Sub Topik
Setiap tahun, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menghantar borang cukai pendapatan. Lain orang, lain borang yang perlu dihantar.
5 Jenis Borang Cukai Pendapatan Dan Tarikh Akhir Penghantaran
- Borang BE – bagi individu yang tiada punca pendapatan perniagaan, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 April setiap tahun.
- Borang B – bagi individu yang mempunyai punca pendapatan perniagaan, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun.
- Borang M – bagi individu bukan pemastautin tanpa punca perniagaan, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 April setiap tahun.
- Borang M – bagi individu bukan pemastautin dengan punca perniagaan, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun.
- Borang P – bagi perniagaan perkongsian, tarikh akhir penghantaran adalah pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun.
Pembayar cukai dikehendaki menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan pada atau sebelum tarikh akhir bagi mengelak dikenakan penalti.
Rasanya ramai daripada yang tergolong di dalam kategori yang perlu hantar Borang BE. Maka berbalik kepada soalan tadi, kenapa kita kena hantar borang cukai pendapatan?
Ada beberapa sebab utama kenapa seseorang individu tersebut perlu menghantar borang cukai pendapatan seperti berikut:
1. Perkara Wajib Sebab Memperolehi Pendapatan Di Malaysia
Tak nak bayar cukai di Malaysia, bolehlah sekiranya kita mencari kerja di negara lain yang tidak memerlukan rakyatnya membayar cukai (Ini bukan Pak Menteri cakap).
Merujuk kepada senarai Investopedia, ada 5 negara yang tak perlu bayar cukai pendapatan adalah:
- Emiriah Arab Bersatu (United Arab Emirates)
- Bahamas
- Bermuda
- Andorra
- Monaco
Silalah pilih negara mana yang anda berkenan.
Manakala jika kita rujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), 5 negara yang mempunyai kadar cukai pendapatan yang tertinggi pula adalah:
- Denmark – 53%
- Australia – 41%
- Amerika Syarikat – 40%
- Iceland – 39%
- New Zealand – 37%
2. Pengesahan Pendapatan
Sebab kedua kita kena hantar borang cukai pendapatan adalah sebagai pengesahan pendapatan yang kita perolehi. Nanti tak tally pula harta kita atau perbelanjaan kita dengan pendapatan kita.
Sebagai contoh beli rumah mahal 2-3 biji, tapi gaji kecil. Atau kerap melancong ke luar negara, tapi gaji tak seberapa.
Jika anda lari daripada kewajipan membayar cukai, sumber pendapatan anda mungkin diragui dan disyaki terlibat dengan penggubahan wang haram. Boleh baca Biasa Dengar Money Laundering? Apa Dia Sebenarnya?
3. Mudahkan Dapat Pembiayaan Bank
Dengan menghantar borang cukai pendapatan dan membayar cukai pendapatan yang ditetapkan, anda akan ada bukti pembayaran cukai tersebut. Maka bila nak buat pembiayaan dengan bank, mereka akan lebih yakin untuk memberikan pembiayaan kepada kita.
Ada bank yang memerlukan kita sertakan sekali bukti pembayaran cukai. Dari situ dia boleh agak kita ni jenis suka lari-lari bayar atau tidak.
4. Bantu Kerajaan Mentadbir Dan Mengurus Negara
Sumber: NajibRazak.com
Cuba tengok infografik di atas berkenaan Bajet 2018, sebanyak RM234.25 bilion telah diperuntukkan bagi urusan perbelanjaan mengurus negara kita. Ini merupakan 83.5% daripada jumlah peruntukan sebanyak RM280.25 bilion.
Jangan terperdaya dengan mentaliti yang salah mengenai bagaimana duit cukai digunakan.
5. Bangunkan Dana Bagi Perbelanjaaan Membangunkan Negara
Selain daripada mengurus negara, sebahagian yang lain akan digunakan bagi tujuan pembangunan. Di antara projek besar yang bakal dibangunkan adalah:
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
Pelaksanaan Projek ECRL yang menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur sepanjang 600 kilometer yang melalui Port Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.
Lebuhraya Pan Borneo
Perhubungan di Sabah dan Sarawak akan bertambah baik , jurus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat Sarawak dan Sabah dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap pada tahun 2023.
Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan raya penduduk Sarawak dan Sabah.
Klinik 1Malaysia Komuniti
Klinik 1Malaysia Komuniti ditubuhkan bagi menyediakan rawatan perubatan ringan kepada penduduk setempat dengan kadar yang sangat minima. Di antara lain, Klinik 1Malaysia Komuniti menawarkan perkhidmatan:
- Menyediakan rawatan ringan seperti demam, batuk, selsema dan penyakit-penyakit ringan yang lain
- Rawatan susulan kes penyakit kronik yang stabil dan terkawal seperti diabetis, darah tinggi dan asma
- Prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan membuka jahitan
- Membuat notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti demam denggi
- Khidmat nasihat dan pendidikan kesihatan
- Perkhidmatan program saringan HIV di Klinik 1Malaysia tertentu sahaja
Mana lagi nak dapat rawatan perubatan semurah ini?
6. Pengurusan Kewangan Peribadi
Kalau difikir dari sudut yang berbeza pula, dengan adanya cukai pendapatan ini; ia dapat membantu kita mencari ilmu berkaitan kewangan.
Yalah, dah kerja penat-penat takkan nak bayar semuanya dekat kerajaan melalui cukai pendapatan. Kalau tak dikenakan cukai pendapatan, kita pun tak berminat nak mendalami ilmu kewangan, apatah lagi ilmu berkenaan cukai pendapatan.
Baca juga 22 Cara ‘Elak’ Daripada Kena Bayar Cukai Pendapatan Secara Sah, supaya anda dapat memaksimakan pelepasan cukai anda.
7. Bantu Membentuk Masyarakat Dan Memupuk Aktiviti Sihat
Di antaranya, kerajaan Malaysia memberi pelepasan cukai ke atas pembelian buku untuk menanamkan sikap rajin membaca di kalangan rakyat. Maklumlah, rakyat Malaysia secara purata membaca tidak lebih daripada 2 buah buku setahun, dan kita semua sedia maklum bahawa dengan membaca ilmu; kita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.
Dan tiada pelaburan yang lebih penting, melainkan pelaburan terhadap ilmu.
8. Kongsi Rezeki. Tolong Orang Susah
Kalau anda tergolong dalam kategori golongan yang perlu bayar cukai, bersyukurlah kerana anda bernasib baik daripada kebanyakan orang yang ada di Malaysia. Ini termasuk 7.1 juta penerima BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) Bantuan Sara Hidup (BSH).
Anggaplah dengan perbuatan anda menghantar borang cukai pendapatan dan membayar cukai yang sepatutnya, anda secara tak langsung dapat menolong orang yang susah di Malaysia.
Sama juga halnya apabila anda mengeluarkan zakat, kemudian dapat juga claim anda dah bayar zakat semasa hantar borang cukai pendapatan.
9. Takut Kena Denda
Kalau semua sebab di atas pun anda tidak rasa apa-apa, mungkin anda takut kena denda kalau tidak hantar borang cukai pendapatan.
Nak tahu berapa nilai denda tersebut, tengok di bawah ni:
Sumber: Laman Web LHDN
Denda bagi tidak mengembalikan Borang Nyata Cukai Pendapatan, adalah RM200 sehingga RM2,000, dikenakan hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.
Daripada kena denda tak hantar borang cukai pendapatan, lebih baik hantar borang.
Hantar Borang Cukai Pendapatan Merupakan Kewajipan Kita
Walaupun anda belum melepasi paras pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 setahun (selepas potongan KWSP), seelok-eloknya anda perlu mulakan tabiat menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan. Jangan pula borang cukai pun tak hantar tapi bila tak puas hati dengan penjawat awam boleh pula kata, “Eh, gaji engkau kami yang bayar tau!”
Kalau nak tahu hanya lebih kurang 2 juta orang saja yang bayar cukai pendapatan dari 14 juta rakyat yang layak dikenakan cukai pendapatan.
Bagi mereka yang telah melepasi paras RM34,000 ini pula, jalankan tanggungjawab anda untuk menghantar borang dan juga membayar cukai yang sewajarnya jika layak.
Terakhir sekali, anda boleh juga baca: