Ada Klasifikasi Barang Sifar GST, Tetapi Harga Barang Tetap Naik Juga

Rakyat dimaklumkan GST adalah cukai yang terpaksa dikutip akibat kehilangan pendapatan dari petroleum.

Di Malaysia hanya perniagaan yang mempunyai annual turnover atau jualan lebih RM500,000 setahun diwajibkan mendaftar untuk mengutip GST. Perniagaan dengan jualan kurang RM500,000 tidak wajib mendaftar untuk mengutip GST tetapi boleh secara sukarela mendaftar untuk melayakkan mereka menuntut input tax (Bila peniaga beli barang, raw material untuk bisnes dipanggil input tax)

Peniaga pisang goreng kalau jualan melebihi RM500,000 setahun wajiblah daftar GST.

Merujuk kepada laman web PricewaterhouseCoopers, tujuan GST adalah untuk memodenkan sistem percukaian dan meningkatkan kecekapan perniagaan di Malaysia. Ianya diwujudkan bagi menggantikan Sales and Service Tax (SST) berkuatkuasa pada 1 April 2015.

Memetik status Facebook YB Rafizi Ramli:

“Bayangkan setiap barang yang anda beli setiap hari dikenakan 6% cukai dari harga barangan yang dibeli.

Ini status yang mengelirukan. Sistem GST di Malaysia mempunyai dua kadar iaitu 6% dan 0%. Haa, baru tahu ya? Di antara bekalan yang tidak dikenakan GST adalah:

  • Hartanah Kediaman
  • Perkhidmatan Kewangan
  • Perkhidmatan Pendidikan Swasta dan Penjagaan Kanak-kanak
  • Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan
  • Perkhidmatan Pengangkutan Awam

Itu baru definisi beserta contoh secara umum, jom kita perhalusi lagi apakah barangan dan perkhidmatan spesifik yang tidak dikenakan GST.

Perkhidmatan Sifar GST

Di antara perkhidmatan yang menikmati sifar GST adalah di dalam sektor pengangkutan antarabangsa, perkhidmatan insurans dan takaful, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan penghantaran duit dan suratkhabar atas talian.

Barangan Sifar GST

Manakala barangan sifat GST adalah seperti makanan asas dan keperluan seperti

  • beras, daging, ayam dan telur ayam.
  • makanan laut seperti ikan, ketam, udang.
  • sayur-sayuran, buah-buahan, rempah ratus, tepung, gula, garam, minyak masak, roti, susu bayi dan banyak lagi.
  • semua jenis bahan bacaan, ubat-ubatan, bekalan air dirawat dan bekalan elektrik juga tidak dikenakan GST.

Untuk senarai penuh, boleh muat turun Senarai Barang Bercukai Dan Tidak Bercukai daripada laman web rasmi Kastam Diraja Malaysia.

Pendek kata, banyak barang keperluan asas tak dikenakan GST, ini yang ramai tak tahu. Kalau orang kampung yang tak tahu silap haribulan kena ‘kencing’ dengan tauke kedai runcit. Kita tak mahu ada rakyat yang membayar cukai yang tidak sepatutnya.

Sasaran Kastam Kutip GST Setakat Ini Tercapai

Bagi tahun 2015, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip RM27.1 bilion untuk 9 bulan sejak perlaksanaannya pada April 2015.

Bagi tahun 2016 pula, JKDM mensasarkan RM39 bilion hasil daripada kutipan GST. Namun, mereka berjaya memungut RM41.2 bilion pula – 5.6% melebihi sasaran.

Untuk tahun 2017, JKDM mensasarkan RM40 bilion pula. Setakat 30 September 2017, mereka berjaya mengutip RM29.81 bilion – tak jauh daripada yang disasarkan dengan berbaki tiga bulan.

Sisi Lain Bagusnya GST

Peniaga yang dulunya suka lari dari bayar cukai, hari ni tak boleh lari lagi. Peniaga begini boleh tukar kereta beratus ribu setiap tahun dan lapor rugi tiap tiap tahun. Hari ni, dah susah untuk mereka buat begitu sebab JKDM akan kongsi dengan LHDN berapa sebenarnya jualan mereka.

Tahu tak berdasarkan penyata GST setiap syarikat, pihak JKDM boleh tahu berapa margin keuntungan dan kos pengeluaran. Semuanya dalam sistem mereka.

Contoh:

Kalau syarikat A ialah pembekal kepada syarikat B, maka daripada penyata GST syarikat A dan B ini pihak JKDM boleh tahu berapa margin keuntungan dan kos pengeluaran syarikat B. Jika didapati wujudnya manipulasi kos pengeluaran, maka Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan boleh dikenakan kepada syarikat B.

Tapi itu teorinya, perlu ada penguatkuasaan yang sistematik kalau nak ‘perang’ dengan pengedar, pemborong dan peniaga yang naikkan harga sesuka hati. Maksud sistematik dekat sini adalah menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi. Kalau masih guna pendekatan secara manual kirim salam sajalah.

