Kenapa Aku Yang Kena Usik Dengan Lembaga?

Ingatlah! Apabila datang kepada kamu Lembaga yang serupa dengan kamu Iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, maka janganlah berasa gentar dan takut.

Pasti ada yang selama ini hidup ‘aman’, tiba-tiba tahun ni dapat surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) – “Penemuan Cukai”?

Pembayar cukai pasti tertanya-tanya mengapa mereka diaudit atau disiasat sedangkan ramai lagi yang ‘tak kena’. Ada kawan yang tak pernah langsung declare pendapatan mereka, elok je tak kena.

Hanya pihak LHDN yang tahu sebabnya. Namun kita boleh mengurangkan risiko diaudit atau disiasat jika kita elakkan 7 perkara ini.

1. ELAK ‘SKIP’ HANTAR BORANG CUKAI

Tak kiralah individu ataupun syarikat, pastikan jangan miss hantar borang cukai (BNCP).

Contoh :
2016 – hantar
2017 – tak hantar
2018 – hantar

Kalau bisnes syarikat rugi sekalipun, hantarlah borang cukai tu.

Kalau kadang-kadang hantar, kadang-kadang tidak, ini semua akan ‘membuka mata’ LHDN. Mereka bukan pilih ikut suka, mesti ada sistem yang trigger.

2. ELAK TUNTUT SEMUA PELEPASAN

Kalau individu ada 21 item pelepasan cukai. Bermula dari Perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjaga untuk ibu bapa sampailah ke Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semua kau belasah isi full.

Sah-sah tak logik. Sah-sah jugalah pegawai LHDN akan cari kau minta bukti resit.

3. ELAK ISI BORANG CUKAI YANG SALAH

Kau makan gaji dan ada bisnes sepatutnya isi Borang B tapi tersilap isi Borang BE (tiada punca pendapatan dari perniagaan). Nanti bersedialah tunggu pegawai LHDN hantar surat.

4. ELAK SILAP ISI BORANG

Kalau berbisnes, elakkan kesilapan remeh temeh seperti silap masukkan kod perniagaan. Ada sebab kenapa kena isi betul. Logiknya selain untuk tujuan statistik, kod perniagaan ni membawa maklumat yang kita tak nampak seperti kadar untung kasar (Gross Profit Margin) mengikut industri. Rujuk sini.

Contohnya kau bisnes bengkel kereta tetapi masukkan kod bisnes jual balak, kadar untung kasar sah-sah jauh. LHDN mesti rasa pelik dan akan hantar surat audit.

Cari kod perniagaan di sini

5. ELAK BELI KERETA AUDI…

Photo by Mike Bird from Pexels

“Eh, takkan pakai kereta Audi pun LHDN tak puas hati?”

Rileks, sebenarnya beli kereta Audi tu tak salah. Yang salah bila kau gagal lapor pendapatan yang betul. Agak-agaknya bila beli Audi yang berharga RM 399,000 tetapi lapor pendapatan hanya RM 3,500 sebulan orang LHDN cari tak?

Lainlah kalau dapat buktikan kemampuan beli kereta tu adalah hasil keuntungan jual beli saham yang bebas cukai 🙂

6. ELAK BERAHSIA

Kalau pendapatan yang diterima datang dari 2-3 sumber, janganlah lapor 1 saja. Elakkan berahsia dari LHDN. Orang kata pegawai-pegawai LHDN ni ada ‘sixth sense’.

6. ELAK MAIN NOMBOR

Bukan nombor ekor. Maksud dekat sini kalau ada bisnes, jangan reka-reka belanja yang tak wujud atau belian yang palsu. Orang kita kreatif, ada saja cara nak kurangkan untung dan bagi nampak rugi atas kertas.

USIK TANDA SAYANG?

Bila kita tanya LHDN kenapa usik kita, mereka akan jawab “Ini hanyalah sebahagian dari prosedur”. Padahal pastinya sudah ada bibit curiga.

Bila dah kena ‘usik’ dan kena denda ‘kawkaw’ nanti, jangan pula meroyan. Kenapa perlu risau? Cukai tak semestinya kena bayar. Mereka yang layak je kena bayar. Tetapi melapor pendapatan yang betul adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat yang ada pendapatan. Tak boleh bagi alasan tak tahu.

Akhir kata, pembayar cukai yang baik adalah rakyat yang baik.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Tawaran Gaji Rendah Punca Graduan Enggan Bekerja Dalam Sektor Kemahiran -MITI

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) — Penawaran gaji yang rendah menjadi punca kekurangan tenaga mahir tempatan terutama daripada kalangan lepasan pengajian tinggi, walaupun permintaan dari pihak industri terus meningkat, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata berdasarkan laporan statistik suku tahun yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat 49,500 kekosongan jawatan berkemahiran tinggi bagi sektor pembuatan pada suku kedua 2023.

Beliau berkata selain itu, data pada suku ketiga 2023 daripada Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaporkan terdapat sebanyak 22,248 kekosongan pelbagai jawatan bagi industri profesional, saintifik dan teknikal, melibatkan 5,734 syarikat tempatan.

“Sekiranya dilihat pada data-data ini, jumlah penghasilan graduan di Malaysia boleh dianggap mencukupi untuk menampung permintaan daripada industri.

“Namun begitu, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bekerja di luar negara berikutan tawaran gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik ataupun melibatkan diri dalam ekonomi gig,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai unjuran guna tenaga teknikal kejuruteraan, sains dan teknologi yang diperlukan pelabur pada 2024 memandangkan terdapat kenyataan bahawa kerajaan terpaksa menggunakan tenaga kerja mahir asing yang memberi kesan defisit terhadap peluang pekerjaan graduan tempatan.

Liew turut merujuk laporan kajian bertajuk ‘Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents’ oleh Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini yang melaporkan jumlah graduan baharu terlebih kelayakan terus meningkat dan menghadapi masalah gaji rendah, dengan 65.6 peratus graduan pada  2021 menerima gaji permulaan kurang daripada RM2,000. 

Mengulas lanjut, beliau berkata MITI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama kementerian lain mengatur langkah komprehensif bagi memastikan graduan yang menganggur mendapat pekerjaan dalam industri dan sesuai dengan kehendak pelabur, sekali gus memenuhi permintaan pasaran.

“MITI dan KPT bersama kementerian-kementerian (lain) sedang menguruskan program ‘work-based learning’ untuk memadankan, supaya kita boleh bawa TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersesuaian dengan industri bersama program-program lain bagi mewujudkan suasana graduan serta profesional bersama pekerja teknikal yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pihak industri juga perlu bersedia untuk membayar gaji yang lebih tinggi kepada graduan tempatan.

— BERNAMA