Apa Kelebihan Jadi Pembayar Cukai Macam Kita?

“Buat apa aku nak bayar cukai banyak-banyak, kerajaan yang dapat duit tu”
“Income aku ni masyuuk, sat lagi kalau aku declare ni banyak pulak kena bayar”

Kita cakap ni sebab kita tak tahu apa kelebihan yang kita boleh dapat dari membayar cukai.

Percaya atau tidak, hampir 70% daripada pendapatan negara adalah daripada hasil kutipan cukai.

Sebelum ini, kami ada berkongsi 4 Jenis Cukai Yang Ada di Malaysia dan seperti yang kita sedia maklum, cukai yang dikutip oleh kerajaan boleh digunakan untuk tujuan keselamatan negara dan pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah dan lain-lain.

Ramai rakyat Malaysia yang tidak tergolong dalam golongan pembayar cukai pendapatan. Hanya 2.27 juta daripada 14.6 juta tenaga buruh yang direkodkan sehingga tahun 2016 membayar cukai pendapatan individu.

Walaupun ada 12.2 juta pekerja yang mempunyai rekod di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya 6.9 juta fail aktif dan daripada jumlah itu, hanya 2.27 juta orang yang membayar cukai pendapatan. (Sumber : BH)

Kelat untuk diungkapkan, setuju atau tidak. Dek kerana wujud pula golongan pembayar cukai yang tidak mahu membayar cukai / membayar sepatutnya kerana terdapat ruang untuk mereka menipu (baca kelemahan sistem pematuhan percukaian), maka GST pula terpaksa diperkenalkan.

Eh, berbalik semula kepada kelebihan sebagi pembayar cukai:

Rasa Lega Tunaikan Tanggungjawab

Wang yang dikutip oleh kerajaan perlu dipindahkan kembali kepada dua tanggungjawab utama kerajaan- kesihatan dan pendidikan.

Di antara tanggungjawab kerajaan bagi memanfaatkan “hasil” daripada kutipan cukai adalah pembinaan sekolah sebagai tempat untuk mendidik anak-anak. Bayangkan di mana kita sekarang jika kerajaan mengabaikan tanggungjawab ini?

Jom kita cerita pula tentang kemudahan kesihatan. Penduduk makin ramai. Usia rakyat Malaysia makin panjang disebabkan perkhidmatan perubatan semakin bagus.

Memetik dari posting Facebook Dr Mahyuddin;

Sebenarnya, apa yang anda perlu bayar:
1. Kos pembedahan: RM50.00 – RM200.00
2. Kos wad kelas 3: RM3.00/sehari (ini siap 4 kali makan setiap hari ya)
3. Daftar masuk wad: RM1.00 (caj paling ridiculous di dunia)

Bayaran ini pun akan jadi percuma jika anda ada GL (surat jaminan)/Kakitangan Awam/Pesara.

Tak rasa legakah bila tahu yang anak-anak kita akan dapat hidup dengan lebih selesa?

Tak rasa bersalahkah bila kita culas membayar cukai pendapatan tetapi dalam masa yang sama dengan selamba nikmati hasil pembangunan negara?

Cukai Import Untuk Galakkan Barangan Tempatan

Pedagang tempatan akan mendapat keuntungan apabila barang-barang yang diimport dikenakan cukai, ia akan menggalakkan pengguna memilih barangan domestik yang lebih murah pada masa yang sama. Oleh itu, ini akan menggalakkan orang ramai membeli dan secara tidak langsung menyokong produk tempatan. Ini adalah sistem perdagangan yang penting yang digunapakai oleh banyak negara demi menjaga kepentingan rakyat tempatan.

Cukai ‘Dosa’ Untuk Perkara Yang Memudaratkan

Bagi membangunkan negara yang sihat, cukai yang tinggi dikenakan ke atas barangan dan aktiviti tidak sihat seperti alkohol dan tembakau. Cukai yang tinggi mungkin akan bantu membuatkan perokok sedia ada untuk berhenti atau mencegah perokok baru.

Bila kaki alkohol atau rokok jatuh sakit disebabkan kanser; mereka juga nak gunakan perkhidmatan hospital awam secara percuma. Hasil kutipan cukai tersebut boleh digunakan untuk aktiviti pemulihan, persekitaran dan pelbagai kempen untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat.

Pengecualian Cukai Untuk Tujuan Kebaikan

Sebaliknya, kalau ianya untuk tujuan yang baik; kerajaan juga membenarkan pengecualian cukai seperti untuk pembelian buku. Ini bagi menggalakkan tabiat membaca di kalangan orang ramai. Harga buku yang kebanyakannya diimport, dapat dijual di pasaran dengan harga yang murah.

Kita dapat melihat bahawa dengan sistem cukai, kerajaan mampu membentuk masyarakat dan memupuk aktiviti yang sihat di kalangan rakyat.

Dapat Impress Pihak Bank

Ada individu suka under-declare pendapatan mereka untuk mengurangkan bayaran cukai atas sebab-sebab peribadi (baca tak nak bayar cukai). Tapi jika anda seorang usahawan atau peniaga yang bijak, anda akan membayar cukai pada kadar yang sepatutnya bagi memberi peluang yang lebih besar untuk mendapatkan potensi pembiayaan dari pihak bank.

Jika untuk individu, nak beli kereta atau rumah ada sesetengah bank akan minta bukti pernah hantar Borang BE / bayaran taksiran cukai sebagai dokumen tambahan untuk menyokong permohonan.

Kesimpulan

Dah tahu kelebihan-kelebihan sebagai pembayar cukai kan? Nah, sekarang anda ada dua pilihan:

1. Anda isytihar pendapatan, bayar cukai sepatutnya
2. Atau ‘Lembaga’ akan kejar

Jadi nak pilih yang mana? Kalau nak tahu, undang-undang baru yang dikuatkuasa meletakkan sekiranya gagal membayar cukai, denda 100% akan dikenakan!

Baca juga 10 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia dan 22 Cara ‘Elak’ Daripada Kena Bayar Cukai Pendapatan Secara Sah.

Komen

komen

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Send this to a friend