(a) Cukai Tidak Langsung – beban cukai yang dikenakan secara tidak langsung oleh rakyat. Beban cukai boleh dipindahkan kepada pengguna yang lain secara tidak langsung.

Contohnya : Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (Sales and Service Tax), Duti Import, Duti Eksais – cukai ini ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),

(b) Cukai Langsung – beban cukai yang dikenakan ditanggung secara langsung oleh rakyat/individu atau perniagaan.

Contohnya :

a. Cukai Pendapatan (individu, syarikat, petroleum, pegangan, koperasi dan lain-lain); dan
b. Cukai Langsung yang Lain (duti setem, cukai keuntungan harta tanah (CKHT), cukai aktiviti perniagaan luar pesisir Labuan dan lain-lain)

1. Cukai pendapatan merupakan komponen terbesar hasil negara, dengan sumbangan hampir 50 peratus setiap tahun. Jadi fahamlah kita bahawa cukai tidak langsung (GST/SST) bukanlah penyumbang utama kepada pendapatan negara.

2. Prestasi kutipan cukai langsung

3. Kutipan cukai yang dicatatkan pada tahun 2017 meningkat sebanyak 8.15% berbanding tahun sebelumnya. Pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dahulu telah menurunkan kadar cukai pendapatan ke atas syarikat korporat dan individu apabila GST diperkenalkan, maka sepatutnya kutipan cukai pendapatan tidaklah meningkat sedemikian rupa. Tahun 2018 pula LHDN sasarkan untuk kutip RM134.7 bilion. Fuh!

Sumber : Laporan Tahunan LHDN 2016

4. Menurut LHDN hanya 2.27 juta daripada 14.6 juta tenaga buruh yang direkodkan sehingga tahun 2017 membayar cukai pendapatan individu. Walaupun ada 12.2 juta pekerja yang mempunyai rekod di LHDN, hanya 6.9 juta fail aktif dan daripada jumlah itu, hanya 2.27 juta yang membayar cukai pendapatan. Hanya 15% individu saja yang bayar cukai pendapatan. Selebihnya tidak layak atau lari dari membayar cukai.

5. Manakala cuma 168,244 syarikat daripada 1.08 juta syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan LHDN dikenakan cukai. Logikkah hanya 15% syarikat di Malaysia yang bayar cukai pendapatan? Syarikat yang lain semuanya lapor rugi ke?

6. Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kenaikan gaji purata pekerja Malaysia adalah sekitar 6%, maka mustahil lebih ramai pekerja yang secara tiba-tiba menyumbang kepada lebih banyak cukai.

7. Maka tidak salah sekiranya disimpulkan bahawa di Malaysia masih sangat sedikit yang bayar cukai pendapatan dan ramai pula yang mengelak dari membayar cukai yang sepatutnya!

Memetik kata-kata CEO LHDN dalam satu laporan berita “Ketirisan cukai daripada aktiviti pindahan harga dan underground economy (ekonomi pasar gelap) oleh segelintir syarikat multinasional akan terus menjadi keutamaan kepada pemantapan strategi pematuhan cukai yang bakal dilaksanakan. Fokus strategi pematuhan juga menyasarkan syarikat-syarikat yang terlibat dengan perancangan cukai secara agresif,”

8. Ini jelas menunjukkan antara isu yang perlu diatasi kerajaan termasuklah kegagalan individu/syarikat mengemukakan borang cukai dan tidak melaporkan hasil pendapatan.

Maka dicadangkan perkara berikut;

5 Idea kepada Kerajaan Untuk Perkasakan Kutipan Cukai Pendapatan

*Ini adalah sekadar pandangan penulis. Tiada sebarang kajian terperinci telah dibuat semasa artikel ini ditulis.

Ingatlah bahawa mereka yang lari cukai / gagal bayar cukai sepatutnya juga boleh di klasifikasikan sebagai sejenis korupsi. Semoga dengan sumbangan idea ini dapat membantu meningkatkan kadar pematuhan cukai seterusnya menambah hasil negara.

Mana tahu dengan meningkatnya kutipan cukai langsung ini, maka tak perlulah lagi nak kutip cukai tidak langsung seperti SST.

1. Jadikan nombor kad pengenalan sebagai nombor rujukan cukai individu. Manakala nombor pendaftaran syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjadi nombor rujukan cukai bagi syarikat.

Sebenarnya leceh sebab banyak nombor nak kena ingat. Selain daripada memudahkan pembayar cukai (tidak perlu daftar akaun cukai secara manual), tindakan sebegini juga akan memberi ruang kesedaran awal kepada rakyat untuk perlu tahu dan wajib tahu akan pengetahuan percukaian di negara ini.

Contohnya sebaik saja buka akaun KWSP atau Bank, terus automatik dapat SMS dari pihak LHDN. Atau sebaik saja daftar perniagaan/syarikat di SSM, terus automatik dapat surat dari pihak LHDN tentang akaun cukai pendapatan mereka.

Maknanya beri siap-siap nombor cukai pendapatan tanpa mengira sama ada layak bayar cukai atau tidak.

Bila nombor cukai pendapatan sama dengan nombor kad pengenalan, secara teknikalnya LHDN nak integrasi dengan sistem lain juga akan lebih mudah.