Tapi Kenapa Harga Barang Naik Juga?

Masih ingat lagi kan kenyataan popular Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu yang berkata, “Harga barang boleh turun kerana GST”.

Secara logiknya, apabila Sales and Service Tax yang lama iaitu pada kadar 5%-15% digantikan dengan GST sebanyak 6%, pastinya harga barang akan turun.

Ditambah pula dengan betapa banyak perkhidmatan dan barangan yang dikecualikan GST, seterusnya pihak Kastam pula mencapai sasaran yang dikehendaki.

Menurut contoh yang diberi YB Nurul Izzah – “Harga ikan kembung pada asalnya dijual RM 12 hingga RM 14 sekilogram kini naik kepada RM 18 sekilogram, yakni mencatatkan kenaikan harga ikan kembung paling mahal pada Januari 2018”. Sumber : Malaysiakini

Jadi di manakah silapnya?

Salahkan Kapitalis? Kastam? Penguatkuasaan? Rakyat?

Ada banyak senario.

1. Kalau harga barang tak naik, ada peniaga yang mengurangkan kuantiti barangan. Sebagai contoh kalau dulu susu dipek dalam packaging 1 Kg, selepas perlaksanaan GST; packaging mengecil menjadi 900 gram. Harga susu tersebut tak naik kerana menggunakan taktik ini.

Jadi adakah kita nak salahkan sistem kapitalis yang mementingkan keuntungan?

2. Ada yang kata harga barang keperluan yang sifar GST naik sebab isu kos pengangkutan yang dikenakan GST. Barang-barang tu kena naik lori. Lori pula kena ada tayar, ada bateri yang dikenakan GST. Jika benar ini di antara puncanya, jadi takkan pihak kerajaan tak boleh buat apa-apa? Macam defeat the purpose pula barangan yang sifar GST kalau kos pengangkutan angkut barang-barang tersebut dikenakan GST.

3. Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kata orang tengah yang main peranan dalam drama harga barang.

“Ertinya kartel memainkan peranan sebagai orang tengah ambil margin (keuntungan) yang banyak, saya tak mahu musuh dengan mereka, tapi saya mewakili rakyat minta kartel atau orang tengah ini jangan salahkan kerajaan dan jangan jadikan rakyat mangsa serta meracuni fikiran mereka untuk membenci kerajaan.”

Sumber Astro Awani

Jika benar ini salah satu puncanya, jadi takkan pihak kerajaan tak boleh buat apa-apa?

Eh, tu ada KR1M, kerajaan dah cuba jual sendiri barang keperluan dengan harga lebih murah dari pasaran.

Ok, rasa-rasa konsep tu dah mula beri kesan atau tidak?

4. Atau nak salahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang gagal mengekang kenaikan harga barang yang tidak terkawal? Ada yang kata zaman teknologi ini sepatutnya pihak KPDNKK sudah mempunyai aplikasi atau pangkalan data harga semasa barang-barang keperluan. Sekarang ni kalau nak banding harga nak guna aplikasi apa?

Kalau nak tahu ada tempat nak buat bandingan harga ni. Bandinglah harga barangan di laman web Price Catcher.

“Situ boleh check harga barang? Tak pernah dengar pun?”…

“Macam tak user friendly je?”…

Boleh tanya di Parlimen kos pembangunan laman web tersebut.

5. Atau salahkan rakyat? Rakyat meluahkan perasaan di Facebook bukan main meriah, tapi nak buat aduan dekat KPDNKK pun segan. Kalau ikut statistik KPDNKK, angka itu nampak suam. Rujuk BILANGAN TRANSAKSI PERKHIDMATAN ONLINE KPDNKK 2018. Ada aplikasi EZ-ADU pun tak digunakan.

“Alah, kalau buat aduan bukan dorang nak ambil tindakan!”…

Adoi, susahlah macam ni.

Hapuskan GST?

Sebelum ada GST, selama ini hanya pembayar cukai sahaja yang ambil kisah apa yang kerajaan buat atau tidak buat dengan duit cukai.

Selepas ada GST, baru nampak ada kesedaran rakyat dalam hal ini.

Boleh dihapuskan jika ada alternatif yang lebih baik dan lebih mudah pelaksanaannya. Arab Saudi yang kaya dengan sumber minyak juga mengikut jejak langkah untuk laksana GST (VAT) di negara mereka.

Akhir Kata

Lihatlah dengan lebih jauh. Malaysia adalah negara kita. Sama-sama jadikan tanahair kita negara yang hebat.

Semua jenis cukai akan berlaku ketirisan dalam menguruskannya, ini hakikat yang perlu diterima. Ia belum sempurna.

Oleh itu, kami sebagai rakyat yang cintakan negara mencadangkan agar rakyat dan pihak kerajaan bersatu untuk memantau dan kalau boleh sehingga di setiap peringkat parlimen perlu ada badan pemantau supaya tidak ada pihak yang berani mengambil kesempatan.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend