Kenapa Netizen Marah Sangat Dekat LHDN?

LHDN Ikut Rangka Kerja Siasatan Cukai

Baru-baru ini kecoh di media sosial bila syarikat-syarikat yang dimiliki anak Tun Dr Mahathir Mohamad telah ‘diserbu’ pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ramai yang tak puas hati dengan mengatakan ini tidak patut, seolah-olah pihak kerajaan sengaja cari kesalahan orang lain.

Tidak kurang juga yang berkata LHDN ni berat sebelah. (Eh, tak tahu pula LHDN pernah senaraikan ribuan nama syarikat / individu lain yang pernah disiasat. Habis, macam mana boleh kata mereka berat sebelah? Mana tahu si polan bin si polan tak pernah disiasat?)

Pertamanya tahu tak LHDN tidak boleh sewenangnya mendedahkan maklumat percukaian dan tindakan yang telah diambil ke atas pembayar cukai kerana ianya menyalahi Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 138?

Dalam isu ini, pembayar cukai sendiri yang mengaku disiasat.

Petikan laporan Malaysiakini : “Ketika dihubungi hari ini, seorang eksekutif kanan di Crescent Capital Sdn Bhd, sebuah firma modal teroka yang diasaskan dan diketuai oleh Mirzan Mahathir, mengesahkan LHDN menyerbu pejabat itu pada Selasa lalu.”

Lihat sahaja kepada komen netizen berkenaan isu ini yang diambil daripada FB Post Malaysiakini (BM Version) dan lihat sendiri ketidakpuasan hati netizen.

Baru Siasat, Belum Terbukti Salah

Lawatan pemeriksaan (siasatan atau audit) yang dilakukan pegawai-pegawai LHDN ke atas syarikat atau individu adalah amalan biasa yang boleh terjadi kepada sesiapa pun. Mereka bukan calang-calang agensi, pasti ada sistem yang membantu dalam pemilihan kes berisiko tinggi.

Kalau nak tahu, bila LHDN menyiasat sesebuah syarikat atau individu, tak bermakna mereka ini dah terbukti bersalah lari cukai. Logiknya kalau tak jumpa sebarang bukti pelarian cukai, mesti kes itu akan ditutup.

Kalau rasa tidak bersalah, tak perlu takut dengan serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa. Biarlah pihak yang bertanggungjawab buat kerja mereka, dan dalam kes ini – biarlah LHDN cuba kutip cukai daripada mereka yang terkurang membayar cukai.

Kenapa Sekarang Baru Nak Siasat?

Ada yang komen…“Aku tak marah nak periksa anak Mahathir. Baguslah. Tapi soalannya, kenapa baru sekarang? Kenapa selepas Mahathir menentang Najib baru nak periksa? Kenapa sebelum² ini hanya tutupkan mata? Jangan lupa untuk serbu anak² Najib dan menteri yang lain”

Betul juga tu, kenapa tak siasat sebelum ni ek? Sebab apa ek? Ops….Seperti yang dijelaskan di perenggan atas, kita tak tahu syarikat mana yang telah disiasat oleh LHDN. Jadi macam mana boleh kata mereka-mereka yang lain tu dah disiasat atau tidak? Mana kita tahu LHDN ‘tutup mata’?

Ayat mudahnya, kau tanyalah bagai nak rak dekat pihak LHDN, mereka tak akan jawab atau sahkan sebab dah terikat dengan Seksyen 138 tadi.

Ops Patuh: LHDN buru 1,758 Individu, 1,687 Syarikat

Menurut sumber Utusan Malaysia, LHDN memang sedang memburu ribuan individu dan syarikat yang dipercayai tidak membayar atau mengelak daripada membayar cukai yang sepatutnya. Seperti yang dinyatakan tadi, mesti ada sebab-sebab kukuh yang meletakkan mereka ini di dalam radar LHDN.

Dah beribu kot syarikat yang telah disiasat. Cuma bila tak disensasikan oleh media, orang ramai pun tak tahu siapa yang kena. Macam dalam berita yang dilaporkan MStar pada bulan Mei, 13 jutawan diburu LHDN. Ramai tu, tapi tak pula kecoh siapa 13 orang tu.

Kerja Ikut Rangka Kerja Siasatan Cukai

Tahu tak LHDN kena patuh kepada rangka kerja siasatan (framework)? Siasatan rapi perlu dilakukan dengan mengikut kepada lawatan pemeriksaan, semakan dokumen, pengambilan pernyataan dan akhir sekali barulah penyelesaian kes siasatan. Nak saman ke nak penjara ke, malah nak mula lakukan siasatan pun kena ikut rangka kerja ini.

Cuba muat turun Rangka Kerja Siasatan Cukai untuk tahu lebih lanjut bagaimana LHDN menggariskan daripada segi pemilihan kes, prosedur siasatan, kesalahan & hukuman dan sebagainya.

Kutip Cukai Pendapatan Untuk Kesejahteraan Rakyat

Ada juga yang sinis komen kata bayar cukai pendapatan membebankan dan tiada manfaat kepada rakyat. Mereka yang berfikir sebegini mungkin tak nampak hospital kerajaan, sekolah kerajaan, gaji cikgu, gaji polis, masjid, bas percuma dan banyak subsidi-subsidi diberi menggunakan sumbangan cukai tadi.

Jadi sebelum nak hentam pegawai-pegawai LHDN yang buat kerja mereka, tengok diri sendiri dulu. Tanggungjawab kita sebagai rakyat dah ditunaikan atau belum?

Ada tipu tak masa isi borang cukai?

Income bisnes online ratus-ratus ribu tu lapor tak?

Pendapatan part time seperti rumah sewa dilaporkan atau tidak?

Kami Tak Sokong Mana-Mana

Isu ini nampaknya dipolitikkan oleh banyak pihak. Kami tak sokong mana-mana. Kami juga pembayar cukai seperti anda. Kami juga mahu orang lain bayar cukai yang sepatutnya.

Kami Generasi-X yang hidup semasa zaman Tun memerintah. Dulu pun banyak suara-suara yang minta pihak berkuasa seperti LHDN menyiasat mereka yang berkait rapat dengan Perdana Menteri, tak tahulah pula ada atau tidak siasatan diambil, maklumlah dulu mana ada media online.

Komen

komen