2. Bekalkan LHDN Data

Wajibkan semua agensi-agensi kerajaan / swasta seperti berikut untuk salurkan maklumat berkala kepada LHDN. Ini bagi memudahkan pihak LHDN membuat semakan silang dan mengesan pengelak cukai:

  • Jabatan Akauntan Negara / Negeri – bekalkan maklumat bayaran kontrak kerajaan.
  • Syarikat-syarikat GLC – bekalkan maklumat bayaran kontrak.
  • Jabatan Imigresen Malaysia – bekalkan maklumat mereka yang kerap ke luar negara.
  • Pihak Berkuasa Tempatan – bekalkan maklumat cukai pintu, lesen perniagaan.
  • Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) – bekalkan maklumat perniagaan / syarikat.
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – bekalkan maklumat gaji.
  • Bank Pelaburan / Syarikat Broker – bekalkan maklumat jual beli saham di Bursa Malaysia / pasaran global.
  • Insurance Services Malaysia (ISM) – bekalkan maklumat insuran / takaful pengguna.
  • Direct Selling Association of Malaysia – bekalkan maklumat bayaran komisen.

War-warkan juga secara meluas kepada rakyat bahawa pihak LHDN memiliki data-data ini bagi mereka yang selama ini lari dari melaporkan pendapatan supaya sedar yang mereka tidak boleh lari atau tipu. Sebab yang nampak ada promosi secara terang-terangan apabila LHDN bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) semasa pelaksanaan GST. Boleh rujuk laporan BH Online.

Mesti rasa tak adil bila tahu jiran sebelah yang bawa Audi A7 tak bayar (lari dari bayar) cukai pendapatan tetapi kita duit gaji bulan-bulan kena potong PCB.

3. Rating Pembayar Cukai

Minta pihak LHDN berikan rating/skor kepada setiap pembayar cukai terutamanya pembayar cukai syarikat. Alah, macam laporan kredit CCRIS / CTOS (Laporan yang boleh menjelaskan tahap kewangan seseorang samada secara positif atau negatif). Penulis pernah berpengalaman loan bank rumah tak diluluskan sebab laporan CCRIS agak teruk sebab asyik skip bayar hutang loan kereta.

Sama juga aplikasinya dekat pembayar cukai di Malaysia. Contohnya pembayar cukai yang patuh diberi gred A. Bila dah ada rating sebegini, bolehlah kuatkuasakan mereka yang mendapat rating yang baik sahaja akan diberi tender / kontrak dari kerajaan.

Pihak bank juga boleh masukkan ini sebagai syarat tambahan sebelum luluskan pinjaman. Rasanya ramai akan sukarela melaporkan pendapatan dan membayar cukai pendapatan mereka jika aktiviti ini dilaksanakan.

Kita tak nak ada syarikat yang dapat kontrak juta-juta dari kerajaan tetapi borang cukai pendapatan pun tak pernah hantar.

4. Usah Bezakan Pendapatan

Sejak sekian lama (2004) mereka yang memperoleh pendapatan dari pelaburan dilayan seperti anak emas. Pendapatan pelaburan adalah seperti keuntungan jual beli saham, dividen saham dan keuntungan jual beli hartanah. Mereka ini dikecualikan dari membayar cukai pendapatan (tujuan asal pastinya nak galakkan aktiviti pelaburan).

Misalnya mereka yang aktif di pasaran saham tidak boleh dianggap sebagai pelabur. Macam bisnes dah tu.

Kami juga pernah berhubung dengan pihak LHDN berkaitan isu ini. Mereka yang aktif dan secara sistematik meraih keuntungan di pasaran saham boleh dikenakan di bawah Seksyen 4(a) – 4(f) Akta Cukai Pendapatan 1967. Keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai.

Setakat hari ini belum pernah terbaca LHDN ‘tangkap’ pedagang-pedagang saham (individu mahupun syarikat) yang kaut untung juta-juta di pasaran saham tetapi gagal bayar cukai pendapatan. Sama ada tiada aktiviti penguatkuasaan atau memang LHDN belum teroka lagi lubuk emas ini? Kerja pihak LHDN pastinya lebih mudah jika memiliki data-data transaksi dari Bank Pelaburan / Syarikat Broker.

5. Kadar Cukai Pendapatan Mengikut Negeri

Semua sedia maklum bahawa kos kehidupan di Malaysia adalah tidak seimbang. Kos untuk hidup di bandaraya seperti Johor Bahru, Shah Alam dan Kuala Lumpur pastinya tidak sama dengan mereka yang tinggal dan bekerja di Taiping, Gurun atau Besut. Harga sebungkus nasi lemak pun tentu tak sama.

Kadar cukai pendapatan di negara kita adalah mengikut banjaran pendapatan bercukai. Lebih tinggi banjaran, lebih tinggi cukai yang perlu dibayar. Jadi apa kata pihak LHDN bezakan banjaran ini mengikut negeri / daerah pula? Sebagai contoh kenakan kadar cukai mereka yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur lebih rendah berbanding mereka di negeri lain. Ini pastinya akan melegakan pembayar cukai di bandaraya dan mungkin akan menambahkan bilangan pembayar cukai baru secara sukarela.

Pelaksanaan ini rasanya sesuai untuk individu sahaja sebab lebih mudah disemak silang oleh pihak LHDN dengan adanya data-data seperti dalam idea nombor 2 di atas. Kalau diberi kepada syarikat juga maka takut berduyun-duyun akan daftar alamat syarikat di Besut.

Jika pihak Kementerian Kewangan atau LHDN dah lama merancang nak buat seperti cadangan-cadangan seperti di atas, baguslah, semoga dapat meningkatkan kadar pematuhan cukai dan makin pupuslah golongan yang suka mengelak dari menyumbang kepada negara.

Pak Teh
Pembayar Cukai sejak 2005

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend