LHDN Sedang Memerhatikan ‘Jutawan Segera’ MLM dan Bisnes Online

JOHOR BARU: Pastikan anda telah bersedia untuk membayar cukai sebelum mengaku bahawa anda adalah seorang jutawan segera hasil perniagaan MLM dan perniagaan online.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang memerhatikan mereka yang sering mengaku telah menjadi jutawan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Abdul Manap Din berkata 3,793 orang pembayar cukai telah diaudit dan disiasat atas pelbagai kesalahan dalam siri pertama Operasi Gegar Bersepadu pada 10 – 14 April.

“Selain daripada pekerja makan gaji, perniagaan dan syarikat perlu membayar cukai termasuk multilevel marketing (MLM) dan bisnes online. Adalah tidak adil kepada pembayar cukai yang lain apabila MLM dan bisnes online mengelak dari membayar cukai, ” kata Abdul Manap.

Abdul Manap berkata mereka yang menerima komisen, seperti mereka yang bekerja di bidang pemasaran, juga perlu mengisytiharkan pendapatan mereka, dan pesara yang masih bekerja dan pekerja kontrak juga layak dikenakan cukai.

“Sebagai contoh, jika anda seorang pekerja makan gaji dan pada masa yang sama anda memiliki perniagaan online, anda perlu membayar cukai dua kali (jika layak),” katanya.

Beliau menambah bahawa mereka yang ingkar ini tidak akan dapat lari dari kakitangan di Jabatan Siasatan dan Profiling LHDN kerana mereka mempunyai cara untuk memantau.

Abdul Manap berkata, LHDN yakin mengutip RM127bil cukai tahun ini, peningkatan daripada RM114bil pada 2016, sambil menambah RM47bil telah dikutip pada minggu lepas.

Abdul Manap berkata demikian selepas merasmikan siri kedua Operasi Gegar Bersepadu (G127B) di Ibu Pejabat LHDN Johor hari ini.

Beliau berkata tidak akan ada yang terkecuali, termasuk ahli politik, orang-orang kenamaan dan syarikat-syarikat.

“Secara umumnya, rakyat Malaysia yang menyelesaikan cukai telah meningkat banyak sejak beberapa tahun ini tetapi masih ada yang ingkar, ” kata Abdul Manap.

Beliau berkata jumlah rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan negara ini oleh Jabatan Imigresen kerana mempunyai cukai tertunggak telah berkurangan.

Sumber : Terjemahan dari The Star Online

7 Salah Faham Pemilik Perniagaan Enterprise Berkaitan Cukai

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Anggar Jana Hasil Tambahan RM3.45 Bilion Daripada Cukai Perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Kerajaan dijangka memperoleh tambahan hasil berjumlah RM3.45 bilion daripada peluasan skop cukai perkhidmatan dan perubahan kadar daripada enam peratus kepada lapan peratus, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian tersebut berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini, bagi menjawab soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan mengenai pertambahan pendapatan negara daripada kenaikan kadar cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Mac, 2024 itu.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memaklumkan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2024 diunjur meningkat kepada RM312.159 bilion selepas mengambil kira langkah cukai Belanjawan 2024, disumbangkan oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Persekutuan iaitu 79.5 peratus daripada jumlah hasil, bersamaan dengan 12.57 peratus daripada kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Selain itu jumlah tersebut turut meliputi hasil bukan cukai mewakili 20.5 peratus iaitu bersamaan dengan 3.24 peratus daripada KDNK.

“Kerajaan menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 untuk mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara, meningkatkan langkah mobilisasi hasil, meluaskan asas hasil cukai, menambah baik dan menyemak semula struktur dan perundangan cukai, serta pemberian insentif percukaian.

“Langkah ini akan direalisasikan melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana  bagi memastikan perancangan cukai jangka sederhana adalah lebih teratur dan sepadan dengan perbelanjaan,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai strategi yang diambil kerajaan bagi memastikan berlaku peningkatan kadar kutipan hasil cukai kerajaan melebihi kadar 12 peratus daripada KDNK agar lebih banyak program pemulihan ekonomi dapat dirancakkan.

— BERNAMA