Apa Jadi Kalau Ada PCB Tapi Tak Hantar Borang Cukai Pendapatan?

Kalau sebelum ni kita ada menceritakan perihal 9 Sebab Kenapa Kita Kena Hantar Borang Cukai Pendapatan, hari ini kita nak kupas pula persoalan apa akan jadi kalau kita ada membuat Potongan Cukai Berjadual (PCB); tetapi kita tak hantar pula Borang Cukai Pendapatan.

Apa Itu PCB?

Kalau mengikut definisi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), PCB bermaksud:

PCB adalah satu mekanisme potongan cukai pendapatan daripada saraan bulanan semasa pekerja mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau kaedah-kaedah lain yang diluluskan.

Secara kasarnya, bolehlah dikatakan bahawa kita sedang membayar cukai pendapatan dengan kaedah bayaran ansuran secara bulanan.

Dan bermula tahun 2015, individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 setahun (selepas potongan KWSP) layak untuk dikenakan cukai.

Dalam erti kata lain, lebih baik kita membuat PCB melalui potongan gaji dengan amaun kecil setiap bulan daripada dikenakan cukai lump sum apabila taksiran cukai telah dibuat.

Kita ambil contoh anda bergaji RM5,000 sebulan dan mengikut taksiran cukai yang telah dibuat, anda perlu bayar cukai sebanyak RM1,200 bagi tahun tersebut.

1. Melalui PCB, dah tolak siap-siap RM100 sebulan, maka anda tidak lagi perlu menjelaskan cukai. Kalau terlebih bayar, wang yang terlebih bayar akan dikembalikan dalam bentuk cek atau dikreditkan terus ke akaun bank.

2. Kalau tak buat PCB, anda perlu bayar cukai sebanyak RM1,200 dalam tempoh yang ditetapkan. Kalau tak bayar, nanti kena denda pula.

Mana Lagi Mudah?

Senario #1 lah, sebab tak rasa sangat PCB sebanyak RM100 sebulan jika dibandingkan kita kena bayar RM1,200 secara lump sum.

Berbalik kepada soalan kita sebelum ini, kalau dah ada PCB setiap bulan, tetapi tak hantar borang cukai pendapatan pula.

Jawapannya adalah, bersiap sedialah untuk dikenakan tindakan denda RM200 sehingga RM2,000, hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.

Biar betul kena denda banyak tu? Kalau tak percaya, boleh rujuk jadual di bawah:

Sumber: Laman Web LHDN

Kalau lewat hantar borang cukai pendapatan pula?

Penalti juga akan dikenakan jika lambat mengemukakan Borang Cukai Pendapatan. Bagi individu dengan punca selain perniagaan, tarikh akhir adalah 30 April setiap tahun. Penalti yang dikenakan adalah 10% kenaikan daripada cukai yang kena bayar.

Maknanya selepas taksiran dibuat dan kita kena bayar cukai sebanyak RM1,200, disebabkan lewat hantar Borang Cukai Pendapatan – kita perlu bayar RM1,320 pula.

Seterusnya bagi individu dengan punca perniagaan pula, tarikh akhir pengemukaan Borang Cukai Pendapatan adalah 30 Jun setiap tahun. Penalti yang dikenakan juga 10% kenaikan daripada cukai yang kena bayar. Tapi kita pula pergi buat bayaran selepas 60 hari dari tarikh akhir.

Jadi kalau kena bayar cukai sebanyak RM1,200, kini terpaksa pula bayar extra 15% iaitu RM1,380.

Hantar Borang Cukai Pendapatan Itu Wajib, Lagi-Lagi Mereka Yang Dah Ada PCB

Tak perlu banyak alasan, kerana biasanya kita diberi tempoh 2 bulan untuk menghantar Borang Cukai Pendapatan iaitu dari 1 Mac – 30 April setiap tahun. Bagi mereka yang membuatnya menerusi e-Filing pula, tempoh dilanjutkan lagi 15 hari sehingga 15 Mei.

Jadi kalau dah ada PCB tu, cepat-cepatlah membuat urusan dengan LHDN. Kalau anda ikut tips 22 Cara ‘Elak’ Daripada Kena Bayar Cukai Pendapatan Secara Sah, sebenarnya banyak cara untuk anda mengurangkan kadar cukai.

Jadi kalau dah buat PCB bulan-bulan tu, dengan mengikut tips tersebut, sudah pastinada banyak lebihan cukai terlebih bayar. Lagi cepat kita hantar Borang Cukai Pendapatan, lagi cepat kita akan dapat balik refund sebab terlebih bayar.

Kalau ikut pengalaman, kita buat e-Filing pada minggu pertama bulan Mac, dah dapat balik refund pada minggu ketiga bulan tersebut. Tak sampai 2 minggu pun.

Siapa kata LHDN atau mana-mana jabatan kerajaan tak efisien? Mereka pun ada KPI tersendiri, sama macam kita yang bekerja swasta.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend